Sebagai lulusan Nitec dalam bidang kejururawatan daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE), Cik Aqilah Tarishah Mohamad Fadil, 19 tahun, mencabar dirinya memasuki pertandingan WorldSkills Singapore (WSS) 2025.
Berkat kerja keras dan minat, beliau telah berjaya meraih pingat emas dalam pertandingan itu yang menyaksikan lebih 260 peserta bertanding dalam 26 kemahiran berbeza.
Cik Aqilah meraih anugerah dalam kategori Kesihatan dan Kesejahteraan Sosial semasa pertandingan tersebut.
Pertandingan nasional itu memaparkan belia Singapura yang berkemahiran tinggi. Diadakan setiap dua tahun dan ia menyaksikan jumlah peserta terbesar peserta kali ini.
Menceritakan pengalamannya, Cik Aqilah berkata beliau menjalani latihan intensif selama enam bulan untuk memperkasa kemahiran beliau dalam bidang kejururawatan dan komunikasi.
Latihan itu menekankan pembelajaran kemahiran baharu setiap hari. Ia bukan sahaja memperkukuh asas kejururawatannya, bahkan juga meningkatkan kemahiran komunikasi dan hubungan sesama manusia yang penting dalam memberikan penjagaan bermutu kepada pesakit.
Kemenangan itu tidak disangka-sangka memandangkan Cik Aqilah menghadapi cabaran dalam pertandingan, yang termasuk dari segi pengurusan masa.
Beliau perlu memastikan penjagaan yang diberikan bersesuaian, selain perlu membuat perubahan bagi meningkatkan hasil penjagaan.
Cik Aqilah perlu melaksanakan rancangan penjagaan dengan cekap, memastikan semua aspek tersebut adalah tepat semasa pertandingan itu.
Bagi Cik Aqilah, pertandingan bersaing bersama pelajar lain yang berkemahiran tinggi meskipun mencabar baginya, namun, beliau bersyukur atas sokongan orang sekeliling yang tidak putus-putus.
“Saya bangga dengan diri saya dan amat berterima kasih atas sokongan rakan dan keluarga,” kata anak kedua dalam tiga beradik itu.
Tambahnya, ibu dan ayahnya percaya pertandingan itu dapat memberi pendedahan dan pengalaman yang baik baginya.
Sebagai seorang yang mengutamakan keperluan pesakit, Cik Aqilah percaya beliau perlu memperbaiki kemahiran berkomunikasi dan kejururawatan supaya beliau dapat memberikan layanan terbaik.
Cik Aqilah menjadikan pengalaman itu satu motivasi bagi mencapai kejayaan yang diinginkan.
Beliau berharap ia dapat memberi dorongan kepada adiknya, Aniq Tirmidzi Mohamad Fadil, pelajar tahun satu Nitec Lanjutan di ITE Kolej East yang sedang menceburi bidang yang sama.
Sementara itu, minat Aqilah dalam bidang kejururawatan mula tercetus melalui ibu saudaranya, Cik Nur Farahdillah Abdullah, 33 tahun, yang bertugas dalam bidang paramedik.
Nasihat dan pengalaman yang dikongsi bersama sering dijadikan motivasi bagi Cik Aqilah yang memang meminati bidang kejururawatan sejak kecil.
Menurut Cik Aqilah, beliau ingin mempertingkat kemahiran kejururawatan dan merancang untuk terus kekal dalam bidang ini.
“Saya ingin mencabar diri saya dan tidak ingin berhenti. Setelah mendapatkan Sijil Nitec, saya ingin melakukan lebih banyak lagi dengan meneruskan pelajaran di politeknik,” kata beliau yang bercadang menyambung pengajian dalam bidang kejururawatan di Politeknik Nanyang dan mungkin menceburi bidang perbidanan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg