Pendidikan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GCE Peringkat ‘O’: Pelajar madrasah terbaik atasi ‘burnout’ demi cita-cita jadi doktor

Daya tahan utuh, sokongan keluarga perkasa semangat raih lapan gred kepujian
Jan 16, 2026 | 12:39 PM
Walaupun Laiqa Rasyiqah Muhammad Ridzwan mengalami tekanan dan keletihan melampau atau ‘burnout’ sewaktu mengulang kaji pelajarannya, dia muncul sebagai antara dua pelajar madrasah terbaik bagi peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’.
Walaupun Laiqa Rasyiqah Muhammad Ridzwan mengalami tekanan dan keletihan melampau atau ‘burnout’ sewaktu mengulang kaji pelajarannya, dia muncul sebagai antara dua pelajar madrasah terbaik bagi peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’. - Foto BH oleh KHALID BABA

Dek tekanan pembelajaran yang membuak-buak, Laiqa Rasyiqah Muhammad Ridzwan, mengalami keletihan melampau atau ‘burnout’ dan hampir putus asa bagi menduduki peperiksaan prelimnya.

Namun, apabila dia terbayangkan impiannya untuk menjadi seorang doktor, bekas pelajar Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah itu, cekalkan semangat dan kekal tekun mengulang kaji pelajarannya.

Ternyata hasil kerja kerasnya berbaloi.

Laiqa muncul sebagai antara dua pelajar madrasah terbaik bagi peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat ‘O’ 2025, dengan lapan gred kepujian.

Laiqa menamatkan pengajian sekolah menengahnya dengan cemerlang dalam semua mata pelajaran, termasuk, Matematik Asas, Matematik Tambahan, Sains Tulen Fizik, Biologi, Kimia, Geografi Tulen, Bahasa Arab, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Berkongsi tentang pengalamannya mengalami keletihan melampau, remaja berusia 16 tahun itu, berkata:

“Saya hampir hilang hala tuju apabila dibebani pembelajaran yang begitu sarat memenuhi fikiran.

“Lebih-lebih lagi, terlalu banyak ujian dan peperiksaan yang harus ditempuhi sebelum GCE Peringkat ‘O’.

“Saya mula rasakan semua itu tidak penting dan hampir berputus asa.”

Namun, berkat kata-kata semangat ibu bapanya, Laiqa, anak sulung dalam tiga beradik, mula bangkit daripada kepasrahan.

Ayah Laiqa, Encik Muhammad Ridzwan Muhammad, 49 tahun, bertugas sebagai seorang pengurus kemudahan. Ibunya pula, Cik Lilimastura Abdul Pakir, 49 tahun, merupakan seorang suri rumah.

Mereka telah memberi dorongan dan kasih sayang yang tak terhingga demi kejayaan Laiqa.

Sokongan dan kata-kata semangat ibunya, Cik Lilimastura Abdul Pakir (kanan) dan bapanya, Encik Muhammad Ridzwan Muhammad (kiri), telah mendorong Laiqa untuk terus cekal dan tidak berputus asa dalam pembelajaran.
Sokongan dan kata-kata semangat ibunya, Cik Lilimastura Abdul Pakir (kanan) dan bapanya, Encik Muhammad Ridzwan Muhammad (kiri), telah mendorong Laiqa untuk terus cekal dan tidak berputus asa dalam pembelajaran. - Foto BH oleh KHALID BABA

“Ibu bapa saya merupakan tulang belakang saya dan telah banyak memberi sokongan ketika saya hampir putus asa. Adik-adik saya juga turut memberikan kata-kata perangsang dan sering mengingatkan saya tentang cita-cita saya untuk menjadi seorang doktor,” ujar Laiqa sambil bergenang air mata, menahan sebak.

Sokongan keluarga dan cita-cita besar yang dihasratkan sejak bangku sekolah rendah menjadi pendorong kuat untuk Laiqa terus fokus dalam pembelajaran.

Pengalaman perit yang hampir mematahkan semangat telah mengajar Laiqa agar memiliki daya tahan yang utuh.

Dia mula sedar akan kepentingan daya tahan agar tidak hilang tekad demi menuju cita-cita yang sudah lama tertanam dalam dirinya.

Semangat waja ini kian dipasang dengan usaha yang lebih berkesan. Ini demi memastikan agar diri Laiqa tidak jatuh dalam lembah kelesuan sekali lagi.

Sejak itu, Laiqa mula mengamalkan keseimbangan dalam proses pembelajarannya.

Dia mula memberi perhatian dalam mengkhususkan waktu rehat ketika mengulang kaji.

Laiqa juga mula melakukan aktiviti mengait atau ‘crochet’ sebagai cara mengatur dan merehatkan fikirannya.

Bercakap tentang rahsia kejayaannya, Laiqa berkongsi rutin ulang kajinya cukup mudah. Setiap hari, dia akan terus mengulang kaji pelajaran sejurus pulang ke rumah dari sekolah.

Dalam ulang kajinya, Laiqa mengamalkan teknik mengingat semula secara aktif atau disebut sebagai ‘active recall’. Ini memudahkan dirinya menghadam dan menghafal mata pelajaran yang mempunyai kandungan yang berat.

Terinspirasi daripada tugas mulia para pekerja jagaan kesihatan, langkah Laiqa menuju cita-citanya menjadi seorang doktor semakin dekat.

Laiqa ingin melanjutkan pengajiannya di Politeknik Singapura (SP) dalam jurusan sains bioperubatan.

Dia juga berhasrat untuk terus melanjutkan pengajian agamanya di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg