Di Sekolah Menengah Greendale, guru-guru kini dapat mencapai keseimbangan lebih baik antara kerja dan kesejahteraan diri.
Ini kerana susunan kerja yang fleksibel serta sistem sokongan yang teratur, mampu membantu mereka menumpukan perhatian kepada pengajaran.
Salah satu inisiatif yang dilangsungkan adalah perubahan jadual pada 2021, di mana waktu sekolah dimulakan ditunda dari 7.30 pagi kepada 8 pagi setiap hari.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) melalui e-mel, Ketua Jabatan (HOD) subjek Matematik di Sekolah Menengah Greendale, Encik Darius Tan, berkata langkah tersebut disambut baik guru-guru.
“Ia membolehkan mereka yang mempunyai anak kecil menghantar anak ke pusat jagaan bayi, pusat jagaan kanak-kanak atau sekolah rendah sebelum melaporkan diri ke tempat kerja,” kongsi beliau.
Beliau diminta mengulas mengenai dapatan Kajian Antarabangsa Pengajian dan Pelajaran (Talis) 2024 yang dilakukan Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).
Antara lain, kajian tersebut mendapati guru Singapura bekerja menghabiskan lebih banyak masa kerja seminggu berbanding rakan sejawatan mereka dari negara OECD.
Guru di Singapura dilaporkan bekerja secara purata sebanyak 47 jam seminggu, berbanding guru di negara OECD, dengan purata 41 jam.
Selain perubahan jadual, Encik Tan berkata sekolah tersebut turut melaksanakan pelbagai langkah bagi memudahkan kerja guru dan menguruskan beban kerja mereka.
Ini termasuk membenarkan guru meninggalkan sekolah pada bila-bila masa selepas 12.30 tengah hari apabila semua tugas rasmi telah diselesaikan, memberi kelonggaran masa kelepasan buat mereka.
Masa ini boleh digunakan bagi guru menghadiri perkara mendesak yang mungkin timbul secara tiba-tiba, dan memastikan agihan masa guru kepada kegiatan kokurikulum (CCA) dan jawatankuasa sekolah dilakukan secara tersusun mengikut minat, kepakaran serta beban tugas mereka.
“Dalam menguruskan beban tugasan mengajar guru, pihak sekolah membuat pertimbangan yang teliti dengan mengambil kira bilangan murid, bilangan aras persediaan pelajaran, bilangan tempoh mengajar, dan bebanan kerja penyemakan tugasan pelajar,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Encik Tan menekankan semua inisiatif tersebut sebagai sebahagian pendekatan menyeluruh sekolah bagi menyokong pembelajaran dan pembangunan pelajar.
“Di Greendale, kami yakin dan mengamalkan prinsip (bak pepatah Inggeris) ia memerlukan ‘seisi kampung untuk membesarkan anak’.
“Setiap rakan sekerja tahu mereka boleh bergantung pada masyarakat sekolah untuk bekerjasama dalam mendidik pelajar,” kongsi beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg