Mahkamah memberi masa kepada Ketua Parti Pekerja (WP), Encik Pritam Singh, untuk menyemak kenyataan polis yang dikemukakannya pada Ogos 2021 sehingga perbicaraan disambung pada pagi 8 November.
Ini selepas soal jawab Timbalan Peguam Negara (DAG) Ang Cheng Hock terhadap Encik Pritam pada 7 November yang mendakwa kenyataan polis beliau dan keterangan mahkamahnya tidak konsisten.
Pada 28 Disember 2022, Encik Pritam dikatakan memberitahu polis dalam satu kenyataannya bahawa dalam fikiran beliau, “perkara itu telah diselesaikan” selepas Ketua Dewan Cik Indranee Rajah berkata di Parlimen pada 3 Ogos 2021, bahawa Anggota Parlimen perlu membuktikan apa yang mereka katakan.
Dalam pada itu, DAG Ang menegaskan bahawa Encik Pritam sebelum ini tidak bersetuju apabila ditanya di mahkamah sama ada beliau berada di bawah tanggapan bahawa perkara itu telah diselesaikan.
Encik Pritam menafikan dan berkata bahawa pada 3 Ogos 2021, beliau berpendapat perkara itu tidak akan dibangkitkan lagi kerana beliau menganggap anekdot Cik Raeesah Khan dan penjelasan ringkasnya di Parlimen pada hari yang sama, adalah benar.
Namun, kedudukannya berubah selepas Cik Raeesah enggan memberikan maklumat lanjut dan beliau mendapati kemudian bahawa anekdot itu palsu.
Pihak pendakwaan juga mendakwa terdapat konflik kepentingan apabila Encik Pritam, Cik Sylvia Lim dan Encik Faisal Manap memutuskan untuk menganggotai panel disiplin WP terhadap Cik Raeesah.
DAG Ang mengemukakan pertemuan pada 11 Oktober 2021, antara Encik Pritam, Cik Sylvia Lim dengan Encik Low Thia Khiang, yang mana Encik Low sebelum ini dalam perbicaraan berkata Cik Lim telah bercakap tentang rancangan untuk memecat Cik Raeesah.
Encik Pritam menjelaskan: “Tidak pernah timbul persoalan untuk memecat Cik Raeesah pada 2 November, apabila panel disiplin dibentuk.”
“Dengar soalan saya,” kata DAG Ang. “Anda merasakan bahawa walaupun anda telah menyatakan pandangan itu (memecat Cik Raeesah) kepada Encik Low, tiada masalah untuk anda duduk dalam panel disiplin. Adakah saya betul?”
Encik Pritam menjawab dengan tegas: “Tidak, anda salah.”
DAG Ang berkata bukti Encik Pritam “bertentangan dengan logik” apabila beliau menjawab “ia tidak terlintas dalam fikiran saya sama sekali, dan saya juga tidak pasti sama ada itu normal atau semula jadi” kepada persoalan jika Cik Raeesah menghadapi masalah berkongsi butiran serangan seksualnya, sekiranya anggota parti lain membentuk panel tersebut.
Encik Pritam tidak bersetuju dengan kata-kata DAG Ang.
Pihak pendakwaan turut menegaskan bahawa sebab sebenar mengapa Encik Pritam tidak mahu Cik Raeesah memberitahu polis tentang pembohongannya dan menghentikan siasatan adalah untuk menghalang penglibatannya dalam memanjangkan pembohongan itu sejak 8 Ogos 2021.
Menjawab, Encik Pritam berkata tidak, dan bertanya: “Jadi bagaimana jika ia didedahkan?”
DAG Ang membalas semula dan berkata: “Encik Pritam, ini soal balas, bukan? Tolong jangan tanya saya apa-apa soalan melainkan untuk meminta saya menjelaskan soalan.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg