Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendekatan prasekolah 7oaks pupuk penggunaan skrin sihat

Jan 26, 2025 | 5:30 AM
Prasekolah 7oaks kekal komited untuk mematuhi Kod Amalan yang dikemas kini, yang menjadi mandatori mulai Februari 2025 dan boleh dikuatkuasakan oleh Ecda. 
Prasekolah 7oaks kekal komited untuk mematuhi Kod Amalan yang dikemas kini, yang menjadi mandatori mulai Februari 2025 dan boleh dikuatkuasakan oleh Ecda.  - Foto 7oaks

Kami merujuk kepada artikel yang diterbitkan Berita Harian pada 21 Januari – ‘Sihat Membesar SG diperkenal galak gaya hidup sihat kanak-kanak’.

Di prasekolah 7oaks, kami menyambut baik inisiatif yang dikeluarkan tepat pada masanya oleh pemerintah untuk menangani kebimbangan mengenai penggunaan skrin oleh kanak-kanak kecil.

Bak kata pepatah, ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, ini menekankan kepentingan memupuk tabiat baik sejak awal, kerana pengaruh awal membentuk tingkah laku seseorang pada masa depan.

Untuk memupuk tabiat penggunaan skrin yang sihat, pusat prasekolah 7oaks telah melaksanakan pendekatan seimbang terhadap penggunaan skrin yang menumpukan pada tujuan pendidikan dan interaktif.

Sebagai contoh, semasa pembelajaran berasaskan penyelidikan, kanak-kanak prasekolah dibenarkan menggunakan skrin untuk menjalankan penyelidikan dalam talian yang dipandu mengenai topik pendidikan tertentu, seperti hidupan liar, dengan guru yang menggalakkan perbincangan dan pemikiran kritikal.

Begitu juga, dalam kegiatan yang dipengaruhi oleh kaedah Reggio, guru-guru kami memastikan skrin digunakan sebagai alat untuk merakam projek mereka.

Ini membolehkan kanak-kanak prasekolah di 7oaks menilai semula kerja mereka melalui foto atau video.

Pendekatan ini memastikan teknologi digunakan secara bermakna di dalam kelas dengan bimbingan guru, meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar sambil mengekalkan penggunaan skrin yang bertanggungjawab.

Selain itu, kurikulum kami menggabungkan peraturan 20-20-20 untuk menggalakkan tabiat mata yang sihat dalam kalangan pelajar, iaitu mengambil rehat selama 20 saat setiap 20 minit untuk fokus pada objek yang berada sejauh 20 kaki.

Kegiatan luar adalah keutamaan di prasekolah 7oaks, dengan kanak-kanak menghabiskan sekurang-kurangnya satu jam setiap hari di luar.

Amalan ini selaras dengan rangka kerja peraturan Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (Ecda) Kod Amalan (Edisi Ketiga) dengan garis panduan menyatakan satu jam kegiatan motor setiap hari untuk perkhidmatan jagaan kanak-kanak sepanjang hari, dengan sekurang-kurangnya 30 minit di luar setiap hari.

Kami menekankan pentingnya ibu bapa dan anak menonton bersama bagi meningkatkan kemahiran bahasa dan keupayaan kognitif, seperti yang disokong oleh kajian Growing Up in Singapore Towards Healthy Outcomes (GUSTO) 1 (Bernard, Jonathan Y, et al., 2017).

Kajian itu mendapati bahawa masa tontonan peranti mudah alih meningkat dari masa ke masa, terutama dalam kalangan kanak-kanak yang sangat muda. Disarankan agar ibu bapa menonton bersama anak-anak mereka dan bukannya membenarkan tontonan pasif.

Oleh itu, untuk menyokong ibu bapa memupuk tabiat ini, prasekolah 7oaks secara aktif bekerjasama dengan keluarga untuk memastikan ketekalan antara rumah dengan sekolah.

Kami menyediakan ibu bapa dengan sumber, bengkel dan strategi untuk membimbing penggunaan peranti yang bertanggungjawab di rumah.

Prasekolah 7oaks kekal komited untuk mematuhi Kod Amalan yang dikemas kini, yang menjadi mandatori mulai Februari 2025 dan boleh dikuatkuasakan oleh Ecda.

Kami menggalakkan penggunaan skrin yang mendidik dan berfaedah secara sederhana.

Matlamat kami di prasekolah 7oaks adalah untuk mempersiapkan kanak-kanak menghadapi masa depan digital sambil memastikan kesejahteraan mereka secara keseluruhan.

Bakar Alsagoff

Pengurus Besar

Prasekolah 7oaks

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg