Syed Harun: MOE teliti langkah bendung pengiklanan tidak wajar pusat tuisyen

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Syed Harun: MOE teliti langkah bendung pengiklanan tidak wajar pusat tuisyen

Feb 24, 2026 | 5:41 PM

Syed Harun: MOE teliti langkah bendung pengiklanan tidak wajar pusat tuisyen

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Dr Syed Harun, MOE
Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi. - Foto MDDI

Kementerian Pendidikan (MOE) masih sedang meneliti langkah yang diperlukan bagi membendung amalan pengiklanan tidak wajar oleh penyedia tuisyen dan pendidikan swasta, kata Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada Anggota Parlimen (AP), Dr Hamid Razak (GRC West Coast-Jurong West), yang meminta butiran mengenai perkembangan terkini pembangunan dan penguatkuasaan garis panduan pengiklanan baharu.

Ini beserta kod tatalaku bagi perkhidmatan tuisyen dan pendidikan swasta – satu semakan yang kali pertama diumumkan oleh Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang, pada Februari 2025 semasa beliau memegang jawatan Menteri Negara (Pendidikan).

Bercakap di Parlimen pada 24 Februari, Dr Syed Harun berkata, setakat ini, semua iklan di Singapura, termasuk bagi perkhidmatan tuisyen, sudah pun tertakluk kepada Kod Amalan Pengiklanan Singapura (SCAP).

Menurutnya, kod tersebut memastikan iklan adalah sah di sisi undang-undang, sopan, jujur dan benar, serta disediakan dengan rasa tanggungjawab terhadap pengguna dan masyarakat.

“MOE sedang meneliti langkah-langkah yang diperlukan untuk membendung amalan pengiklanan yang tidak wajar oleh penyedia tuisyen dan pendidikan swasta.

“Penyedia tuisyen dan pendidikan swasta lain perlu mematuhi kod ini dalam pengiklanan mereka.

“Selaras dengan Kod Amalan Pengiklanan, iklan tidak seharusnya mengambil kesempatan atas kebimbangan orang ramai untuk mendorong permintaan terhadap perkhidmatan tuisyen,” ujar beliau.

Jawapan tersebut diutarakan susulan soalan Dr Hamid mengenai kemajuan yang telah dicapai oleh MOE sejak Februari 2025 dalam membangunkan dan melaksanakan garis panduan pengiklanan khusus bagi sektor tuisyen dan perkhidmatan pendidikan swasta.

Soalan lain yang diutarakan termasuk adakah satu kod tatalaku telah dimuktamadkan, apakah peruntukan-utamanya, dan bagaimana MOE memantau serta menguatkuasakan pematuhan bagi melindungi ibu bapa dan pelajar daripada strategi pemasaran yang menggunakan rasa takut.

Pada Februari 2025, Cik Huang telah menjawab pertanyaan di Parlimen sama ada MOE akan mengarahkan pusat tuisyen supaya tidak mengiklankan program mereka di luar kawasan sekolah.

Ketika itu, Cik Huang menjawab pihak kementerian sedang mengkaji cara menghalang pusat tuisyen daripada mengamalkan pengiklanan yang tidak wajar di samping mengambil kesempatan atas kebimbangan ibu bapa dan perasaan takut ketinggalan.

Beliau menjawab ia sekali gus mendorong ibu bapa secara tidak wajar untuk mendaftarkan anak mereka bagi program tuisyen itu, dengan langkah sebegitu dianggap tidak sihat.

Menurutnya, ia satu amalan yang sama sekali tidak diterima sekolah di sini.

Dr Syed Harun akur sebahagian kebimbangan tersebut berpunca daripada tanggapan gred akademik sangat penting.

Lantas, bagi menangani perkara itu dan menyokong pembangunan menyeluruh pelajar di sini dengan lebih baik, MOE telah membuat perubahan dalam landskap pendidikan bagi mengurangkan penekanan berlebihan terhadap keputusan akademik, katanya.

“Dalam beberapa bulan akan datang, MOE akan berinteraksi dengan ibu bapa, pelajar, dan pendidik untuk melihat bagaimana kita boleh terus mengurangkan persaingan dalam pendidikan serta kebimbangan yang timbul daripadanya,” tambah Dr Syed Harun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg