Pendidikan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Calon PhD ingin dorong ramai teroka pilihan makanan mampan

Aug 1, 2025 | 6:42 PM
Encik Mohammad Faisal Mohammad Feroz (kiri) merupakan antara 21 individu yang menerima anugerah Skim Bakat Pengajaran dan Penyelidikan Akademik Singapura (Start) Kementerian Pendidikan (MOE) yang disampaikan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, pada 1 Ogos di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands.
Encik Mohammad Faisal Mohammad Feroz (kiri) merupakan antara 21 individu yang menerima anugerah Skim Bakat Pengajaran dan Penyelidikan Akademik Singapura (Start) Kementerian Pendidikan (MOE) yang disampaikan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, pada 1 Ogos di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands. - Foto ST

Setelah memilih untuk makan bahan tanpa daging atau menjadi vegetarian pada 2022, Encik Mohammad Faisal Mohammad Feroz mendapati mudah menyesuaikan dirinya dengan gaya hidup tersebut.

Baginya ia satu komitmen peribadi terhadap kemampanan yang bermula ketika beliau menuntut di United Kingdom (UK) bagi pengajian sarjana mudanya di Universiti Oxford.

Pada ketika itu, didorong oleh kebimbangan terhadap krisis iklim dan kebajikan haiwan, Encik Faisal, 25 tahun, membuat keputusan mengubah cara pemakanannya.

“Perubahan iklim bukan sekadar konsep teori yang kita pelajari dalam subjek geografi, tetapi sesuatu yang nyata.

“Apabila saya melihat semangat orang lain terhadap isu ini, saya juga belajar bagaimana makanan dihasilkan di ladang, dan saya rasa, ini sebenarnya tidak baik untuk kebajikan haiwan.

“Pada mulanya, menjadi vegetarian secara peribadi nampak mudah, tetapi apabila saya berfikir secara lebih luas, saya rasa saya ingin mengubah kehidupan saya agar dapat memberi kesan kepada makanan mampan,” kongsi beliau ketika ditemui Berita Harian (BH) pada 1 Ogos.

Justeru, Encik Faisal bertekad mencari penyelesaian yang dapat mengetengahkan pilihan daging alternatif agar lebih ramai dapat menerimanya demi masa depan lebih mampan. 

Kesungguhannya itu ternyata menjadikan beliau salah seorang daripada 21 individu yang telah dianugerahkan biasiswa dan geran di bawah anugerah Skim Bakat Pengajaran dan Penyelidikan Akademik Singapura (Start) oleh Kementerian Pendidikan (MOE).

Menyampaikan anugerah tersebut di Majlis Biasiswa Kementerian Pendidikan (MOE) di Pusat Konvensyen dan Ekspo Sands pada 1 Ogos, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, berkata:

“Kita memerlukan para pendidik yang berkemahiran untuk mempersiap pelajar kita agar berjaya. Tetapi anda tidak boleh melakukannya seorang diri...

“Bagi para akademik yang sedang meniti jalan kerjaya, kerjasama, sama ada dalam menerbitkan hasil penulisan bersama, bekerja dalam kumpulan penyelidikan, atau berkongsi penemuan anda dengan masyarakat lebih luas, juga boleh memajukan ilmu pengetahuan kolektif Singapura.”

Majlis tersebut mengiktiraf seramai 167 individu yang menerima biasiswa perguruan, anugerah guru dan anugerah Start.

Sebagai penerima Biasiswa Doktor Falsafah (PhD) Luar Negara di bawah anugerah Start, Encik Faisal akan melanjutkan pengajian dalam Psikologi Eksperimen di Universiti Oxford mulai September 2025.

Beliau berharap dapat memberi kesan lebih luas melalui kajian beliau, terutama apabila Singapura menyelaraskan visi ‘30 jelang 30’ atau ‘30 by 30’, yang bertujuan menghasilkan 30 peratus makanan tempatan menjelang 2030.

Biasiswa tersebut menyediakan sokongan sehingga lima tahun dalam bentuk elaun, elaun penyelenggaraan di luar negara, geran persidangan dan kerja lapangan, tambang penerbangan, serta yuran wajib lain, bergantung pada institusi pengajian penerima.

Setelah menerima biasiswa tersebut, Encik Faisal akan dipadankan dengan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada 2029 dan beliau akan menyelidik tentang teknologi makanan mampan dan pembungkusan makanan mesra alam di bawah Program Sains dan Teknologi Makanan NTU.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg