PM Wong: Pendapatan isi rumah naik, namun perlu usaha baru kekalkan kemajuan S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Wong: Pendapatan isi rumah naik, namun perlu usaha baru kekalkan kemajuan S’pura

[ο] Pendapatan isi rumah naik, kali pertama lepasi $12,000; [ο] Jurang pendapatan di paras terendah sejak 2015, tapi jurang kekayaan meluas; [ο] Mobiliti sosial tunjukkan tanda-tanda semakin perlahan
Feb 9, 2026 | 8:12 PM

PM Wong: Pendapatan isi rumah naik, namun perlu usaha baru kekalkan kemajuan S’pura

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Perdana Menteri, pendapatan, isi rumah
Gaji sebenar telah meningkat merentasi semua peringkat pendapatan, dengan gaji golongan bergaji rendah menunjukkan peningkatan paling banyak. - Foto ST

Setiap warga Singapura mesti mempunyai peluang yang nyata dan bermakna untuk maju sedang terdapat tanda-tanda awal yang mobiliti sosial di negara ini semakin perlahan.

Untuk mencapai demikian, Singapura mesti terus bergerak ke arah yang betul dan bersedia menyesuaikan diri serta melakukan sesuatu yang berbeza, kata Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong.

Encik Wong berkata demikian dalam video yang dimuatnaik di media sosial sebagai respons kepada kertas kerja Kementerian Kewangan (MOF) mengenai trend pendapatan dan mobiliti sosial Singapura yang dikeluarkan pada 9 Februari.

“Sedang ekonomi kita menjadi matang, kita mula lihat tanda-tanda awal mobiliti sosial yang semakin perlahan. Singapura bukan sendirian, banyak ekonomi maju lain berdepan tekanan serupa.

“Pada masa yang sama, ramai warga Singapura terus rasa risau tentang kos kehidupan dan ketidakpastian ekonomi yang akan datang,” kata Encik Wong.

“Data menunjukkan bahawa dasar-dasar kita telah berjaya sepanjang dekad yang lalu. Namun, di tengah-tengah cabaran baru, memastikan Singapura bergerak ke arah yang betul memerlukan lebih banyak usaha dan kesediaan untuk menyesuaikan diri serta melakukan sesuatu secara berbeza,” tambah beliau.

Encik Wong turut mengatakan bahawa pemerintah akan terus berusaha membina masyarakat yang lebih adil dan saksama serta Singapura yang lebih inklusif bagi semua warga.

Kertas kerja yang dihasilkan MOF itu menunjukkan bahawa pendapatan individu sebenar telah meningkat merentasi semua peringkat pendapatan berbanding 10 tahun lalu.

Pekerja bergaji rendah mencatatkan kadar peningkatan pendapatan sebenar terbesar berbanding golongan lain.

Jabatan Perangkaan Singapura (DOS) turut mengeluarkan Trend Pendapatan Isi Rumah Utama (KHIT) 2025 pada 9 Februari.

Menurut KHIT 2025, gaji sebenar di Singapura telah meningkat merentasi semua peringkat pendapatan, dengan golongan bergaji rendah menunjukkan kadar kenaikan gaji tertinggi.

Pada 2025, pendapatan purata pasaran isi rumah bulanan bagi setiap anggota isi rumah meningkat merentasi semua peringkat pendapatan sebanyak 3 peratus kepada 12.8 peratus dalam nilai sebenar, dengan isi rumah yang berpendapatan rendah menunjukkan pertumbuhan pendapatan lebih tinggi.

Pendapatan isi rumah bulanan meningkat sebanyak 7.7 peratus, daripada $11,558 pada 2024 kepada $12,446 pada 2025 sebelum diselaraskan mengikut inflasi. Ini merupakan kali pertama angka itu melepasi paras $12,000.

Menurut dapatan itu, kadar pertumbuhan gaji adalah paling besar bagi pekerja berpendapatan rendah, lebih cepat berbanding mereka yang bergaji pertengahan atau tinggi.

Akibatnya, jurang pendapatan, yang diukur oleh pekali Gini, telah turun. Ini bermakna terdapat kesaksamaan yang lebih besar dalam kalangan masyarakat.

Selepas melaraskan pindahan dan cukai pemerintah, pekali Gini berdasarkan pendapatan pasaran isi rumah bagi setiap anggota isi rumah, jatuh daripada 0.452 pada 2015 kepada 0.379 pada 2025. Ini merupakan yang terendah sejak rekod sedemikian bermula pada 2015.

Pekali Gini mengukur tahap ketidaksamaan pendapatan dalam sesebuah ekonomi, dengan 1 menunjukkan ketidaksamaan mutlak dan 0 menunjukkan kesamaan mutlak.

Pada masa yang sama, MOF berkata berdasarkan data yang ada, ketidaksamaan kekayaan adalah lebih tinggi berbanding ketidaksamaan pendapatan.

Namun, Singapura bukan satu-satunya negara yang mengalami hal ini. Keadaan serupa boleh dilihat pada ekonomi maju lain.

“Di peringkat antarabangsa, ketidaksamaan kekayaan sering adalah lebih tinggi daripada ketidaksamaan pendapatan. Singapura tidak terkecuali: pekali Gini untuk kekayaan dianggarkan pada 0.55,” menurut kertas kerja MOF itu.

“Namun berdasarkan data yang ada, pekali Gini kekayaan Singapura secara amnya setanding dengan ekonomi maju lain, termasuk United Kingdom, Jepun dan Jerman, di mana pekali Gini kekayaan dianggarkan berada antara 0.6 hingga 0.7,” tambah MOF.

Satu lagi trend yang diketengahkan dalam kertas kerja itu ialah kebanyakan warga Singapura mengalami mobiliti pendapatan yang meningkat merentasi generasi.

Tiga daripada empat kanak-kanak yang lahir dalam 20 peratus isi rumah terbawah pada hujung 1970-an dan 1980-an, berjaya ke peringkat pendapatan yang lebih tinggi apabila mereka menjadi dewasa.

Bagaimanapun, MOF mendapati bahagian kanak-kanak yang dilahirkan dalam isi rumah berpendapatan rendah ini dan yang kekal dalam 20 peratus pendapatan terbawah telah meningkat saban tahun.

Ini mencerminkan bahawa mobiliti sosial sudah menunjukkan tanda-tanda penyederhanaan secara beransur-ansur.

“Kebanyakan warga Singapura hari ini mempunyai pendapatan melebihi ibu bapa mereka dahulu.

“Secara keseluruhan, ini merupakan gambaran yang memberangsangkan, namun, kita tidak boleh leka,” kata Encik Wong.

Tambah beliau, pemerintah telah memperkukuh mobiliti sosial melalui pelbagai cara, seperti asas pendidikan yang kukuh, peningkatan kemahiran berterusan, dan sokongan sosial yang teguh.

“Misi kami jelas: untuk memastikan setiap rakyat Singapura dapat merealisasikan potensi mereka dan berkongsi kejayaan negara kita,” ujar Encik Wong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg