Selama lebih empat tahun, Aaliyah Zakaria, bermain badminton sambil menahan kesakitan – sakit yang berdenyut di lututnya, yang datang dan pergi tanpa amaran.
Apabila beliau berada di Menengah 2, Aaliyah disahkan menghidap penyakit. Osgood-Schlatter, masalah lutut yang sering dialami oleh remaja aktif semasa tempoh membesar.
Ia menyebabkan kawasan lutut menjadi sakit dan bengkak akibat tekanan berulang.
Keadaan itu biasanya akan pulih sendiri dengan rehat, tetapi boleh mengehadkan kegiatan fizikal buat sementara waktu.
Namun bagi Aaliyah, kesakitannya kadangkala begitu teruk sehingga ia menjejas latihannya, sekali gus memaksa beliau mengurangkan beban latihan dan mempertimbangkan keputusannya untuk menjadi atlet.
“Kesakitan yang dirasa menjejaskan pergerakan saya di gelanggang dan juga keyakinan diri saya.
“Namun, saya tahu jika paksa diri saya, saya berisiko memudaratkan kesakitan ini, jadi saya perlu cari keseimbangan yang tepat,” tambah pemain badminton berusia 18 tahun itu.
Walaupun berdepan tekanan fizikal dan cabaran emosi, Aaliyah tidak berputus asa.
Sebaliknya, beliau menyesuaikan diri, memberi tumpuan pada latihan ringan dan mengasah tekniknya pula.
Sokongan keluarganya menjadi sumber motivasi yang penting.
Mereka menemaninya ke sesi fisioterapi dan sentiasa berada di sisinya semasa detik sukar.
Ayahnya, Zakaria Abubakar, sering memberi Aaliyah kata-kata semangat.
“Beliau mengingatkan saya – kecederaan sebahagian daripada dunia sukan.
“Kita kena kuat dari segi mental apabila berdepan cabaran. Jangan berputus asa – selalu ada hikmah selepas kita pulih,” kata Aaliyah mengenang kata-kata ayahnya.
Masa yang diluangkan bersama ayahnya apabila beliau kecil turut memupuk minatnya dalam sukan badminton.
Ketika masih di sekolah rendah, beliau sering menemani ayah dan abangnya bermain di gelanggang terbuka berhampiran rumah.
“Saya ikut sebab nak tahu dan saya kepo-lah,” katanya sambil ketawa.
Walaupun tiada anggota keluarganya yang bermain secara profesional, sukan itu meninggalkan kesan mendalam padanya.
“Badminton buat saya rasa sangat tertarik. Ada seni dalam cara kita pukul bulu tangkis itu,” ujarnya.
Aaliyah menyertai kegiatan kokurikulum (CCA) badminton di Sekolah Perempuan Cina Singapura dan kemudian ditawarkan tempat di Sekolah Sukan Singapura (SSP).
Pada awalnya, beliau bermain sekadar suka-suka.
Namun selepas menyertai beberapa kejohanan tempatan dan menunjukkan prestasi cemerlang, beliau mula menganggapnya sebagai satu kerjaya serius.
Mengimbangi pelajaran dan latihan bertaraf tinggi bukan sesuatu yang mudah.
Jadual harian Aaliyah sangat padat – latihan pagi dari 8.30 pagi hingga 11 pagi, kuliah di Politeknik Ngee Ann dari 12 tengah hari hingga 4 petang, kemudian bersambung semula dengan sesi latihan malam dari 5.15 petang hingga 8 malam.
Sabtu turut diisi dengan latihan, manakala Ahad dikhaskan masa bersama keluarga.
“Memang banyak masa dengan keluarga yang saya korbankan. Tapi saya tahu saya perlu berkorban jika saya ingin berjaya,” katanya.
Kini, Aaliyah merupakan sebahagian daripada Skuad Latihan Kebangsaan sejak 2024.
Ini merupakan satu pencapaian yang lebih bermakna memandangkan masalah kesihatannya sebelum ini yang telah menangguhkan kelayakannya.
“Masa itu jurulatih kata saya belum cukup sihat untuk sertai,” katanya.
Aaliyah mencipta kenangan manis pada 2024 apabila beliau menyertai Kejohanan Dunia Remaja, dan dikalahkan juara bertahan di pusingan kedua.
“Ia satu pengalaman yang membuka mata. Saya dapat belajar daripada pemain yang jauh lebih baik,” katanya.
Pada 4 Mei, Aaliyah dianugerahkan biasiswa di bawah Program Pembangunan Atlet Jangka Panjang (LTADP) JK Tech.
Program itu dianjurkan oleh Yayasan JKTech, cabang amal syarikat teknologi maklumat tempatan, JK Technology.
Tujuannya adalah untuk mengukuhkan laluan pembangunan atlet negara dan mengurangkan kadar keciciran dalam perjalanan mereka ke peringkat kebangsaan.
Dengan pembiayaan sehingga $100,000 setahun, seramai 10 pelajar menerima sokongan setiap tahun.
Lapan pelajar dari SSP dan empat dari sekolah menengah lain, termasuk Aaliyah, telah dianugerahkan biasiswa itu pada 2025.
“Saya sangat bersyukur,” kata Aaliyah.
“Biasiswa ini meringankan beban kewangan ibu bapa saya. Kami sekeluarga sangat berterima kasih atas bantuan yang diberikan oleh Persatuan Badminton Singapura (SBA) dan JK Tech.”
Kini, setelah keadaannya semakin stabil dan prestasinya kembali meningkat, semangatnya untuk mewakili Singapura di Olimpik kembali membakar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg