Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, telah menulis kepada Presiden Sri Lanka, Encik Anura Kumara Dissanayake, untuk mengucapkan tahniah atas pemilihan beliau, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 27 September.
Encik Dissanayake, pemimpin Barisan Pembebasan Rakyat yang berusia 55 tahun, diisytiharkan sebagai pemenang pilihan raya pada 23 September, dengan majoriti hampir 1.3 juta berbanding pesaing terdekatnya.
Beliau telah mendapat 42.31 peratus undi dalam pilihan raya presiden pada 21 September.
Pemimpin pembangkang, Encik Sajith Premadasa, berada di tempat kedua dengan 32.76 peratus undi.
Encik Dissanayake akan menggantikan Encik Ranil Wickremesinghe, yang memperoleh 17.27 peratus undi di tempat ketiga, dan akan menjadi Presiden anggota sayap kiri pertama di Sri Lanka.
Dalam suratnya, Tuan Presiden berkata pemilihan Encik Dissanayake adalah satu petanda keyakinan rakyat Sri Lanka terhadap beliau untuk memimpin negara itu ke hadapan.
“Singapura dan Sri Lanka menikmati hubungan yang hangat dan lama, yang diperkukuh oleh kerjasama ekonomi yang rapat dan hubungan antara rakyat.
“Saya berharap dapat bekerjasama dengan anda untuk memperkuatkan lagi hubungan antara kedua-dua negara kita sempena ulang tahun ke-55 hubungan diplomatik pada 2025,” kongsi Tuan Presiden.
Dalam suratnya pula, Encik Wong berkata Singapura dan Sri Lanka berkongsi persahabatan yang lama berdasarkan kepentingan bersama dalam pelbagai bidang.
“Singapura dan Sri Lanka berkongsi persahabatan yang lama yang diperkukuh oleh kepentingan bersama dalam pelbagai bidang, termasuk dalam kredit karbon dan pembangunan kapasiti.
“Kami bekerjasama dengan baik di forum multilateral dan merupakan rakan ahli dalam Persatuan Lingkungan Lautan Hindi (IORA) dan Komanwel,” kata Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg