Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah menulis surat kepada Paus (Pope) Leo XIV untuk mengucapkan tahniah atas pemilihannya, sementara pengikut Katolik tempatan meraikan berita tersebut.
Pemimpin dari seluruh dunia, termasuk Singapura, telah mengucapkan tahniah kepada Paus Leo atas pemilihannya.
Kededua pemimpin itu menyatakan penghargaan terhadap sumbangan Gereja Katolik di Singapura, serta hubungan yang semakin rapat dengan Singapura, termasuk lawatan Paus Francis pada 2024.
Tuan Presiden menghargai peranan gereja dalam pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan sosial sejak awal Singapura dan menekankan pentingnya keterangkuman serta dialog antara agama, lapor The Straits Times.
Encik Wong pula berkata hubungan mesra yang dibina atas kepentingan bersama untuk mempromosikan keamanan dan pemahaman antara agama.
Paus Leo, yang berusia 69 tahun, dikenali dengan sikap tenang dan sokongannya terhadap Paus Francis yang telah meninggal dunia.
Sir Peter Low, satu-satunya komander kesatria dengan bintang (penghormatan yang diberikan oleh Paus) dari Singapura, turut mengucapkan tahniah dan menggambarkan Paus Leo sebagai seorang yang mempunyai kekuatan yang tenang.
Dalam ucapan pertamanya, Paus Leo menekankan nilai seperti keamanan, keadilan, amal dan pembinaan hubungan yang menunjukkan keprihatinannya terhadap orang ramai, kata Dr Low.
Paus Leo menyertai Order of St Augustine dan diangkat sebagai pemimpin pada 1982, serta dilantik kardinal oleh Paus Francis pada 2023.
Beliau menghabiskan separuh hidupnya di Peru, termasuk memimpin seminari. Pengalaman itu akan membantu beliau memahami isu sejagat, kata Friar John-Paul Tan.
Encik Nick Lim, seorang pegawai perhubungan berusia 37 tahun, sangat gembira dengan paus baru dan berharap Paus Leo akan meneruskan legasi Paus Francis.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg