Guru prasekolah akan menerima lebih banyak sokongan untuk mengurus kanak-kanak dengan keperluan pembelajaran dan perkembangan berbeza menerusi sumber baru yang dibangunkan oleh NTUC First Campus (NFC).

Kit mesra semua kanak-kanak yang dilancarkan pada 22 Mei merangkumi buku panduan strategi praktikal, alat mainan deria dan kad isyarat visual.

Ia bertujuan membantu guru mengurus tingkah laku kanak-kanak, memenuhi pelbagai keperluan dan menyokong pengawalan emosi mereka.

Buku panduan tersebut mengandungi contoh tingkah laku di dalam kelas seperti ketika kanak-kanak mengamuk dan resah. Guru boleh memadankan pemerhatian di bilik darjah dengan keadaan yang disenaraikan dan melaksanakan langkah yang disarankan.

Setiap pendekatan bermula dengan strategi ‘Keep CALM’ (Sentiasa Tenang) yang dibangunkan NFC, iaitu merendahkan diri ke tahap kanak-kanak, mengiktiraf perasaan mereka, mendengar tanpa mencelah dan menunjukkan tingkah laku tenang sebagai contoh.

Bahan tersebut dibangunkan oleh pakar kurikulum dan pakar sokongan kanak-kanak NFC dengan sumbangan daripada lebih 50 pendidik di 12 prasekolah.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NFC, Encik Justin Ang, berkata kit itu sebahagian daripada usaha memperkukuh amalan mesra semua kanak-kanak di pusat mereka.

“Dalam banyak aspek, ini sebenarnya amalan pendidikan awal kanak-kanak yang baik.

“Apabila pendekatan mesra semua kanak-kanak diterapkan dalam pergaulan dan pembelajaran harian, ia mengukuhkan pengalaman pembelajaran setiap kanak-kanak di bilik darjah,” katanya pada Hari Pembangunan NFC, acara tahunan bagi pendidik supaya bertukar amalan terbaik dan menyertai bengkel peningkatan kemahiran.

Acara yang dihadiri 7,000 pendidik dan kakitangan itu diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands.

NFC akan melaksanakan kit tersebut secara berperingkat di 186 pusat prasekolahnya termasuk My First Skool. Ia merupakan pengendali prasekolah kedua terbesar di Singapura dengan lebih 30,000 kanak-kanak di pusatnya setiap tahun.

Jurucakap NFC berkata rakan pembiayaannya, Dana Masyarakat NTUC, akan berkongsi sumber itu dengan sektor pendidikan awal kanak-kanak mulai 2027.

Guru bahasa Inggeris, Cik Jalena Tay, 26 tahun, berkongsi pengalaman mengendalikan seorang murid yang terlalu tertekan hingga membaling mainan.

Pakar penjagaan kanak-kanak sebelum ini pernah melawat pusatnya dan berkongsi strategi mengurus tingkah laku sedemikian.

“Saya cuba kekal tenang dan memberinya ruang sendiri. Apabila tingkah lakunya mula reda, saya memegang tangannya dengan lembut dan berkata, ‘Mari kita kemas bersama-sama.’ Saya juga cuba mengalihkan perhatiannya dengan bertanya soalan.”

Menurut pakar pencegahan awal kanan, Cik Corrine Elizabeth Peters, 41 tahun, yang terlibat dalam pembangunan kit tersebut, alat mainan deria membantu mengalihkan tangan kanak-kanak daripada pergerakan seperti menolak rakan. Ia juga membantu memenuhi keperluan deria melalui “maklum balas tekanan pada sendi jari”.

Strategi lain dalam panduan itu termasuk menggunakan pemasa untuk membantu kanak-kanak bergilir-gilir serta menunjuk kad isyarat visual dengan arahan seperti “senyap” berbanding memberi peringatan lisan.

Guru akan dilatih menggunakan sumber tersebut. Jumlah kit bagi setiap pusat bergantung pada saiznya, dan guru boleh mendapatkan komponen tambahan mengikut keperluan.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, berkata kit tersebut selaras dengan pelan Prasekolah Bermutu 2030 untuk meningkatkan keupayaan prasekolah dan kemahiran pendidik.