Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pencalonan bagi NMP baru dibuka hingga 6 Nov

Oct 7, 2025 | 7:54 PM
NMP, dibuka, pencalonan
Orang awam kini berpeluang mencalonkan individu yang dirasakan boleh dipertimbangkan sebagai Anggota Parlimen Dilantik (NMP), dengan tempoh pencalonan dibuka dari 8 Oktober hingga 6 November 2025. - Foto fail

Orang ramai kini boleh mencalonkan individu untuk dipertimbangkan bagi jawatan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), dengan pencalonan terkini dibuka dari 8 Oktober hingga 4.30 petang, 6 November 2025.

Skim NMP yang diperkenalkan pada 1990 bertujuan memastikan perwakilan pandangan yang luas di Parlimen, dan calon bagi jawatan itu sewajarnya telah melaksanakan perkhidmatan awam yang cemerlang, membawa penghormatan kepada Singapura atau menyerlah dalam bidang masing-masing.

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen seramai lapan anggota, yang dipengerusikan Speaker, Encik Seah Kian Peng, akan meneliti pencalonan tersebut sebelum mengesyorkan calon yang sesuai kepada Presiden untuk dilantik.

Menurut satu kenyataan Pejabat Setiausaha Dewan Parlimen pada 7 Oktober, individu yang akan dicalonkan mestilah mereka yang telah memberi khidmat cemerlang kepada masyarakat, membawa nama baik kepada Singapura, atau menyerlah dalam bidang seni dan sastera, sukan, budaya, sains, perniagaan, perusahaan, kerjaya, perkhidmatan sosial atau kemasyarakatan, mahupun gerakan pekerja.

Seseorang yang layak dilantik sebagai NMP harus memenuhi kriteria berikut iaitu warganegara Singapura; berumur 21 tahun ke atas pada hari pencalonan; namanya tersenarai dalam daftar pemilih semasa; menetap di Singapura pada tarikh pencalonan dan telah menetap bagi tempoh yang keseluruhannya tidak kurang dari 10 tahun sebelum tarikh tersebut; serta mempunyai kecekapan yang mencukupi untuk mengambil bahagian secara aktif dalam prosiding Parlimen.

Beliau juga perlu boleh bertutur, kecuali jika tidak berupaya disebabkan masalah penglihatan atau sebab fizikal lain, membaca dan menulis sekurang-kurangnya dalam satu daripada bahasa berikut: Bahasa Inggeris, Melayu, Mandarin atau Tamil; dan tidak hilang kelayakan untuk menjadi Anggota Parlimen di bawah Perkara 45 Perlembagaan.

Bagi setiap penggal, hingga sembilan NMP boleh dilantik bagi tempoh dua setengah tahun.  

Penyerahan nama mesti dibuat menggunakan borang yang disediakan, yang boleh dimuat turun di laman web Parlimen di www.parliament.gov.sg.

Borang dan dokumen yang diperlukan hendaklah dihantar secara dalam talian melalui pautan: https://go.gov.sg/nmp2025.

Sebagai alternatif, borang yang telah lengkap bersama dokumen sokongan boleh dihantar secara fizikal ke Pejabat Setiausaha Dewan Parlimen di Bangunan Parlimen, 1 Parliament Place, Singapura 178880.

Semua borang dan dokumen sokongan mesti diterima oleh Pejabat Setiausaha Dewan Parlimen (sama ada melalui FormSG atau salinan fizikal) sebelum 4.30 petang pada 6 November 2025.

Pada 2023, sembilan NMP telah dipilih daripada 30 pencalonan, dan 16 daripadanya telah memohon sendiri.

Baki 14 calon pula dicalonkan tujuh kumpulan berfungsi. Ia adalah jumlah terendah yang dikemukakan sejak Parlimen kesembilan dibubarkan pada 2001.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg