Singapura telah mengambil langkah berani untuk membina Terminal 5 demi memastikan negara ini kekal terhubung kepada dunia, dengan Lapangan Terbang Changi kekal sebagai hab penerbangan berdaya saing, kata Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Berucap di majlis pecah tanah terminal itu di Changi East pada 14 Mei, Encik Wong berkata Lapangan Terbang Changi telah menjadi sumber kebanggaan bagi rakyat Singapura, yang mewakili Singapura di mata dunia.
“Changi telah mengubah Singapura. Ia menghubungkan negara pulau kecil kita kepada dunia, dan membawa dunia kepada Singapura. Keterhubungan ini telah menguasai pertumbuhan kita sebagai sebuah hab penerbangan, memacu industri seperti pelancongan, aeroangkasa dan logistik,” kata beliau.
Bahkan, ekosistem penerbangan menyumbang 5 peratus kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), dan mewujudkan serta mengekalkan banyak pekerjaan untuk rakyat, tambah beliau.
Namun, Encik Wong berkata Singapura tidak boleh menganggap bahawa kejayaan ini akan berterusan, lebih-lebih lagi dalam landskap ekonomi sejagat yang tidak menentu.
“Persaingan semakin sengit – negara lain sedang membuat pelaburan besar dalam memodenkan prasarana lapangan terbang mereka dan prasarana sampingan seperti bandar lapangan terbang.
“Oleh itu, Singapura mesti terus bekerja keras. Kita mesti kekal terhubung kepada dunia dan memastikan lapangan terbang kita kekal berdaya saing.
“Itu sebabnya hari ini kita membuat satu lagi langkah berani di Changi, dengan T5,” kata Encik Wong.
T5 berada di landasan untuk dibuka secara berperingkat mulai pertengahan 2030-an, dan apabila selesai dibina nanti, akan menampilkan antara sistem suria atas bumbung yang terbesar di Singapura.
Majlis pecah tanah di Changi East itu turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Changi Airport Group (CAG), Encik Yam Kum Weng.
Terminal mega itu, yang terletak dalam kawasan pembangunan Changi East seluas 1,080 hektar, mempunyai kapasiti menguruskan sekitar 50 juta pergerakan penumpang setahun.
Ia akan mempunyai tiga bahagian berbeza yang dihubungkan oleh sistem penggerak penumpang automatik (APM), yang seakan sky train yang ada hari ini.
T5 juga akan menjadi rumah kepada Singapore Airlines Group serta cabang tambang rendahnya, Scoot, tambah Encik Wong.
Pengarah urusan CAG untuk Changi East, Encik Ong Chee Chiau, berkata pembinaan bagi T5 akan dipergiat dalam beberapa tahun akan datang, dan akan mencapai kemuncaknya sekitar 2029.
Beberapa kerja pembinaan telah disiapkan sejauh ini, termasuk landasan pesawat baru, yang ketiga bagi Lapangan Terbang Changi; laluan bawah tanah untuk trafik kenderaan; dan terowong bagi bagasi serta sistem APM.
Selain T5, kawasan pembangunan Changi East turut merangkumi sistem tiga landasan pesawat, pembinaan terowong dan sistem bawah tanah lain, kemudahan sokongan kawasan awam lapangan terbang dan penerbangan, dan Zon Perindustrian Changi East.
Apabila T5 beroperasi nanti, Lapangan Terbang Changi akan terhubung dengan lebih 200 bandar serata dunia.
Lapangan itu kini terhubung kepada sekitar 170 bandar, dengan bandar seperti Harbin di China dan Labuan Bajo di Indonesia ditambah ke dalam rangkaian mereka pada suku pertama 2025.
Dua kontrak untuk kerja-kerja asas dan prasarana kawasan luar kawalan pasport dan kastam di terminal baru itu yang bernilai sekitar $4.75 bilion telah dianugerahkan pada awal Mei, kata CAG dalam satu laporan sebelum ini.
Lapangan Terbang Changi mengendalikan jumlah rekod tahunan 68.4 juta pergerakan penumpang bagi tahun yang berakhir pada 31 Mac 2025.
Rancangan bagi T5 dan Changi East kali pertama diumumkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, semasa Rapat Hari Kebangsaan pada 2013, dengan kerja-kerja persiapan dimulakan.
Bagaimanapun, projek T5 itu tergendala selama dua tahun akibat pandemik Covid-19 yang melanda pada 2020 sebelum disambung semula pada 2022.
Lapangan Terbang Changi merupakan hab penerbangan antarabangsa keempat yang paling sibuk di dunia. Pada 2024, tiga daripada 10 laluan penerbangan antarabangsa paling sibuk berasal atau berakhir di Singapura, dan enam daripada 10 laluan antarabangsa paling sibuk di Asia Tenggara berangkat atau mendarat di sini.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg