Dengan baki tujuh perlumbaan dalam musim 2024, pertarungan menjadi juara dunia Formula Satu (F1) semakin hangat.
Buat masa ini, pemandu Red Bull, Max Verstappen, mendahului tangga kejohanan pemandu dengan 59 mata di hadapan pemandu muda McLaren, Lando Norris (254 mata). Ferrari juga berpeluang merebut takhta juara, dengan Charles Leclerc menduduki tempat ketiga dengan 235 mata.
Verstappen memulakan musim ini dengan mantap, memenangi tujuh daripada 10 perlumbaan. Namun, rentak Red Bull mula merosot di Austria, dengan tanda-tanda kelemahan muncul lebih awal di Imola dan Monaco.
Ketika Red Bull mula terkial-kial, McLaren, Ferrari dan bahkan Mercedes-AMG menjadi lebih kuat.
Setakat ini pada 2024, McLaren telah merangkul empat kemenangan, manakala Ferrari dan Mercedes masing-masing menang tiga kali.
Ini berbanding pada tempoh ini pada 2023, apabila Red Bull telah memenangi setiap perlumbaan kecuali satu, iaitu di Singapura, apabila Carlos Sainz menaiki tangga teratas podium untuk Ferrari.
Sedang Red Bull Racing mengalami kesukaran, McLaren kini mendahului kejohanan pembina kereta dan persaingan akan bertambah sengit.
Dapatkah Verstappen dan Red Bull bangkit semula?
Untuk berpeluang mencatat kejayaan musim ini, Verstappen dan Red Bull perlu cepat keluar daripada kemerosotan yang sedang dihadapi mereka. Ini harus dengan GP Singapura, yang berlangsung pada 20-22 September.
Menjelang perlumbaan malam di sini, Verstappen mengisytiharkan “perjuangan belum berakhir”, meskipun Red Bull telah hilang kedudukan mereka di puncak kejuaraan pembina kereta buat kali pertama dalam dua setengah tahun.
“Kami akan berusaha bersama sebagai sepasukan dan perjuangan belum lagi berakhir,” kata warga Belanda itu selepas muncul di tempat kelima di Baku, Azerbaijan, pada 15 September.
“Anda menang atau kalah sebagai sepasukan dan kami tidak akan berputus ada. Ia semudah itu,” tambahnya.
Semangat untuk menang sudah membara dalam jiwanya, tetapi itu bukan masalah utama Verstappen. Sebaliknya, beliau belum menemui keserasian berlumba dengan keretanya.
Salah satu punca kesusahan Red Bull ialah hasil yang diperoleh daripada ujian terowong angin tidak mencerminkan prestasi kereta secara tepat di atas trek, yang meletakkan pasukan itu di laluan pembangunan yang salah. Kereta itu juga mempunyai jendela operasi yang sempit dan kelihatan sukar dipandu apabila ia tidak berada di tempat yang betul.
Di Baku, Verstappen adalah yang terpantas pada sesi kelayakan kedua tetapi kelihatan tidak berpuas hati dengan kereta itu beberapa minit kemudian pada sesi kelayakan ketiga. Dan kesukaran itu berterusan hingga perlumbaan pada 15 September.
Perez berada dalam persaingan untuk memenangi perlumbaan, di belakang Oscar Piastri dan Leclerc, jadi terbukti Red Bull mempunyai rentak dalam kereta dengan pemasangan yang betul.
Sejarah juga menggambarkan nasib mungkin tidak akan memihak kepada Verstappen apabila beliau ingin melihat prestasinya meningkat di Litar Jalanan Marina Bay, yang tidak dapat diramalkan, pada hujung minggu ini.
Red Bull secara konsisten bergelut di bawah cahaya lampu perlumbaan malam Singapura.
Ia adalah satu-satunya perlumbaan yang gagal dimenangi Red Bull pada 2023.
Sainz daripada Ferrari adalah yang pertama melepasi garisan penamat untuk menafikan Verstappen kemenangan perlumbaan ke-11 berturut-turut. Norris berada di tempat kedua.
Verstappen tidak pernah menang di litar jalanan pusat bandar yang sempit itu, dengan ribut tropika, tahap kelembapan tinggi, pengadang konkrit, kereta keselamatan dan bendera merah semuanya menambah kepada ketidakpastian.
Kemenangan terakhir Red Bull di kota Singa ialah pada 2013 menerusi Sebastian Vettel.
Norris lawan Piastri: Siapa pemandu nombor satu McLaren?
Selain Verstappen dan Leclerc, Norris tidak perlu memandang jauh untuk mencari pesaing terdekatnya.
Rakan sepasukannya di McLaren, Oscar Piastri, berada dalam prestasi mantap dan kini menduduki tempat keempat kejuaraan pemandu.
Ini hanya kempen F1 kedua Piastri tetapi telah memungut lebih banyak mata daripada sembarang pemandu lain dalam tujuh perlumbaan sebelumnya.
Kedua-dua pemandu itu telah mencatat dua kemenangan musim ini setiap seorang. Tiga daripada empat kemenangan itu berlaku dalam enam perlumbaan terakhir, dengan Norris hanya berjaya meraih satu kemenangan di Belanda.
Rentak ada pada Piastri, justeru, selepas kemenangannya di Baku, timbul persoalan siapakah pemandu utama McLaren.
Ketua Pegawai Eksekutif McLaren, Zak Brown, telah menghimpunkan dua pemandu – Norris dan Piastri – yang mampu memenangi perlumbaan dan mendorong satu sama lain, hingga ke tahap kesukaran mengenal pasti pemandu nombor satu pasukan menjejas percubaan individu Norris untuk memenangi kejuaraan pemandu.
Namun, gabungan dua pemandu itu membantu McLaren memperoleh 448 mata dalam 15 perlumbaan terakhir.
Kini, dengan kempen F1 2024 memasuki tempoh akhirnya, McLaren harus membuat keputusan sama ada mengutamakan kejuaraan pasukan atau Norris.
Kali terakhir McLaren memenangi kejuaraan pembina kereta ialah pada 1998.
Musim 2024 merupakan peluang terbaik Norris bergelar juara dunia, memandangkan kelajuan keretanya dan kemerosotan ketara Red Bull.
Bagaimanapun, mengutamakan Norris akan merugikan Piastri, pemandu paling berprestasi cemerlang sejak tiga bulan lalu. Dengan ketinggalan 32 mata di belakang rakan sepasukannya, warga Australia itu mesti berlumba untuk kepentingan pasukan. Ini mungkin bermakna beberapa keputusan pasukan semasa perlumbaan tidak akan memihak kepada Piastri.
Persaingan sihat memang digalakkan, tetapi perkara terakhir yang diinginkan McLaren ialah melihat dua pemandunya bersaing hebat hingga menyebabkan hubungan mereka retak dan akhirnya membebankan sebarang peluang kemenangan pasukan.
GP Singapura mangkin kejayaan
Antara Verstappen dan Norris, salah seorang daripada mereka dijangka menjulang trofi juara dunia pada Disember.
Tetapi, dengan prestasi kedua-duanya belum meyakinkan buat masa ini, mereka harus bangkit dan menunjukkan taring. Jika tidak, Leclerc dan Piastri boleh bila-bila sahaja mengambil alih kedudukan mereka.
Kejayaan tidak datang bergolek dan bagi Verstappen dan Norris, Singapura mungkin boleh menjadi titik perubahannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg