Topik diikuti
Pergi ke BHkuADHD, autisme tidak halang siswi SUSS genggam ijazah
ADHD, autisme tidak halang siswi SUSS genggam ijazah
Sejak di bangku sekolah menengah, Cik Nur Asherah Asteroth Azlie, 26 tahun, sering menghadapi kesukaran menyiapkan tugasan, malah ada kalanya hanya mampu memulakan kerja apabila tarikh akhir semakin hampir.
Ketika menuntut di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), ibu baharu itu disahkan mengalami gangguan hiperaktif kurang tumpuan (ADHD) pada 2024 dan autisme pada 2025.
Barulah beliau memahami cabaran yang dihadapinya selama ini.
Di sebalik cabaran tersebut, Cik Asherah berjaya menamatkan pengajian sambilan dalam bidang Kejuruteraan Bioperubatan sambil bekerja sepenuh masa di sebuah makmal penyelidikan bioperubatan.
Beliau, individu pertama dalam keluarganya menggenggam ijazah universiti, turut menerima Anugerah UOB Special Mention Student Award, yang diperkenalkan SUSS pada 2026 bagi mengiktiraf ketabahan dan azam penuntut dalam menempuh perjalanan pendidikan.
Sebelum memasuki SUSS, beliau mengikuti pengajian Bioteknologi di Politeknik Republic. Keputusan melanjutkan pelajaran secara sambilan dibuat supaya beliau dapat menimba pengalaman bekerja sambil mengejar minat mendalam terhadap ilmu bioperubatan sejak di bangku sekolah lagi.
Baginya, pelajaran bukan sekadar tanggungjawab tambahan, bahkan sesuatu yang benar-benar disukainya.
Mengimbas zaman persekolahannya, Cik Asherah berkata beliau sering dianggap malas kerana gagal menyiapkan tugasan, meskipun mengetahui tanggungjawabnya sebagai pelajar.
“Ramai orang bertanya sama ada saya malas. Tetapi bukan begitu. Saya tahu apa yang perlu dilakukan, cuma saya selalu rasa seperti tidak dapat memulakannya,” katanya.
Keadaan itu berterusan di universiti. Sebelum diagnosis, beliau lazimnya hanya memulakan tugasan sehari sebelum tarikh akhir, lalu menghantarnya beberapa minit sebelum waktu penyerahan tamat.
Selepas mendapatkan rawatan dan sokongan kaunseling, beliau mempelajari cara baharu untuk menguruskan tugasan. Antaranya, beliau menetapkan sasaran untuk bekerja selama satu minit dahulu, sebelum cuba meneruskannya.
“Kadangkala, selepas satu minit, saya boleh teruskan selama 20 atau 30 minit. Sekurang-kurangnya ada kerja yang dapat disiapkan,” jelasnya.
Kini, beliau mampu memulakan tugasan dua hingga tiga minggu lebih awal.
Pada masa yang sama, jadual hariannya padat. Beliau bekerja dari 8.30 pagi hingga 6 petang, sebelum menghadiri kuliah dari 7 hingga 10 malam.
Suaminya menjadi sumber sokongan penting, termasuk menemaninya belajar dari tengah malam hingga 5 pagi, sambil bermain permainan video di sisinya.
“Dia tidak banyak melakukan apa-apa, tetapi sokongan secara fizikal dan moral itu sangat membantu. Belajar seorang diri pada waktu malam boleh terasa sunyi,” katanya.
Antara pengalaman paling mencabar ialah projek tahun akhirnya. Selama dua hingga tiga bulan, eksperimennya berulang kali gagal.
Beliau bimbang kegagalan itu akan menjejas peluangnya menamatkan pengajian, namun minat terhadap bidang bioperubatan mendorongnya terus berusaha.
Anugerah yang diterima mempunyai makna tersendiri selepas bertahun-tahun merasakan kesukarannya tidak difahami orang sekeliling.
“Pengiktirafan ini menunjukkan ada orang lain yang memahami apa yang saya lalui. Perjalanan saya cuma berbeza, dan itu tidak mengapa,” katanya.
Beliau berharap kisahnya menggalakkan individu neurodivergent – otak berfungsi mengikut cara berbeza berbanding individu neurotipikal atau biasa – dan golongan dewasa bekerja supaya terus mengejar cita-cita, walaupun laluan mereka tidak seperti orang lain.
