Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pencuri didakwa ceroboh rumah di Holland Road melalui tapak binaan

Dec 26, 2024 | 3:23 PM
Polis membawa warga China, Feng Yunlong (gambar kiri) dan Zhang Yongxiang (gambar kanan), ke tempat kejadian pada 26 Disember, susulan kes pecah masuk di Greenleaf View di Holland Road.
Polis membawa warga China, Feng Yunlong (gambar kiri) dan Zhang Yongxiang (gambar kanan), ke tempat kejadian pada 26 Disember, susulan kes pecah masuk di Greenleaf View di Holland Road. - Foto ST

Dua lelaki asing yang didakwa mencuri dari sebuah rumah berhalaman di kawasan Holland Road pada 16 Disember memasuki rumah tersebut melalui rumah bersebelahan yang sedang dalam pembinaan.

Ketika seorang daripada mereka mencuri di rumah di Greenleaf View itu, seorang lagi mengawasi kawasan di luar rumah tersebut.

Pada 26 Disember, pegawai polis membawa dua warga China itu, Zhang Yongxiang, 52 tahun, dan Feng Yunlong, 38 tahun, kembali ke rumah tiga tingkat tersebut, lapor The Straits Times (ST).

Di sebelah kanan rumah itu terdapat tapak pembinaan bagi sebuah rumah berkembar.

Menurut papan kenyataan di tapak tersebut, lesen pembinaan dikeluarkan pada Jun 2023, dan pembinaan dijangka selesai pada Julai 2025.

Zhang tiba di kawasan tersebut dengan menaiki kereta polis pada 10.25 pagi dengan diiringi tiga anggota polis dan tangan serta pergelangan kakinya digari.

Sekitar lima minit kemudian, Feng tiba dan membawa anggota polis ke tapak pembinaan.

Dia berhenti di pintu masuk tapak pembinaan dan menunjukkan ke arah celah antara kanvas biru dengan dinding, sambil memberitahu pegawai polis dalam bahasa Mandarin: “Kami masuk melalui celah ini.”

Difahamkan bahawa Zhang dipercayai memanjat masuk ke rumah itu melalui tingkat tiga tapak pembinaan tersebut.

Feng pula dipercayai mengawasi di luar kedua-dua unit tersebut.

Mereka mencuri sebuah jam tangan Cartier Roadster bernilai $8,800 dan sebuah jam tangan Casio Edifice bernilai $150.

Rumah itu diceroboh pada 16 Disember sekitar 9 malam ketika pemiliknya tiada di rumah. Mangsa melaporkan kejadian itu pada 18 Disember.

Menurut polis, pada siang hari 18 Disember, Zhang dan Feng dikaitkan dengan satu lagi kes pecah masuk dan kecurian di sebuah hartanah di Zehnder Road di Buona Vista, yang turut dicerobohi.

Pegawai polis mengenal pasti kedua-dua suspek selepas meneliti rakaman kamera keselamatan di kawasan tersebut.

Mereka mengesan kededua suspek di sebuah hotel di Joo Chiat dan menangkap mereka sekitar 6 petang pada 18 Disember.

Selain jam tangan, polis merampas sebuah beg berjenama bernilai sekitar $5,000, wang tunai kira-kira $3,570, dan pelbagai barang kemas.

Pada 20 Disember, Zhang dan Feng – setiap seorang – dikenakan satu pertuduhan pecah rumah dengan niat untuk mencuri.

Feng berkata di mahkamah dia ingin mengaku bersalah dan tidak akan melantik peguam.

Kedua-duanya dijadual menghadapi lebih banyak pertuduhan pada sebutan mahkamah pada 27 Disember.

Polis tidak menolak kemungkinan Zhang dan Feng terlibat dalam sindiket pecah masuk yang aktif di Singapura pada pertengahan 2024.

Ia melibatkan kecurian sekitar $3.85 juta dari sekurang-kurangnya 10 rumah antara Jun dengan Ogos.

Bagi kes-kes itu, polis telah menangkap tiga warga China dan sedang mencari maklumat mengenai 14 lagi yang telah meninggalkan Singapura.

Mereka yang disabitkan dengan kesalahan pecah masuk untuk tujuan mencuri boleh dihukum penjara hingga 10 tahun dan didenda.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg