Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendekatan pragmatik S’pura contoh bagi pembangunan Arab Saudi, negara lain

Saudi kagum dengan S’pura, visi disiplin seiring pelaksanaan sempurna dalam usaha pacu transformasi
Dec 1, 2025 | 7:42 PM
S R Nathan Distinguished Lecture, Mohammed Khalid Alyahya, Profesor Joseph Liow, saudi arabia
Penasihat bagi Menteri Ehwal Luar Arab Saudi, Encik Mohammed Khalid Alyahya (kiri), menjawab soalan yang diaju oleh Pengerusi Institut Timur Tengah (MEI) selaku moderator, Profesor Joseph Liow (kanan), dan para peserta yang hadir di kuliah, ‘S R Nathan Distinguished Lecture’, yang diadakan di Hotel Conrad Singapore Orchard pada 1 Disember. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Singapura adalah kajian kes baik tentang apa yang boleh dicapai oleh pemerintah yang berwawasan, sikap kerja keras tanpa lelah dan keengganan menerima had teknologi serta ekonomi dalam dunia yang terhubung dan bergelora.

Demikian dikongsi Penasihat bagi Menteri Ehwal Luar Arab Saudi, Encik Mohammed Khalid Alyahya, semasa berucap di kuliah, S R Nathan Distinguished Lecture, yang diadakan di Hotel Conrad Singapore Orchard pada 1 Disember.

Encik Mohammed Khalid berkata Arab Saudi “mengkaji (Singapura) dengan teliti” tentang apakah yang boleh dicapai dengan “visi berdisiplin yang digabungkan dengan pelaksanaan sempurna”.

“Singapura mengajar saya pragmatisme itu penting dan pandangan ini yang memacu transformasi Arab Saudi hari ini,” kata Encik Mohammed Khalid, mengetengahkan transformasi pragmatik Arab Saudi, sambil membuat persamaan dengan pembangunan Singapura.

“Dalam era ketika ideologi sering mengaburkan pertimbangan, dengan negara menggunakan politik identiti sebagai senjata… negara yang tidak berideologi, bersikap pragmatik dan berorientasikan hasil, yang benar-benar memberi hasil kepada rakyat mereka.”

Berbanding dengan Arab Saudi, yang merupakan negara monarki turun-temurun dan dikurniakan minyak, Encik Mohammed Khalid berkata, Singapura merupakan negara demokrasi berparlimen yang tidak mempunyai sumber asli.

Namun demikian, negara kecil ini, katanya, adalah “model paling relevan” untuk dikaji oleh Arab Saudi bagi masa depannya.

Beliau memetik bagaimana apabila Singapura merdeka pada 1965, banyak pihak meramalkan negara kecil ini tidak akan bertahan selama sedekad.

Walau bagaimanapun, dalam tempoh 10 tahun, Singapura menjadi pusat penapisan minyak ketiga terbesar di dunia, yang menarik perhatian Arab Saudi, tambahnya.

Encik Mohammed Khalid turut menekankan bagaimana Singapura membangun daripada sebuah negara yang “terpaksa bertahan untuk hidup” kepada sebuah negara “makmur yang tiada tandingan”.

Beliau memuji daya Singapura mengharungi cabaran sebagai negara yang mempunyai batasan dari segi tanah dan kekurangan sumber, kepada sebuah hab kewangan sejagat dengan perdagangan membentuk lebih 300 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP).

“Cara anda melabur dalam pendidikan, perumahan dan kemahiran, cara anda mendaki tangga teknologi dekad demi dekad, cara anda enggan menerima sebarang had.

“Teladan anda memberi kami keyakinan bahawa apa yang dicapai dengan visi berdisiplin di sini, boleh dicapai di Arab Saudi pada skala benua, dan di negara lain,” tambahnya.

Semasa ucapannya, Encik Mohammed Khalid turut membuat persamaan antara mendiang Perdana Menteri Pengasas Singapura, Encik Lee Kuan Yew, dengan mendiang Raja Abdul Aziz, dan menyifatkan mereka sebagai “pemimpin berwawasan”.

Encik Mohammed Khalid berkata walaupun Singapura dan Arab Saudi terletak jauh dari satu sama lain, kededua pemimpin mempunyai tekad yang sama untuk memimpin rakyat melalui transformasi dengan prinsip pragmatisme yang tidak berbelah bahagi.

“Mendiang Encik Lee Kuan Yew pernah menyatakan dengan tegas bahawa dunia tidak berhutang kehidupan kepada Singapura – satu kepercayaan pragmatik yang mendorong Singapura bangkit daripada kelemahan kepada daya hidup.

“Tema pragmatisme yang mengatasi ideologi ini membimbing transformasi dan membentuk dasar kededua negara,” kata Encik Mohammed Khalid.

Beliau memetik bagaimana kededua negara merupakan “bukti hidup” kepada visi berani, kepimpinan tegas dan ketabahan yang mendalam tentang apakah yang boleh dicapai negara-negara jika mereka tidak dibelenggu prinsip ideologi.

Dalam ucapannya, Encik Mohammed Khalid juga menyentuh tentang Wawasan 2030 – pelan tindakan transformasi nasional Arab Saudi, yang dilancarkan pada 2016 oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang bertujuan mempelbagaikan ekonomi melangkaui minyak.

Ini katanya, adalah serupa dengan bagaimana Singapura beralih daripada perdagangan entrepot kepada inovasi berteknologi tinggi.

Wawasan 2030 bertujuan membentuk semula struktur ekonomi, sosial dan tadbir urus Arab Saudi supaya negara itu dapat berkembang maju dalam masa depan pascaminyak.

Rancangan itu bertujuan mempelbagaikan sumber pendapatan, memodenkan masyarakat dan meletakkan Arab Saudi sebagai hab sejagat untuk pelaburan, pelancongan dan inovasi.

Sejak diperkenalkan, Arab Saudi telah mencatat beberapa pencapaian luar biasa.

Ini termasuk sektor bukan minyak yang menyumbang lebih 50 peratus daripada GDP, dan penyertaan tenaga kerja wanita melonjak daripada 17 kepada 36.2 peratus.

Kuliah tahunan, S R Nathan Distinguished Lecture, yang diadakan pada 1 Disember menyediakan forum untuk negarawan, cendekiawan terkemuka di peringkat antarabangsa dan intelektual awam untuk meluahkan pandangan mereka tentang isu utama.

Dianjurkan oleh Institut Timur Tengah (MEI) dan disokong oleh Temasek Holdings Singapura, syarahan itu, yang dihadiri sekitar 100 peserta, bertujuan memberikan kesedaran dan pemahaman yang lebih tinggi tentang Timur Tengah moden.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg