Topik diikuti
Pergi ke BHkuSiswa SUSS rintis inisiatif bimbing warga emas amalan mampan
Siswa SUSS rintis inisiatif bimbing warga emas amalan mampan
Pesanan nenek sejak kecil supaya ‘jangan membazir rezeki’ kekal tersemat dalam ingatan Encik Muhammad Lukman Nur Hakim Johari, hingga hari ini.
Pesanan itu mendorongnya meneliti cara rakyat Singapura menghargai sumber serta bagaimana mereka boleh digalak mengurangkan pembaziran.
Ini terutama selepas beliau menyaksikan corak penggunaan semasa pandemik Covid-19.
Sejak kecil, Encik Lukman, 24 tahun, melihat neneknya menyimpan lebihan makanan untuk dimakan kemudian dan menggunakan semula bekas di rumah.
Pada masa yang sama, beliau turut menyedari makanan sering tidak habis di majlis perkahwinan Melayu.
“Perkara-perkara kecil inilah yang menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari dan memberi kesan kepada masyarakat secara keseluruhannya.
“Sejak kecil, amalan lestari sudah menjadi sesuatu yang semula jadi dalam keluarga saya, sama ada dengan menggunakan bekas guna semula untuk menyimpan makanan atau sekadar mengambil makanan secukupnya di majlis perkahwinan,” ujar beliau.
Pengalaman tersebut menyemai kesedaran tentang pembaziran makanan dan memupuk minat Encik Lukman terhadap kelestarian sehingga mendorong beliau menyertai Program Pemimpin Belia bagi Kelestarian Alam Sekitar (YES LP) kendalian Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).
Pada 2024, beliau turut menyertai Kelab Kelestarian di SUSS dan mewakili kelab itu dalam Jawatankuasa Eksekutif Pelajar Antarabangsa (ISEC) bagi merancang Regen Asia Summit 2025, platform serantau yang diterajui pelajar untuk menghimpunkan golongan belia dan pengamal dari seluruh Asia bagi meneroka konsep regenerasi serta merancangkan penerapannya dalam pelbagai sektor dan konteks.
Melalui program YES LP itu, Encik Lukman, yang bakal menerima ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pengurusan Rantaian Bekalan dengan Pengkhususan Kedua dalam Sains Politik dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), bertekad mencari cara menghasilkan kesan terhadap usaha kelestarian dalam masyarakat.
Kini, beliau merupakan peserta Kohort 4 YES LP dan bersama rakan sepasukan yang ditemuinya di SUSS, Cik Lim Qian Hui, sedang membangunkan projek yang memberi tumpuan kepada golongan warga emas.
Program YES LP yang bermula pada Jun 2026 itu memberi peluang kepada belia berusia sehingga 35 tahun, yang disokong institusi pengajian tinggi (IHL) masing-masing, untuk menerajui projek berkaitan kelestarian.
Setiap pasukan boleh menerima dana sehingga $6,000 bagi membangunkan idea isu berkaitan kelestarian.
Kini, terdapat 40 belia dalam kohort tersebut.
Projek Encik Lukman pula memberi tumpuan kepada konsep circularity, iaitu pendekatan yang memastikan bahan dan sumber terus digunakan semula dan dimanfaatkan selama mungkin, bukannya terus dibuang.
“Dengan menjadikan konsep circularity praktikal dan mudah difahami, projek ini bertujuan menggalakkan tabiat lestari, mengurangkan sisa isi rumah dan memperkasa warga emas agar memainkan peranan bermakna dalam mengamalkan gaya hidup yang lebih memberi tumpuan kepada kelestarian dan peka terhadap penggunaan sumber, melalui tindakan harian di rumah dan di dalam masyarakat,” katanya.
Mereka merancang cara praktikal yang menggabungkan kegiatan berkebun sendiri, membuat kompos dan mengajar warga emas memahami konsep tersebut dan mengaplikasisnya dalam kehidupan harian.
Sebagai sebahagian daripada projek itu, warga emas juga akan menghasilkan kit kompos sendiri menggunakan sisa makanan yang sesuai serta bekas kitar semula.
Di samping itu, mereka sedang meneroka penggunaan semula botol plastik dengan membentuknya menjadi bekas yang sesuai bagi kit tersebut.
Mereka juga akan menghasilkan pasu bunga daripada bahan kitar semula dan menggunakan kompos yang dihasilkan untuk menanam sayur-sayuran mikro.
Melalui kegiatan itu, para peserta dapat melihat sendiri bagaimana sisa makanan boleh diubah menjadi nutrien yang membantu tumbuhan baharu.
Bagi Encik Lukman, pendekatan praktikal itu penting supaya konsep kelestarian tidak sekadar difahami secara teori.
Lantas, beliau melihat usaha melibatkan warga emas sebagai peluang menggalakkan perkongsian pengetahuan antara generasi.
“Saya sentiasa menganggap penting untuk bekerjasama dengan golongan lebih berusia kerana mereka mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman.
“Saya percaya perubahan yang bermakna boleh berlaku apabila setiap generasi diberi peluang untuk mengambil bahagian dan menyumbang kepada matlamat dan hasil yang ingin kita capai,” katanya.