Penanda mobiliti antara generasi penting bagi rungkai cabaran kanak-kanak dalam isi rumah bergaji rendah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penanda mobiliti antara generasi penting bagi rungkai cabaran kanak-kanak dalam isi rumah bergaji rendah

Feb 9, 2026 | 8:49 PM

Penanda mobiliti antara generasi penting bagi rungkai cabaran kanak-kanak dalam isi rumah bergaji rendah

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pakar menekankan pentingnya pemerintah terus menjejak penanda mobiliti antara generasi bagi mengetahui sebarang cabaran yang dihadapi kanak-kanak yang tergolong dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah, di samping melakar kaedah bagi membantu golongan ini menaiki tangga sosial.
Pakar menekankan pentingnya pemerintah terus menjejak penanda mobiliti antara generasi bagi mengetahui sebarang cabaran yang dihadapi kanak-kanak yang tergolong dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah, di samping melakar kaedah bagi membantu golongan ini menaiki tangga sosial. - Foto fail

Adalah penting bagi pemerintah terus menjejak penanda mobiliti antara generasi bagi mengetahui sebarang cabaran yang dihadapi kanak-kanak yang tergolong dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah.

Ini di samping melakar kaedah bagi membantu golongan itu menaiki tangga sosial, kongsi pakar yang dihubungi Berita Harian (BH).

Respons sedemikian dibuat menyusuli laporan kertas kerja terbitan Kementerian Kewangan (MOF) pada 9 Februari.

Penerbitan kertas MOF itu adalah pengemaskinian kepada edisi sebelum ini yang dibentangkan pada Ogos 2015.

Mobiliti antara generasi merujuk kepada sejauh mana status sosioekonomi kanak-kanak – khususnya pendapatan, pendidikan atau perumahan – berbeza berbanding ibu bapa mereka.

Ia menganalisis bagaimana kedudukan pendapatan atau perumahan berubah antara generasi, dengan mobiliti tinggi menunjukkan kanak-kanak yang asalnya daripada keluarga berpendapatan rendah dapat naik ke peringkat pendapatan lebih tinggi.

Dapatan kertas MOF itu antara lain mendapati mobiliti antara generasi menunjukkan tanda-tanda ia semakin mendatar, sekali gus memberikan gambaran bahawa generasi akan datang mungkin mendapati lebih sukar untuk mendaki tangga sosial.

Malah dalam satu hantaran video di Facebook pada 9 Februari, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, akur wujudnya “tanda-tanda awal (momentum) mobiliti sosial yang semakin perlahan” disebabkan keadaan ekonomi negara yang matang.

Oleh itu, beliau berkata pemerintah akan mengolah pendekatannya untuk merapatkan jurang ini.

Profesor Madya di Sekolah Ekonomi Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Dr Ho Kong Weng, menjelaskan ia mungkin sukar untuk mencari penyelesaian mutlak bagi mengatasi trend itu.

Namun, perangkaan tersebut membawa kesedaran terhadap kewujudan isu tersebut, sekali gus dasar yang lebih bersasar dapat digubal untuk membantu kanak-kanak dalam isi rumah sedemikian – sama ada melalui aspek pendidikan atau pekerjaan.

“Ia mungkin sukar untuk mengatasi trend ini, tetapi kesedaran adalah penting, dan menyasarkan dasar kepada golongan berpendapatan rendah, terutamanya kanak-kanak, juga adalah penting,” ujarnya.

Hal serupa turut dikongsi zamil penyelidik utama dan Ketua Social Lab, Institut Pengajian Dasar (IPS), Dr Mathew Mathews.

Beliau berkata walaupun sukar ditangani, ia sesuatu yang tidak mustahil dan menyifatkan kaedah pendekatan sebagai sesuatu yang harus dipertimbangkan – sama ada melalui pengagihan semula kekayaan atau cukai lebih tinggi.

Ini selain melakar cara lebih baik untuk membantu mereka yang berpendapatan rendah bagi meningkatkan mutu kehidupan.

“Cabarannya kini adalah untuk mengekang (rasa tersisih) dalam kalangan golongan kurang bernasib baik daripada bertapak dalam diri mereka.

“Ini penting, terutamanya apabila ekonomi kita semakin matang dan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi mengubah banyak pekerjaan.

“Dalam persekitaran sebegini, akan wujud jurang kekayaan dan peluang lebih besar, yang perlu diteliti,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata dasar-dasar yang telah diketengahkan untuk merapatkan jurang mobiliti sosial bagi Singapura telah membuahkan hasil ketara, memandangkan penanda ketidaksamaan, antara lain, mencatatkan perangkaan lebih kecil.

Dalam laporan MOF, Pekali Gini Singapura selepas pemberian pemerintah dan cukai adalah 0.379 pada 2025, turun berbanding 0.437 pada 2015.

MOF menambah, perangkaan itu adalah terendah yang pernah dicatatkan Singapura sejak ia mula dicatat pada 2015, berdasarkan pendapatan pasaran isi rumah – merangkumi pendapatan pekerjaan dan bukan pekerjaan.

Pekali Gini mengukur tahap ketidaksamaan pendapatan atau kekayaan sesebuah negara, dengan perangkaan 1 bermakna ketidaksamaan mutlak manakala 0 adalah kesaksamaan mutlak.

Dr Mathews berkata: “Hakikatnya, ukuran ketidaksamaan telah menurun sejak sedekad lalu. Ini bermakna pemberian yang disasarkan (oleh pemerintah) kepada golongan berpendapatan rendah telah membuahkan hasil.

“Terdapat juga pertumbuhan gaji yang lebih tinggi dalam kalangan peratusan isi rumah yang berpendapatan rendah.

“Namun, lebih banyak harus dilakukan bagi memastikan keluarga berpendapatan rendah mempunyai jaringan keselamatan sosial yang lebih baik.

“Ini memerlukan lebih daripada sekadar pelaksanaan dasar pemerintah, tetapi juga masyarakat untuk terlibat dan bekerjasama.”

Ini juga sesuatu yang disarankan Dr Ho, yang berkata kajian lanjut terhadap peluang dan cabaran dalam sektor pendidikan, khususnya terhadap golongan berpendapatan rendah, bagi melihat bagaimana AI dan teknologi memberi kesan kepada mereka.

Sehubungan itu, buat kali pertama, perkiraan bagi pendapatan isi rumah telah diperluaskan untuk merangkumi pendapatan pekerjaan dan bukan pekerjaan – apa yang kini dikenali sebagai pendapatan pasaran.

Perkiraan itu diguna pakai dalam laporan Trend Pendapatan Isi Rumah Utama (KHIT) 2025 terbitan Jabatan Perangkaan (DOS) pada 9 Februari.

Pendapatan bukan pekerjaan ini meliputi hasil sewa dan pelaburan, dan pembayaran tetap daripada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) serta insurans.

Berkenaan peralihan kepada pendapatan pasaran yang diguna pakai bagi mengukur pendapatan isi rumah, Dr Ho berkata pendekatan ini “menjadikan penjejakan pendapatan lebih komprehensif” kerana sumber pendapatan seperti hasil sewa dan pelaburan kini dicatat.

“Penjejakan Pekali Gini kini dapat memberikan gambaran lebih baik tentang sesebuah keadaan atau situasi. Ini akan memudahkan pemahaman… orang awam,” ujarnya.

Peralihan itu, kata Dr Mathews, adalah satu pendekatan tepat pada masanya kerana data pendapatan “menjadi kurang menyeluruh” tatkala masyarakat menua dan lebih banyak isi rumah mempunyai pendapatan bukan pekerjaan.

Beliau berkata: “Bagi kebanyakan isi rumah yang tergolong dalam kategori teratas, faedah dan pembayaran CPF membentuk sebahagian besar pendapatan bukan pekerjaan, yang lumrahnya agak stabil.

“Pemacu kejutan yang kerap berlaku masih merupakan gangguan dalam pasaran buruh. Oleh demikian, kita mungkin memerlukan lebih banyak sokongan peralihan (dalam segi ini).”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg