Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Agung, Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir, berharap golongan muda Melayu/Islam dapat menerima kegagalan kerana ia diperlukan untuk berkembang secara profesional dan menjadi versi diri mereka yang terbaik.
Encik Mohamed Faizal, 44 tahun, melahirkan harapannya itu semasa mendekati sekumpulan belia menerusi acara sembang santai di sesi kelima Siri Jauhari anjuran Berita Harian (BH) dan OMGxBH pada 30 September.
Siri Jauhari merupakan ruang untuk pemenang Anugerah Jauhari BH berkongsi kisah inspirasi mereka kepada golongan muda berusia dari 18 tahun hingga 35 tahun.
Ia diadakan setiap bulan selama enam bulan, dengan siri pertama menampilkan mantan presiden, Puan Halimah Yacob, pada 31 Mei.
Encik Mohamed Faizal, penerima Anugerah Jauhari BH 2020, menyertai sekitar 50 belia di kafe (working title) di Maktab Seni Lasalle untuk berkongsi kisah kejayaan hidup, motivasi dan kerjayanya.
Turut hadir sebagai tetamu kehormat pada sesi kelima Siri Jauhari ialah Anggota Parlimen (AP) GRC Marsiling-Yew Tee, Cik Hany Soh, yang memberi sokongan padu kepada acara yang merapatkan hubungan antara tokoh masyarakat dengan generasi muda.
Semasa sesi sembang santai, Encik Mohamed Faizal membuka cerita tentang nilai yang membentuk keperibadiannya dan pengalaman kerjaya dalam industri undang-undang sebagai anggota masyarakat minoriti.
Beliau turut menekankan kepentingan daya tahan dalam menghadapi cabaran hidup dan pelbagai kegagalan.
Menurutnya, setiap kesukaran yang dihadapi adalah peluang untuk belajar daripada kesilapan.
“Setiap cabaran yang kita hadapi merupakan satu peluang untuk kita mempelajari tentang kesilapan dan berkembang sebagai individu.
“Jangan putus asa sekiranya anda gagal pada kali pertama, kali kedua, atau kali ketiga. Akan ada peluang yang seterusnya, jadi jangan risau,” ujar Encik Mohamed Faizal.
Dalam sesi itu, belia daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama turut dibahagikan kepada empat kumpulan bagi membincangkan empat topik – mobiliti sosial, pendidikan adil dan inklusif, keterangkuman sosial, serta pemerkasaan sosial.
Salah seorang peserta, Encik Muhammad Ilhan Irfan, 18 tahun, pelajar Maktab Rendah Victoria, berkata beliau tertarik untuk menyertai sesi kelima Siri Jauhari kerana ingin tahu ciri-ciri yang diperlukan bagi mereka yang mahu menceburi bidang undang-undang.
“Sebagai belia, saya mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang peguam atau meneroka industri undang-undang, jadi saya rasa acara ini suatu kaedah saya boleh meluaskan rangkaian saya,” ujar Encik Muhammad Ilhan.
Siri Jauhari disokong unit maklum balas pemerintah, Reach.
Sesi kelima itu turut disertai Editor BH, Encik Nazry Mokhtar dan Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg