Keghairahan menyambut Grand Prix Formula Satu (F1) Singapura 2024, yang berlangsung dari 20 hingga 22 September, sudah pun terasa di serata pulau apabila pelbagai acara dianjurkan untuk menyemarakkan semangat peminat menjelang perlumbaan malam itu.
Antaranya termasuk Kampong Gelam di mana satu pesta bertemakan F1 – Pesta Litar Glam – diadakan di kawasan itu bermula 13 hingga 22 September.
Sepanjang 10 hari, pesta itu menyajikan pelbagai kegiatan berkaitan sukan permotoran seperti simulator kereta lumba, permainan karnival dan perlumbaan motosikal mini.
Ia juga menampilkan lebih 80 gerai makanan, minuman dan barangan selain persembahan muzik oleh artis tempatan.
Acara tahunan itu berskala lebih besar pada 2024 dengan ia diadakan di tiga kawasan Kampong Gelam – Baghdad Street, Sultan Gate Park dan tempat letak kereta Aliwal Street – berbanding hanya satu iaitu di tempat letak kereta Aliwal Street pada tahun sebelumnya.
Selain Kampong Gelam, tiga lagi kawasan – Hab Sukan Singapura, Orchard Road dan Clarke Quay – menganjurkan acara sampingan F1 yang menarik untuk peminat lumba kereta.
Di kawasan lain, kedai yang menjual cenderahati pasukan F1 turut muncul di pusat beli-belah berdekatan Litar Jalanan Marina Bay seperti Suntec City dan Millenia Walk.
Terdapat juga peluang bagi peminat bergambar dan berinteraksi dengan pemandu kegemaran mereka pada sesi bertemu.
GP Singapura dijangka menarik 250,000 peminat sepanjang tiga hari itu, sama dengan bilangan pada 2023.
Peminat sukan permotoran boleh juga menyaksikan GP Singapura secara langsung di lima hab masyarakat pada 21 dan 22 September.
Persatuan Rakyat (PA) berkata perlumbaan itu, yang bermula 8 malam pada 22 September, akan ditayangkan di Our Tampines Hub, Heartbeat@Bedok, Kelab Masyarakat Keat Hong, Kelab Masyarakat Bishan dan Kelab Masyarakat Woodlands Galaxy.
Our Tampines Hub dan Heartbeat@Bedok turut akan menayangkan sesi kelayakan perlumbaan yang dijadualkan dari 9 malam hingga 10 malam pada 21 September.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg