Topik diikuti
Pergi ke BHkuPendaftaran Darjah 1: 73 sekolah jalankan undi Fasa 2C
Sekolah Rendah Opera Estate tidak lebihi kuota, tetapi akan adakan undian bagi pemohon PR
Sebanyak 73 sekolah rendah bakal menjalankan pengundian bagi penempatan dalam Fasa 2C, iaitu peringkat terkini dalam proses pendaftaran Darjah 1.
Daripada jumlah tersebut, 72 sekolah menerima permohonan melebihi kuota, manakala sebuah lagi sekolah – Sekolah Rendah Opera Estate – tidak melebihi kuota tetapi akan mengadakan pengundian bagi pemohon berstatus Penduduk Tetap (PR).
Secara keseluruhan, sebanyak 79 sekolah menerima permohonan melebihi jumlah tempat yang disediakan dalam sesi pendaftaran Darjah 1 bagi 2026.
Namun, tujuh daripada sekolah berkenaan tidak akan menjalankan pengundian kerana sekolah tersebut hanya akan mengambil murid sehingga kategori keutamaan tertentu sahaja.
Sekolah tersebut ialah Sekolah St. Margaret (Rendah), Sekolah Rendah Yangzheng, Sekolah Rendah Katolik Canossa, Sekolah Rendah Punggol, Sekolah Rendah Keming, Sekolah Rendah Tanjong Katong dan Sekolah Rendah Alexandra.
Kementerian Pendidikan (MOE) telah mengemas kini angka pendaftaran bagi Fasa 2C di laman webnya pada 5 Ogos.
Pendaftaran bagi fasa berkenaan telah ditutup pada 4.30 petang, 30 Julai.
Keputusan bagi fasa tersebut akan diumumkan pada 11 Ogos.
Jumlah tempat kosong bagi peringkat seterusnya, iaitu Fasa 2C Tambahan, juga akan dikeluarkan pada 1 petang, 11 Ogos.
Fasa ini merupakan peringkat terakhir bagi sesi pendaftaran Darjah 1 bagi 2026.
Pendaftaran bagi Fasa 2C Tambahan akan dibuka pada 9 pagi, 17 Ogos dan ditutup pada 4.30 petang, 18 Ogos. Keputusan bagi fasa ini akan diumumkan pada 27 Ogos.
Sekolah Rendah Princess Elizabeth di Bukit Batok merupakan sekolah yang paling banyak menerima permohonan melebihi kuota dalam Fasa 2C, dengan 159 pemohon bersaing untuk 40 tempat.
Ini diikuti oleh Sekolah Rendah Northland di Yishun, yang mencatat 141 pemohon bagi 42 tempat; serta Sekolah Rendah Nan Hua di Clementi, dengan 123 pemohon bagi 41 tempat.
Menurut MOE, 55.3 peratus sekolah tidak akan menjalankan pengundian bagi Fasa 2C, yang dibuka kepada kanak-kanak yang tidak mempunyai hubungan atau kaitan terdahulu dengan sekolah berkenaan.
Meskipun Sekolah Rendah Opera Estate tidak menerima permohonan melebihi kuota, ia akan menjalankan pengundian bagi kanak-kanak PR yang tinggal di luar lingkungan 2 kilometer (km) dari sekolah tersebut. Ini kerana sekolah berkenaan mempunyai had kemasukan bagi murid PR.
Bagi sekolah yang menerima permohonan melebihi kuota, keutamaan kemasukan diberikan mengikut susunan tertentu.
Keutamaan tertinggi diberikan kepada kanak-kanak warga Singapura yang tinggal dalam lingkungan 1 km dari sekolah, diikuti warga Singapura yang tinggal antara 1 km dengan 2 km dari sekolah, dan seterusnya warga Singapura yang tinggal lebih daripada 2 km dari sekolah berkenaan.
Keutamaan seterusnya akan diberikan kepada kanak-kanak PR yang tinggal dalam lingkungan 1 km dari sekolah; diikuti PR yang tinggal antara 1 km dengan 2 km dari sekolah; dan akhir sekali PR yang tinggal lebih 2 km dari sekolah berkenaan.
Sejak 2022, MOE telah memperuntukkan 60 tempat bagi Fasa 2B dan 2C pada permulaan sesi pendaftaran Darjah 1 demi memastikan sekolah-sekolah kekal boleh diakses oleh seberapa ramai kanak-kanak yang mungkin.
Sekiranya terdapat baki tempat kosong daripada fasa sebelumnya, satu pertiga daripadanya akan diperuntuk bagi Fasa 2B, manakala dua pertiga lagi diperuntuk bagi Fasa 2C.
Secara keseluruhan, Singapura mempunyai 182 sekolah rendah, dengan 179 daripadanya dibuka bagi sesi pendaftaran 2026.
