Singapura dan India menandatangani empat memorandum persefahaman (MOU) bagi memperkukuh hubungan digital, membantu firma Singapura memanfaatkan industri semikonduktor India, dan meningkatkan kerjasama dalam bidang pembangunan kemahiran dan penjagaan kesihatan.
Perdana Menteri Lawrence Wong dan Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, menyaksikan majlis bertukar-tukar dokumen perjanjian itu antara Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan dengan Menteri Ehwal Luar India, Encik S. Jaishankar, di Bangunan Parlimen pada 5 September.
Perjanjian itu ditandatangani beberapa menteri Singapura dan rakan sejawatan mereka dari India di sisi pertemuan Meja Bulat Menteri India-Singapura (ISMR) yang kedua di Hotel Shangri-La Singapore pada 26 Ogos.
Encik Modi sedang melakukan lawatan rasmi dua hari ke Singapura dari 4 hingga 5 September. Beliau diberi sambutan penuh istiadat apabila tiba di Bangunan Parlimen pada hari kedua lawatannya.
Satu kenyataan Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 5 September menyatakan Encik Modi bertemu Presiden Tharman Shanmugaratnam, serta Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan. Encik Wong dan Menteri Kanan Lee Hsien Loong juga menjadi hos kepada Encik Modi dalam majlis jamuan makan berasingan. Encik Modi juga bertemu Menteri Kanan Emeritus Encik Goh Chok Tong.
Dalam satu catatan Facebook pada 5 September, Encik Wong berkata dua negara ini telah meningkatkan Perkongsian Strategik Singapura-India kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
“Ini adalah langkah tepat pada masanya kerana kami mengembangkan perkongsian kami dalam bidang baru dan yang saling menguntungkan, sambil menyambut 60 tahun hubungan diplomatik dan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik kami tahun depan (2025).
“Kami berharap dapat mengukuhkan lagi hubungan kami dan mewujudkan peluang baru bagi rakyat kami,” kata Encik Wong.
Dalam satu catatan Facebook berasingan pada 5 September, Tuan Presiden berkata Singapura dan India sedang meneroka bidang kerjasama baru yang besar.
“Saya gembira bertemu Encik Narendra Modi sekali lagi, atas jemputan Encik Wong. Kededua negara sedang meneroka bidang kerjasama baru yang besar,” kata Tuan Presiden.
MOU yang membantu firma Singapura menerokai industri semikonduktor India yang semakin berkembang akan menyaksikan dua negara ini bekerjasama untuk menyokong rancangan pertumbuhan India dan memudahkan kemasukan syarikat Singapura dan rantaian bekalan ke pasaran India.
India menyasarkan mengembangkan industri semikonduktornya dan menjadi pusat global bagi pembuatan semikonduktor. Semikonduktor dan pembuatan termaju dikenal pasti sebagai bidang baru bagi kerjasama dua hala semasa dialog ISMR itu.
Perkongsian itu merangkumi pertukaran dasar yang diterajui pemerintah mengenai pembangunan ekosistem, daya tahan rantaian bekalan dan pembangunan tenaga kerja.
Singapura dan India juga menandatangani perjanjian untuk mempertingkat hubungan digital bagi menggalak kebolehoperasian lebih baik antara ekonomi digital kedua-dua negara.
Ini termasuk pertukaran pengetahuan dan kepakaran mengenai prasarana awam digital seperti pengenalan digital, pembayaran dan pertukaran data.
Perjanjian itu membina daripada usaha kerjasama sedia ada seperti hubungan sistem pembayaran Singapura PayNow dengan sistem Antara Muka Pembayaran Bersepadu (UPI) India yang dilancarkan pada Februari 2023.
Ini membolehkan pelanggan bank di Singapura dan India menghantar dan menerima dana dalam akaun bank dan e-dompet mereka serta-merta di kedua-dua negara.
Bank dan syarikat Singapura dan India juga telah merintis proses transaksi tanpa kertas sepenuhnya melibatkan pedagang, pengirim dan bank pada Ogos 2023, yang mempamerkan pendigitalan dokumentasi pembiayaan perdagangan rentas sempadan menggunakan rangka kerja TradeTrust.
Kedua-dua pihak juga sedang berusaha mengemas kini dan memperbaharui perjanjian 2015 mengenai kerjasama keselamatan siber antara Pasukan Tindak Balas Kecemasan Siber Singapura dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer India.
Kedua-dua negara juga menandatangani MOU untuk bekerjasama dalam bidang seperti latihan semula dan meningkat kemahiran tenaga kerja, pertukaran pelajar dan kakitangan, dan latihan guru. Ia juga merangkumi latihan amali pelajar dan bekerja dalam industri.
Dari segi perubatan, kedua-dua negara bersetuju mengukuhkan kerjasama dalam penjagaan kesihatan, pendidikan perubatan, penyelidikan dan pembangunan sumber manusia.
Ini termasuk bidang seperti pemantauan penyakit, kesihatan ibu dan anak, pencegahan penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, dan kesediaan berdepan dengan wabak.
Encik Modi juga bertemu pelajar dari Singapura yang menjalani latihan amali di India sebagai sebahagian daripada Program Bakat Sedia India, yang menawarkan pelajar universiti dan politeknik peluang latihan luar negara di syarikat India dan Singapura di India.
Beliau mengakhiri lawatannya e Singapura pada 5 September.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg