Sebagai seorang pendidik dewasa, Encik Azhar Katib, mendapati bahawa pelajar dewasa lebih komited dan ingin melabur dalam perjalanan pembelajaran mereka.
Dengan memberikan contoh dan senario kehidupan sebenar dalam kelas mingguannya, berdasarkan pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang teknologi, beliau dapat melibatkan diri dan memberi inspirasi kepada pelajarnya, sambil memudahkan mereka memahami bahan pengajaran.
Encik Azhar, 50 tahun, berkongsi dengan Berita Harian (BH) beliau berjaya membantu mengubah kerjaya salah seorang pelajarnya.
Daripada pekerja yang tidak berpangkat di gudang, sehingga mendapat pekerjaan sebagai eksekutif pemasaran digital.
Beliau meraih kegembiraan apabila dapat membantu, walaupun dengan cara yang sederhana.
Bermula sebagai penganalisis pengatur cara, sebelum menjadi arkitek sistem dan pengurus projek, Encik Azhar mendapati beliau mempunyai semangat keusahawanan dan ingin menubuhkan syarikatnya sendiri.
Dalam pada itu, beliau menubuhkan WebSell Solutions, agensi berpangkalan di Singapura yang menyediakan perkhidmatan pemasaran dalam talian dan reka bentuk web kepada perniagaan kecil pada 2014.
Selaku pengasas dan pengarah agensi, serta pengamal bidang teknologi, Encik Azhar merupakan calon sesuai untuk menyusun dan merancang kurikulum bagi Pusat Latihan yang Diluluskan atau Approved Training Organisation (ATO).
“Ia adalah satu tanggungjawab bagi saya, kerana saya perlu mengingati dan mengimbas semula apa yang saya sudah tahu, dan kemudian merancang dan menyusunnya dalam unit pembelajaran, latihan dan penilaian untuk pelajar.
“Dalam proses itu, saya juga perlu meningkatkan diri sendiri, dan memastikan saya mengikuti trend dan perkembangan terkini untuk diterapkan dalam kurikulum.
“Ia adalah pengalaman yang menggembirakan kerana selepas saya membuat pembangunan kurikulum pertama untuk mereka, mereka bertanya bolehkah saya menjalankannya untuk mereka.
“Jadi saya berkata, mengapa tidak?,” kata Encik Azhar.
Dengan Perancangan Perubahan Industri (ITM) pemerintah 2025 bagi latihan dan pendidikan dewasa yang dipertingkatkan, majikan rentas sektor semakin beralih kepada pendidik dewasa profesional untuk menangani jurang kemahiran yang mendesak melalui program latihan yang disesuaikan.
Dorongan nasional itu mewakili langkah penting ke arah mengukuhkan budaya peningkatan kemahiran berterusan dan kemahiran semula untuk mengekalkan daya saing tenaga kerja di tengah gangguan teknologi dan penstrukturan semula ekonomi.
Untuk memastikan dirinya kekal relevan, Encik Azhar mengambil Sijil Lanjutan dalam Latihan dan Penilaian dari Institut Pembelajaran Dewasa (IAL).
Keputusan tersebut telah membuka mata dan mengubah persepsinya mengenai cabaran yang dihadapi oleh pendidik bagi golongan dewasa kerana sebelumnya, beliau berpandangan bahawa seorang pendidik hanya perlu membentangkan dan menyampaikan maklumat kepada pelajar.
“Bagi pendidik dewasa, ia lebih kepada mengatur modul pembelajaran untuk pelajar belajar sendiri secara keseluruhan, agar mereka dapat menemukan kekuatan diri mereka sendiri.
“Melalui apa yang saya pelajari dari IAL, saya tahu bahawa saya bukan sahaja menyampaikan ceramah, malah perlu juga membimbing mereka juga,” tambah beliau.
Encik Azhar turut berharap pihak majikan terus menyediakan sokongan yang diperlukan kepada pekerja, dengan menyediakan masa pembelajaran yang dilindungi supaya pekerja mempunyai peluang untuk mempertingkatkan diri dan kemahiran mereka.
“
“Ia adalah satu tanggungjawab bagi saya, kerana saya perlu mengingati dan mengimbas semula apa yang saya sudah tahu, dan kemudian merancang dan menyusunnya dalam unit pembelajaran, latihan dan penilaian untuk pelajar. Dalam proses itu, saya juga perlu meningkatkan diri sendiri, dan memastikan saya mengikuti trend dan perkembangan terkini untuk diterapkan dalam kurikulum.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg