Rakyat Singapura boleh menantikan pelbagai tawaran dan pengalaman interaktif di Taman Haiwan Singapura serta tarikan lain di Mandai Wildlife Reserve, sebagai sebahagian sambutan perayaan ulang tahun ke-60 Singapura (SG60) yang diraikan Mandai Wildlife Group (MWG).
MWG akan memperkenalkan beberapa tawaran menarik di bawah inisiatif ‘Mandai Is Wild About SG’.
Sebagai sebahagian daripada tawaran istimewa ‘SG60 WildPass’, penduduk tempatan boleh membeli dua tiket masuk ke Taman Haiwan atau River Wonders dengan harga $60 – berbanding harga asal $98 – bermula dari 27 Mei hingga 30 Jun.
Dengan harga yang sama, penduduk tempatan berusia antara 13 dengan 21 tahun boleh membeli tiga tiket ke mana-mana taman di bawah kelolaan Mandai Wildlife Reserve.
Tawaran ini boleh digunakan dari 27 Mei hingga 31 Ogos, lapor The Straits Times (ST).
Penduduk tempatan yang mempunyai tiket masuk rasmi ke mana-mana taman hidupan liar di Mandai Wildlife Reserve juga boleh membeli pas keahlian ‘Friend of Rainforest Wild Asia’ pada harga $60, bermula dari 31 Mei hingga 31 Ogos.
Sebagai sebahagian daripada tawaran SG60 bagi warga emas (SG60 Senior Promo) yang sedang berlangsung, penduduk warga emas berusia 60 tahun dan ke atas boleh menikmati keahlian tahunan ‘Friends of Mandai’ untuk lima taman pada harga istimewa $60 – berbanding harga asal $235 – sehingga 31 Ogos.
Mulai 7 Jun, semua pengunjung boleh menikmati pengalaman ‘Hello From The Wild’, termasuk sesi berinteraksi selama 20 minit dengan tikus capybara di River Wonders, serta rubah fennec (sejenis musang) dan lemur ring-tailed di Taman Haiwan.
Edisi ‘Hello From The Wild’ bersama walabi (haiwan seakan kanggaru) pula akan dilancarkan di Safari Malam pada lewat 2025, kata MWG.
Di Bird Paradise, pengunjung berpeluang bertemu dengan penguin raja, penguin spesies gentoo dan northern rockhopper di prasarana khas berhawa dingin yang biasanya tidak dibuka kepada orang ramai, menerusi pengalaman ‘Backstage Pass: Penguin Encounters’.
Dari 31 Mei hingga 10 Ogos, pengunjung juga boleh menikmati akses percuma kepada jadual perjalanan digital istimewa semasa lawatan mereka, termasuk jejak digital ‘Born To Be Wild’.
Mereka yang melengkapkan laluan ini akan menerima cenderahati edisi terhad SG60.
MWG turut memaklumkan bahawa lebih banyak program dan tawaran di bawah inisiatif ‘Mandai Is Wild About SG’ akan diperkenalkan sepanjang 2025.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg