Dari Menengah Satu hingga Menengah Lima, Mohamad Khuzaimi Mohd Kamsani, terpaksa mengimbangi pelajarannya dengan membantu ibunya menjaga bapanya, Encik Mohd Kamsani Abdul Hamed, yang tidak dapat bergerak pantas menyusuli amputasi kaki pada 2021.
Encik Mohd Kamsani, 49 tahun, pernah bertugas sebagai seorang penghantar barangan dan pemandu Grab, menghidap darah tinggi dan kencing manis, dan kini menggunakan alat mobiliti peribadi.
Beliau juga kerap berkunjung ke Hospital Besar Changi untuk menjalani pemeriksaan perubatan.
“Semuanya tidak dirancang kerana apa sahaja boleh berlaku dalam seminggu atau sebulan. Jika ia berlaku, saya akan menghubungi guru-guru saya kalau saya tidak boleh hadir ke sekolah.
“Saya membantu bapa saya mandi dan membersihkannya kerana beliau tidak mampu berjalan, memberikan barang yang diperlukan, mengatur ubat-ubatan, dan membantunya mendapatkan segelas air.
“Biasanya, ibu saya yang menguruskan. Tetapi, kalau ibu saya ingin berehat, saya akan mengambil alih tugas itu,” kongsinya, yang juga anak sulung dalam dua beradik.
Bagi menampung pelajarannya yang tertinggal, pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah itu bergantung kepada rakan-rakannya untuk nota dan penjelasan, serta akan mengirimkan mesej langsung kepada guru-gurunya melalui wadah Microsoft Teams bagi mendapatkan keterangan bagi soalan yang kurang difahami.
Ini termasuk meluangkan masa bersama rakan-rakannya untuk berbincang di perpustakaan sekolah mengenai jenis soalan Matematik yang mungkin keluar dalam peperiksaan, yang menurutnya adalah mata pelajaran paling mencabar.
“Selepas bapa saya keluar untuk dialisis atau pemeriksaan, saya akan meluangkan masa untuk belajar. Saya memberitahu ibu berapa lama saya akan belajar supaya dia tidak mengganggu saya, dan beliau memahaminya,” ujarnya yang mengambil peperiksaan GCE peringkat ‘O’ sebagai calon persendirian.
Pelajar 17 tahun itu merupakan antara 209 pelajar madrasah yang menerima keputusan GCE peringkat ‘O’ 2025 pada 14 Januari.
Dia mendapat A1 bagi Bahasa Melayu, B3 bagi Bahasa Arab, C5 bagi Pengetahuan Agama Islam (IRK) dan C6 bagi Sains (Fizik dan Kimia).
Menurut Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam satu kenyataan, kesemua mereka layak melanjutkan pelajaran ke peringkat posmenengah.
Mohamad Khuzaimi juga merupakan antara 32 pelajar Madrasah Wak Tanjong yang menduduki peperiksaan GCE ‘O’ pada 2025.
Terdapat 18 pelajar Menengah Empat dan 14 pelajar Menengah Lima.
Berkongsi kepada Berita Harian (BH) di Madrasah Wak Tanjong, ibu Mohamad Khuzaimi, Cik Azilinda Jumaat, 45 tahun, seorang suri rumah, meluahkan tangisan gembira sambil bangga atas pencapaiannya.
“Saya juga rasa sedih kerana dia kerap ponteng sekolah untuk membantu di rumah. Kadang-kadang saya tak mahu dia berada di rumah untuk tolong, tetapi kerana saya mengalami sakit belakang dan perlu mengangkat suami, saya tak dapat buat sendiri, jadi saya minta dia tolong jika boleh.
“Kadang-kadang saya perlu hubungi guru untuk tahu bagaimana mereka boleh membantu, sama ada dia boleh ponteng sekolah sehari atau sebagainya. Walaupun kadang-kadang guru faham, saya tetap perlu sediakan surat cuti sakit (MC) untuk rujukan sekolah,” kongsinya.
Bagi menampung keperluan perubatan bapanya serta perbelanjaan rumah, mereka menerima bantuan kewangan seperti $300 sebulan daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), $400 sebulan daripada Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC) menerusi Geran Penjagaan di Rumah (HCG), dan pengeluaran bulanan daripada akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Encik Mohd Kamsani.
Meskipun masih mempertimbangkan langkah akademik seterusnya, Khuzaimi bercita-cita melanjutkan pelajaran di politeknik, khususnya dalam bidang kejuruteraan atau sains.
“Saya suka menonton banyak dokumentari sains, terutamanya di sekitar ilmu Fizik, kerana Fizik mengkaji tentang kehidupan dan banyak persoalan yang masih belum terjawab.
“Jadi, saya berharap dapat mengejar kerjaya yang membolehkan saya membantu menjawab persoalan-persoalan yang belum terjawab itu,” katanya lagi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg