Topik diikuti
Pergi ke BHkuBunuh isteri di flat Bukit Panjang: Pendakwa dapati lelaki 90 tahun tidak layak dibicarakan
Bunuh isteri di flat Bukit Panjang: Pendakwa dapati lelaki 90 tahun tidak layak dibicarakan
Bunuh isteri di flat Bukit Panjang: Pendakwa dapati lelaki 90 tahun tidak layak dibicarakan
Semasa berada di rumah sendirian bersama isterinya, seorang lelaki warga emas berusia 88 tahun yang menghidap demensia menyerang isterinya yang berusia 74 tahun sehingga terkorban di flat Bukit Panjang mereka pada 2024.
Serangan ganas itu meninggalkan luka parah yang mendedahkan keretakan pada tulang rahang, tulang selangka, tulang rusuk serta paru-paru mangsa, kata pihak pendakwa kepada Mahkamah Tinggi pada 3 Ogos.
Ridawi Morsudin didapati bertutur dalam keadaan tidak jelas apabila pegawai polis tiba di flat berkenaan di Petir Road.
Semasa diperiksa doktor pada hari kejadian, dia berada dalam keadaan celaru serta tidak mampu menceritakan apa yang telah berlaku.
Pada 3 Ogos, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Goh Yong Ngee, memberitahu mahkamah bahawa Ridawi, yang kini berusia 90 tahun, didapati tidak layak membuat pengakuan, sekali gus bermakna dia kekurangan keupayaan mental untuk dibicarakan.
Ia merupakan kes pertama yang dibawa ke Mahkamah Tinggi di bawah prosedur undang-undang bagi individu dalam keadaan sedemikian.
Di bawah rangka kerja undang-undang tersebut, hakim perlu menentukan sama ada tertuduh benar-benar tidak berupaya membela dirinya.
Jika benar, hakim perlu melaporkan kes itu kepada Menteri Undang-Undang serta menentukan tempoh hukuman penjara bayangan (notional imprisonment period) yang sepatutnya dijalani individu berkenaan sekiranya dia disabitkan kesalahan.
Menteri kemudiannya akan mengeluarkan perintah bagi penahanan individu tersebut.
Tempoh hukuman penjara bayangan bertindak sebagai had maksimum bagi tempoh seseorang individu itu boleh ditahan di bawah perintah daripada menteri.
Ridawi berdepan tuduhan menyebabkan kematian isterinya, Aminah Abdul, tanpa niat membunuh, antara 7 malam pada 4 Jun 2024 dengan sekitar 1 pagi pada 5 Jun 2024.
Pada 3 Ogos, Ridawi menghadiri perbicaraan tersebut menerusi pautan video daripada Pusat Perubatan Kompleks Penjara Changi dan prosiding itu diterangkan kepadanya oleh seorang jurubahasa bahasa Melayu.
DPP Goh berkata Ridawi merupakan satu-satunya individu yang mungkin menyebabkan kecederaan maut berkenaan.
Dalam tempoh enam jam antara waktu mangsa terakhir dilihat masih hidup dengan waktu beliau ditemui mati, Ridawi adalah satu-satunya orang yang berada di dalam flat itu bersamanya.
Pihak pendakwa memohon tempoh hukuman penjara bayangan selama lima tahun.
Peguam Bela Awam Taufiq Suraidi, yang mewakili Ridawi, memohon tempoh antara dua dengan tiga tahun, mengambil kira faktor umur dan keadaan fizikalnya yang lemah.
Hakim Hoo Sheau Peng akan menyampaikan keputusan beliau pada 13 Ogos.
Menurut Hakim Hoo, beliau ingin mempertimbangkan perkara itu dan memastikan prosedur tersebut dilaksanakan dengan betul, memandangkan ini merupakan kes pertama seumpamanya.
Pada Jun 2024, seorang pakar psikiatri Institut Kesihatan Mental (IMH) berkata Ridawi kemungkinan berada dalam keadaan meracau semasa kesalahan itu dilakukan.
Pakar berkenaan mengesahkan bahawa Ridawi tidak layak membuat pengakuan, tidak siuman dan tidak berupaya membela diri kerana menghadapi gangguan neurokognitif utama akibat penyakit Alzheimer dan penyakit vaskular berserta gangguan tingkah laku.
Penilaian susulan pada Ogos 2025 mendapati Ridawi kekal tidak berupaya membuat pengakuan berikutan kemerosotan kognitif yang teruk dan terdapat kemungkinan besar dia tidak mampu kembali pulih bagi menjalani perbicaraan.
Laporan itu turut menyatakan bahawa risiko keseluruhan Ridawi untuk mengulangi kesalahan ganas adalah rendah.