Sedang Singapura mempertingkatkan sistem pendidikannya, ia mesti berhati-hati untuk tidak terlalu berstruktur, terlalu menyediakan, atau terlalu melindungi para pelajarnya.
Sebaliknya, ia juga harus menyediakan ruang untuk para pelajar mencuba, gagal, ambil tanggungjawab dan bangkit daripada halangan, kata Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing.
“Kita tidak boleh dan tidak harus cuba membuang semua ketidakpastian dan kesukaran yang dihadapi oleh anak-anak kita. Setiap halangan adalah peluang pembelajaran untuk anak-anak kita membina daya tahan.
“Hanya selepas itu mereka boleh belajar untuk menerima bahawa kehidupan ini tidak sering rapi, dan berkembang maju di tengah-tengah ketidakpastian. Ini adalah satu-satunya perkara yang kita boleh yakin akan berlaku pada masa hadapan,” kata Encik Chan.
Beliau berkata demikian di Parlimen pada 9 September sebagai menjawab usul penangguhan oleh Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Profesor Madya Razwana Begum, yang menggariskan visinya untuk masa depan sistem pendidikan di Singapura.
Antara visi yang digariskan oleh Profesor Razwana ialah sebuah dunia dengan “sekolah, dan pembelajaran akan menjadi sumber kegembiraan dan keajaiban; bukan tekanan, kesusahan, atau kebimbangan”.
Beliau juga menyeru agar Singapura mempunyai sistem pendidikan dengan kanak-kanak tidak lagi dinilai berdasarkan markah atau gred mereka, tetapi oleh kemajuan peribadi mereka bagi mencapai matlamat mereka sendiri.
Cadangan lain termasuk pemikiran kritis, penyelesaian masalah, daya kerjasama dan daya untuk menyesuaikan diri sebagai kemahiran teras untuk kanak-kanak, di samping membaca, menulis, mengeja dan mata pelajaran lain yang lebih tradisional.
Dalam jawapannya, Encik Chan berkata sepanjang tempoh persekolahan mereka, pelajar akan dibekalkan dengan laluan yang pelbagai, dan diberi peluang untuk mengembangkan potensi mereka.
“Ini bermakna tiada satu ujian pun yang harus menentukan masa depan pelajar, dan bukan setiap topik yang diajar perlu diuji.
“Melangkaui tahun-tahun persekolahan, kita akan melabur dalam rakyat kita sepanjang hayat, dengan SkillsFuture sebagai tonggak kepada kompak sosial kita,” kata Encik Chan.
Beliau berkata kejayaan tidak ditentukan oleh keputusan akademik yang dicapai dalam 15 tahun pertama di sekolah, sebaliknya, oleh sumbangan pelajar dalam 50 tahun akan datang selepas tempoh persekolahan.
Untuk menyokong visi ini, ia memerlukan kanak-kanak membina minat belajar pada tahun-tahun awal, sambil mereka meneroka dunia dan membangunkan asas dwibahasa, matematik dan pemikiran kritis mereka, tambah Encik Chan.
Semasa berucap, Profesor Razwana menyeru agar masyarakat menggalak dan menyokong anak-anak secara aktif melanjutkan pelajaran dan kerjaya yang sesuai dengan minat, ganjaran dan emosi peribadi; dan bukan yang diterapkan oleh keluarga, rakan atau masyarakat.
Bersetuju dengannya, Encik Chan berkata bahawa pemerintah telah menambah baik sistem pendidikan Singapura selama ini untuk membolehkan pelajar menyesuaikan pendidikan mereka pada tahap yang sesuai bagi diri mereka sendiri.
Ini termasuk memperkenalkan Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (FSBB) yang membolehkan pelajar menyesuaikan pembelajaran mereka dalam mata pelajaran, dan bukannya mengikut satu rentak merentas mata pelajaran, contohnya.
Encik Chan menambah pemerintah berkongsi aspirasi yang sama dengan beliau untuk menyediakan setiap kanak-kanak dengan perjalanan pembelajaran yang disesuaikan berdasarkan kekuatan dan kebolehan individu.
“Inilah sebabnya kita terus berinovasi dan memanfaatkan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), sains data dan sains pembelajaran untuk memecahkan trilema (tiga cabaran) sistem pendidikan konvensional bagi mencapai kualiti pada skala, kelajuan dan kemampuan.
“Melalui usaha ini, kita sedang berusaha ke arah penyesuaian besar-besaran, untuk membebaskan diri kita daripada pemikiran bahawa pendidikan berkualiti ditentukan oleh saiz kelas,” kata Encik Chan.
“
“Kita tidak boleh dan tidak harus cuba membuang semua ketidakpastian dan kesukaran yang dihadapi oleh anak-anak kita. Setiap halangan adalah peluang pembelajaran untuk anak-anak kita membina daya tahan. Hanya selepas itu mereka boleh belajar untuk menerima bahawa kehidupan ini tidak sering rapi, dan berkembang maju di tengah-tengah ketidakpastian. Ini adalah satu-satunya perkara yang kita boleh yakin akan berlaku pada masa hadapan.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg