Bangunkan inisiatif STEM agar galak lebih wanita muda

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bangunkan inisiatif STEM agar galak lebih wanita muda

Mar 23, 2026 | 2:38 PM

Bangunkan inisiatif STEM agar galak lebih wanita muda

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Pada usia 15 tahun, Kiera Nadine Muhammad Nazri bangunkan Y:Wait, satu inisiatif dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi menggalakkan lebih ramai wanita muda berani menceburi bidang tersebut.
Pada usia 15 tahun, Kiera Nadine Muhammad Nazri bangunkan Y:Wait, satu inisiatif dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi menggalakkan lebih ramai wanita muda berani menceburi bidang tersebut. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sejak pada usia muda 15 tahun, Kiera Nadine Muhammad Nazri, kini 19 tahun, sudah melangkah jauh melangkaui bilik darjah.

Ketika kebanyakan rakan sebayanya masih meneroka minat masing-masing, pelajar itu membentuk satu inisiatif dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi menggalak lebih ramai wanita muda berani menceburi bidang tersebut.

Sebagai presiden dan pengasas inisiatif yang dikenali sebagai Y:Wait, Kiera memperuntukkan sekurang-kurangnya tiga jam setiap minggu untuk menguruskan kegiatan pertubuhan itu, yang merangkumi bengkel, webinar dan acara rangkaian.

Ini juga di samping mengimbangi tuntutan pelajarannya di Institusi Raffles (RI).

Usahanya itu telah membuahkan hasil apabila inisiatif tersebut berkembang menjadi satu gerakan antarabangsa yang melibatkan lebih 8,000 belia di Singapura serta lebih 10 negara melalui program bimbingan, bengkel dan kerjasama antarabangsa, kongsi Kiera.

Malah, ia telah melayakkan beliau tersenarai sebagai antara 25 penerima anugerah ‘Girls in Tech’ pada September 2025 oleh Persatuan Komputer Singapura (SCS) dengan sokongan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), atas komitmennya memperkasa wanita dalam bidang STEM.

Itulah antara pengalaman paling manis remaja itu sebelum menerima keputusan peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘A’ pada 27 Februari.

Seramai 10,997 calon telah menduduki peperiksaan itu, dengan 94.7 peratus daripada mereka memperoleh sekurang-kurangnya tiga kelulusan bagi subjek H2, termasuk lulus dalam subjek Kertas Am (GP) pada 27 Februari.

Meskipun enggan berkongsi keputusannya, Kiera berkata:

“Saya percaya dalam kehidupan sentiasa ada ruang untuk menjadi lebih baik, tetapi secara keseluruhan saya berasa keputusan ini memuaskan. Saya juga menantikan kehidupan fasa seterusnya dan berharap dapat terus mencapai prestasi lebih baik.”

Tambahnya, pengalaman mengimbangi pelajaran dan kegiatan kokurikulum selepas sekolah telah banyak membentuk ketahanan diri serta kemahiran kepimpinannya.

Selain aktif dalam bidang teknologi, beliau juga terlibat dalam kegiatan sukarela seperti mengajar taekwondo kepada kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan serta memberi tuisyen pada masa lapang.

Sikap positif itu banyak dipengaruhi keluarganya, khususnya bapanya, Encik Muhammad Nazri Muhammad, ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat teknologi global pakar dalam kecerdasan buatan (AI), MyFinB.

“Keluarga adalah tunjang sokongan terbesar bagi saya. Setiap daripada mereka memainkan peranan berbeza dalam menyokong pelajaran dan minat saya.

“Adik perempuan saya sering mencabar saya secara mental dan mengajak saya berbasikal untuk menenangkan fikiran. Ibu pula sentiasa memastikan keadaan emosi saya terjaga dan bukan sekadar menumpukan kepada pelajaran.

“Bapa saya pula lebih tegas dan memberi maklum balas yang jujur. Beliau sering mengingatkan saya tentang kekuatan dan juga perkara yang perlu diperbaiki. Gabungan sokongan ini membantu saya kekal seimbang dan lebih bersedia menghadapi tekanan luar,” kata anak sulung daripada dua beradik itu.

Menurutnya, sokongan keluarga itu amat dihargai terutama ketika menjelang peperiksaan GCE ‘A’, apabila masa ulang kaji perlu dipergiatkan.

“Menjelang peperiksaan, saya menggiatkan ulang kaji dan mengekalkan disiplin yang konsisten. Saya juga menggunakan pendekatan seperti berani mengenal pasti kelemahan agar dapat memperbaikinya,” ujarnya.

Meskipun mengakui pernah berasa letih, beliau tetap bertekad demi mencapai cita-citanya untuk melihat lebih ramai pelajar perempuan berani meneroka bidang teknologi dan kecerdasan buatan.

“Ramai pelajar perempuan sebenarnya berminat, tetapi mereka merasakan bidang ini bukan untuk mereka. Saya berharap inisiatif ini dapat terus berkembang sebagai wadah untuk membantu mereka membina keyakinan dan meneroka potensi diri,” katanya.

Melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupannya, Kiera merancang melanjutkan pengajian dalam bidang sains sosial di universiti tempatan sebelum meneruskan pengajian peringkat possiswazah di luar negara.

Selain itu, beliau juga berharap pengalaman memimpin sebuah pertubuhan sejak usia muda akan terus membimbing langkahnya pada masa hadapan.

“Saya harap dapat terus menyumbang kepada masyarakat dan pembangunan Singapura, dengan memahami bagaimana dasar dan institusi boleh memberi kesan kepada kehidupan orang ramai,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg