Sebanyak 31 sekolah rendah akan menjalankan pengundian bagi penempatan dalam Fasa 2B proses pendaftaran Darjah 1 2026.

Sekolah-sekolah ini merupakan antara 33 sekolah yang menerima permohonan melebihi kuota.

Sekolah Rendah Nanyang di Bukit Timah mencatat lebihan permohonan tertinggi, dengan 52 kanak-kanak bersaing bagi 20 tempat.

Ia diikuti Sekolah Ai Tong di Bishan dan Sekolah Rendah Pei Hwa Presbyterian di Bukit Batok, masing-masing menerima 51 dan 46 permohonan bagi 20 tempat.

Kementerian Pendidikan (MOE) mengemas kini angka pendaftaran pada 23 Julai selepas Fasa 2B berakhir pada 21 Julai. Keputusan akan diumumkan pada 27 Julai.

MOE berkata 81.6 peratus sekolah tidak perlu menjalankan pengundian.

Fasa 2B dikhaskan untuk ibu bapa yang mempunyai hubungan kukuh dengan sekolah atau masyarakat, termasuk sukarelawan sekolah, individu yang disokong gereja atau persatuan keturunan, serta pemimpin masyarakat aktif. Pada 2025, sebanyak 29 sekolah menjalankan pengundian.

Daripada 31 sekolah, 22 akan mengundi bagi warga  Singapura yang tinggal dalam lingkungan 1 kilometer (km), lima bagi mereka yang tinggal antara 1 km hingga 2 km, dan empat bagi mereka yang tinggal lebih 2 km.

Dua lagi sekolah, iaitu Sekolah Rendah Fairfield Methodist dan Sekolah Rendah Katolik Canossa, tidak perlu mengadakan pengundian meskipun menerima permohonan berlebihan kerana kekosongan masih mencukupi.

Keutamaan kemasukan diberi mengikut kewarganegaraan dan jarak kediaman, daripada warganegara Singapura dalam lingkungan 1 km hingga Penduduk Tetap (PR) yang tinggal lebih 2 km.

Setiap sekolah memperuntukkan 20 tempat bagi Fasa 2B dan 40 bagi Fasa 2C untuk kanak-kanak tanpa adik-beradik atau hubungan terdahulu dengan sekolah.

Semua 179 sekolah akan mempunyai kekosongan dalam Fasa 2C. 

Sejak 2022, MOE memperuntukkan 60 tempat bagi Fasa 2B dan 2C, dengan baki kekosongan diagihkan satu pertiga kepada Fasa 2B dan dua pertiga kepada Fasa 2C. 

Had pengambilan murid PR turut dikenakan di beberapa sekolah semasa Fasa 2C dan Fasa 2C Tambahan.

Daripada 182 sekolah rendah di Singapura, 179 dibuka untuk pendaftaran 2026. 

Sekolah Rendah Kranji, Townsville dan Damai tidak menerima murid Darjah 1 dari 2025 hingga 2027 sebagai persediaan untuk berpindah masing-masing ke Tengah pada 2028, Sembawang dan Tampines North pada 2029.

Pendaftaran Fasa 2C dibuka dari 28 hingga 30 Julai, manakala keputusan akan diumumkan pada 11 Ogos.