Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akan mengadakan lawatan pengenalannya ke Bangkok, Thailand, pada 28 November atas undangan Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra.
Semasa lawatannya, Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan, akan bertemu Raja Maha Vajiralongkorn dan Permaisuri Suthida Bajrasudhabimalalakshana.
Beliau juga akan bertemu Cik Paetongtarn, yang akan menjadi hos beliau dan delegasinya untuk majlis makan tengah hari rasmi, kata Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan pada 27 November.
Lawatan Encik Wong ke Bangkok adalah sebahagian daripada lawatan pengenalannya ke ibu kota negara Asia Tenggara itu sejak menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri pada Mei.
Beliau sebelum ini telah melawat Malaysia, Brunei, Indonesia dan Laos.
Kededua Singapura dan Thailand, yang telah menjalin hubungan diplomatik sejak 1965, bakal menyambut ulang tahun ke-60 hubungan tersebut pada 2025.
Encik Wong akan ditemani oleh Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, dan pegawai dari PMO dan Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Pada Jun, Dr Balakrishnan telah membuat lawatan rasmi ke Thailand dan merasmikan pembukaan Program Pertukaran Perkhidmatan Awam Thailand-Singapura yang ke-14 bersama Menteri Ehwal Luar Thailand, Encik Maris Sangiampongsa.
Kededua negara komited memperdalam pelibatan dalam bidang seperti kemampanan, tenaga yang boleh diperbaharui, sains dan teknologi, ekonomi digital dan pendidikan.
Semasa ketiadaannya, Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, akan menjadi Pemangku Perdana Menteri.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg