Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Zaqy: BH dapat main peranan sebagai sumber berwibawa bagi golongan muda

BH lancar wadah baru OMGxBH dekati pembaca, audiens muda
Aug 30, 2024 | 7:05 PM
Encik Zaqy Mohamad (dua dari kanan) meninjau reruai di Pesta Pelancaran OMG pada 30 Ogos. Beliau diiringi Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar (tiga dari kanan), dan Editor Audiens dan Perkembangan Berita Harian, Cik Norhaiza Hashim (kanan).
Encik Zaqy Mohamad (dua dari kanan) meninjau reruai di Pesta Pelancaran OMG pada 30 Ogos. Beliau diiringi Editor Berita Harian, Encik Nazry Mokhtar (tiga dari kanan), dan Editor Audiens dan Perkembangan Berita Harian, Cik Norhaiza Hashim (kanan). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Usaha berterusan Berita Harian (BH) bagi menjangkau audiens baru, khususnya golongan lebih muda, penting untuk akhbar ini kekal relevan, kata Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad.

Ini lebih-lebih lagi sedang amalan golongan muda masa kini, yang lebih cenderung menggunakan wadah media sosial untuk mendapatkan berita, ujarnya.

Daripada melihat itu sebagai satu ancaman, BH dapat memainkan peranan penting sebagai sumber berwibawa bagi golongan tersebut dan masyarakat Melayu/Islam secara umum, tambah beliau.

Encik Zaqy berkata demikian semasa berucap pada Pesta Pelancaran OMGxBH di kafe (working title), Maktab Seni LaSalle, pada 30 Ogos.

OMG, atau Orang Muda Gitew, adalah wadah BH yang terkini bagi menjangkau audiens baru dan disasarkan kepada golongan dewasa berusia antara 21 dengan 34 tahun.

Padat dengan maklumat mengenai isu-isu yang dekat di hati golongan muda, ia saling melengkapi kandungan wadah cetak dan digital BH yang sedia ada.

“Bagi warga Singapura yang lebih muda, sudah menjadi kebiasaan mereka mendapatkan berita melalui media sosial seperti Instagram dan TikTok.

“Adalah penting golongan ini terus memperoleh pengetahuan tentang ehwal semasa dan mendapatkan berita melalui sumber maklumat yang boleh dipercayai (seperti BH),” kata Encik Zaqy.

Perubahan selera anak muda mendapatkan berita ini turut diakui Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, yang berkongsi bahawa wadah media sosial semakin penting untuk mendekati pembaca.

Dalam ucapan alu-aluannya, beliau berkata BH telah meningkatkan usaha untuk memahami dan menepati cita rasa golongan lebih muda agar kandungannya disajikan “sejajar dengan cita rasa pembaca dan audiens”.

“BH perkenalkan OMG selepas kami menjalankan tinjauan pembaca, atau reader’s survey, pada 2023.

“Tinjauan ini menunjukkan pembaca muda lebih gemar kandungan semasa – berita tergempar yang menarik perhatian mereka. Ini termasuk kandungan gaya hidup… (maka) inilah antara kandungan menarik yang telah OMGxBH hasilkan sejak Disember 2023,” ujar beliau.

Malah sejak dilancarkan, OMGxBH kini mempunyai lebih 37,000 pengikut di wadah TikTok, Instagram dan YouTube – melebihi sasaran 16,500 bagi tempoh setahun, ujar Encik Nazry.

Beliau memuji usaha transformasi BH ke arah pendigitalan untuk menjadi lebih menarik kepada audiens dan pencapaian OMGxBH sejauh ini, yang sekali gus memastikan BH kekal relevan kepada pembaca dalam era digital.

“Agensi pemerintah dan badan Melayu/Islam seperti Mendaki juga sedang memanfaatkan OMGxBH untuk menjangkau golongan muda dalam kempen mereka,” kata beliau.

Selain berfungsi sebagai wadah menjangkau audiens baru, Encik Nazry menjelaskan OMGxBH turut bertujuan membina komuniti agar golongan Melayu yang muda dapat “berhubung, berinteraksi, dan berkembang bersama-sama”.

“Kami inginkan OMGxBH menjadi komuniti, dengan suara anda (anak muda) didengari dan apa yang anda minat ditampilkan (ke hadapan),” katanya.

Sementara itu, Encik Zaqy mengatakan wadah OMGxBH memberi peluang kepada BH untuk mengetengahkan kandungan silang produk yang kemudiannya boleh diolah bagi golongan sasaran.

Langkah itu sekali gus juga memberi ruang “ekspresi kreatif” agar kandungan dan mesej yang disampaikan lebih tertumpu kepada audiens tertentu yang ditujukan.

Pesta pelancaran itu turut dihadiri Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SPH Media, Encik Kuek Yu Chuang, dan Ketua Pegawai Operasi SPH Media, Cik Loh Yuh Yiing.

Sekitar 200 individu hadir di pesta pelancaran itu, yang turut disertai 10 pengendali reruai yang menjual pelbagai produk.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg