Percutian warga Singapura, Encik Melvin Chan, ke Jepun bersama isteri bertukar menjadi mimpi ngeri selepas mendapati akaun bank mereka disekat dan kad kredit dibatalkan oleh pencuri identiti yang menghubungi bank dan menyamar sebagai pasangan itu.
Encik Chan, 35 tahun, dan isteri berada di taman tema Tokyo DisneySea pada 7 Oktober apabila mereka sedari bahawa tiada satu pun kad mereka yang berfungsi.
Pasangan itu menghabiskan masa tiga jam menelefon Bank DBS, UOB dan OCBC daripada taman tema tersebut dan kemudian mendapati bahawa kad mereka dibatalkan oleh seseorang yang menghubungi bank-bank tersebut.
Individu yang menyamar sebagai Encik Chan meminta bank membatalkan kad-kad tersebut dengan alasan bahawa beliau telah kehilangan barang miliknya.
“Kami terkejut mendapati semua kad kredit saya dibatalkan dan akaun bank dibekukan.
“Pegawai bank beritahu bahawa kami perlu kembali ke Singapura untuk mengaktifkannya semula,” kata Encik Chan, yang melaporkan perkara tersebut kepada polis.
Pihak polis mengesahkan bahawa laporan telah dibuat dan sedang menyiasat perkara tersebut.
Encik Chan menambah beliau tidak hilang sebarang wang daripada akaunnya apabila kejadian itu berlaku.
Namun, kejadian itu timbul ketika bank menghadapi tekanan yang semakin meningkat untuk melindungi pelanggan daripada penipuan.
Data daripada pihak polis menunjukkan mangsa penipuan di Singapura kehilangan $385.6 juta dalam enam bulan pertama 2024, dengan rekod 26,587 kes dicatatkan sepanjang tempoh tersebut.
UOB dan OCBC memberitahu The Straits Times bahawa melindungi akaun pelanggan mereka adalah keutamaan dan penyekatan serta pembatalan kad adalah langkah penting dalam mencegah penipuan.
Encik Chan berkata kedua-dua bank membatalkan kad kreditnya selepas menerima panggilan daripada seseorang yang menyamar sebagai dirinya.
Panggilan itu dipercayai telah melepasi proses pengesahan identiti selepas beberapa percubaan yang gagal.
Beliau kecewa dengan pihak bank kerana tidak berusaha menghubunginya apabila pemanggil itu pada awalnya gagal menjawab soalan-soalan pengesahan.
Apabila ditanya mengenai kejadian tersebut, jurucakap UOB berkata bank utamakan “penjaminan segera akaun pelanggan” terhadap sebarang akses tidak sah.
“Pemanggil dikehendaki memberi butiran peribadi pemegang kad seperti nombor kad pengenalan (NRIC), butiran kad dan akaun mereka.
“Pendekatan ini adalah selaras dengan piawaian industri,” katanya.
Jurucakap OCBC berkata bank akan terus meningkatkan proses “mencapai keseimbangan yang tepat antara keselamatan dengan kemudahan untuk para pelanggan” dan menyatakan kesediaan membantu dalam siasatan polis.
Bank DBS berkata mereka menerima permintaan yang serupa untuk menyekat kad Encik Chan dan “segera bertindak untuk utamakan keselamatan akaun dan kad dengan mengikuti protokol penyekatan kad”.
Bagi DBS, pemanggil hanya perlu memberi nama penuh pemegang akaun dan nombor telefon atau NRIC untuk kad mereka disekat.
Encik Chan berkata beliau menggesa bank memperkenalkan langkah keselamatan yang lebih kuat, seperti memerlukan kata laluan sekali guna (OTP) sebelum menyekat akaun.
DBS mengesahkan bahawa pasukan perkhidmatan pelanggan membantu Encik Chan dengan melaksanakan arahan keselamatan tambahan pada profilnya dan memastikan arahan lanjut hanya akan diproses melalui panggilan yang disahkan dengan OTP tambahan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg