Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pempengaruh dari S’pura hadiahkan motor untuk pembawa ‘ojol’ di Batam

Aug 6, 2025 | 4:52 PM
Pak Sudiono dari Batam tersenyum dan tak percaya dihadiahkan motosikal baru oleh pempengaruh Singapura Kai Emilio.
Pak Sudiono dari Batam tersenyum dan tak percaya dihadiahkan motosikal baru oleh pempengaruh Singapura Kai Emilio. - Foto TANGKAP LAYAR IG @KAIEMILIO

Seorang pempengaruh dari Singapura, Encik Kai Emilio Mohamed Jeffery, 26 tahun, baru-baru ini mendapat perhatian daripada media Batam atas pemberian kejutan berbentuk motosikal kepada seorang pembawa khidmat penghantaran atau ‘ojol’ di Indonesia.

Video yang dihasilkan oleh media hiburan dari Batam, Gepridotcom, yang menunjukkan temu bual bersama Encik Kai dan Pak Sudiono telah ditonton lebih 64,000 orang di Tiktok.

Bak menerima durian runtuh, Pak Sudiono dengan rasa penuh kesyukuran mengucapkan terima kasihnya kepada Encik Kai dan isteri atas pemberian yang berharga itu.

“Terima kasih semuanya, bapa and ibu kerana telah memberi kejutan kepada saya. Saya tidak sangka, saya menangis, terharu,” kata Pak Sudiono, 57 tahun, sambil menahan emosi.

Encik Kai seorang pengarah syarikat pakaian dan media, Flamboyant Goons Pte Ltd, sedang bercuti di Batam pada 4 Ogos dikatakan ternampak Pak Sudiono sekitar daerah Taman Sari, sewaktu motosikal Honda Beat miliknya mogok di tengah jalan, lalu membuat keputusan untuk membelikannya motosikal baru secara spontan.

Dalam rakaman video itu, Encik Kai yang terlihat duduk di samping Pak Sudiono di rumahnya berkata beliau bersyukur atas peluang (membantu orang lain) itu.

“Ini bagi aku, Allah yang bagi, bukan aku yang kasi. Harap-harap ini boleh menjadi inspirasi bagi orang di luar sana (yang menonton), disebabkan pendedahan di media sosial. Harap bermanfaat kepada orang yang menonton,” kata Encik Kai.

Apabila dihubungi Berita Harian, Encik Kai berkata tujuannya semasa di Batam juga adalah untuk memberi bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukan.

“Kebetulan, kami terserempak dengan seorang lelaki tua ketika di jalan raya. Kami perasan motosikalnya dalam keadaan sangat uzur dan langsung tidak dapat dihidupkan.

“Sekelompok penunggang dan pejalan kaki mengerumuninya dan cuba membantu. Hati rasa tersentuh melihat betapa prihatin masyarakat di situ. Dalam saat itu, hati saya tergerak untuk menghulurkan bantuan,” jelas Encik Kai.

Selain membantu Pak Sudiono, Encik Kai kelihatan membahagi-bahagikan wang tunai kepada penunggang penghantaran lain, memberikan makanan kepada orang susah, selain memberi derma untuk sebuah rumah anak yatim Al Fauzan di Tiban Tax Lot, Sekupang.

Bila ditanya jumlah yang telah dihabiskan di Batam bagi kerja-kerja kebajikannya, Encik Kai menjawab:

“Saya kurang selesa untuk berkongsi tentang jumlah atau perkara-perkara berkaitan wang untuk kerja kebajikan ini. Apa yang lebih penting adalah harapan agar bantuan yang telah dihulurkan ini dapat menjadi inspirasi kepada orang lain untuk turut melakukan kebaikan.”

Walaupun kadang-kala berdepan dengan komen negatif yang mempersoal cara beliau membuat kerja amal, Encik Kai yang ke sana bersama lima individu dari Singapura termasuk isterinya, dan lebih 10 orang pekerjanya dari Batam berkata:

“Jika saya terus fokus pada kata-kata negatif orang lain, bagaimana saya boleh fokus pada nikmat yang saya ingin kongsikan kepada dunia? Kenapa perlu biarkan ia menghalang saya daripada terus melakukan kebaikan?

“Malam tadi saya berbual secara peribadi dengan isteri tentang isu ini – membincang perancangan masa depan dan kami berharap agar Allah mempermudahkan urusan kami serta meluaskan rezeki supaya kami dapat berbuat lebih banyak kebaikan untuk lebih ramai yang memerlukannya.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg