Pendidikan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Layanan tamu hotel sebati di jiwa, hasil inspirasi dari bapa saudara di Perth

Setelah raih pingat emas dalam pertandingan WorldSkills S’pura, pelajar RP ingin beri terbaik di peringkat serantau
Jul 31, 2025 | 3:45 PM
pelajar, WorldSkills Asean, wakili S’pura
Cik Wan Julita Alyssa Wan Ismail, 21 tahun, adalah antara 32 pelajar Singapura yang bakal bertanding dalam pertandingan uji kemahiran, WorldSkills Asean 2025. Minat beliau terhadap bidang layanan tamu mula berputik sejak usia muda apabila sering mendengar kisah bapa saudaranya yang bertugas dalam bidang sama di Perth, Australia. - Foto BH oleh KHALID BABA

Minat Cik Wan Julita Alyssa Wan Ismail terhadap bidang layanan tamu mula berputik sejak usia muda apabila sering mendengar kisah bapa saudaranya, Encik Zulkarnain Johar, yang bertugas dalam bidang sama di sebuah hotel di Perth, Australia.

Sebagaimana jelas pelajar tahun kedua Diploma Pengurusan Hotel dan Layanan Tamu daripada Politeknik Republic (RP) itu:

“Sejak kecil, saya gemar mendengar kisah pak cik saya bertemu orang dari pelbagai latar belakang dan membantu menguruskan keperluan mereka.

“Dari situ, minat saya terhadap bidang layanan tamu mula berkembang.”

Daripada cerita-cerita itu juga, Cik Wan Julita, 21 tahun, menyedari bahawa bidang khidmat pelanggan bukan sekadar memenuhi permintaan, tetapi turut menuntut rasa ihsan dan kepekaan terhadap situasi dan keupayaan dalam menjangkakan keperluan tetamu.

Buat masa ini, beliau sedang bersiap sedia mewakili Singapura dalam pertandingan uji kemahiran, WorldSkills Asean 2025, yang bakal berlangsung di Manila, Filipina, dari 25 hingga 30 Ogos.

Awal sebelum itu, beliau menjuarai peringkat nasional WorldSkills Singapura.

Beliau merupakan antara 32 pelajar Singapura yang bakal bertanding dalam pelbagai bidang kemahiran.

Ini termasuk keselamatan siber yang diperkenalkan buat julung-julung kalinya bagi 2025.

Dalam satu majlis khusus bagi meraikan wakil Singapura ke pertandingan tersebut di Politeknik Ngee Ann pada 25 Julai lalu, Menteri Negara Kanan (Pendidikan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Janil Puthucheary, menyifatkan pertandingan seperti WorldSkills sebagai satu wadah meraikan penguasaan kemahiran yang dicapai pelajar hasil komitmen terhadap pembelajaran dan kecemerlangan.

Dalam ucapannya, beliau turut menukil contoh perjalanan pendidikan Cik Wan Julita sebagai gambaran “kerja keras dan dedikasi demi mengejar kecemerlangan”.

Sejak menjuarai peringkat nasional dan meraih pingat emas bagi pertandingan WorldSkills Singapore pada Mei lalu (2025), Cik Wan Julita, anak keempat dalam tujuh beradik, semakin gigih berlatih.

Menurutnya, sebahagian besar masanya kini dihabiskan di makmal simulasi hotel di kampus RP yang meniru suasana kerja sebenar menerusi latihan memainkan peranan sebagai pengurus, penyelia dan penyambut tetamu.

“Latihannya jauh lebih mencabar berbanding sebelum ini.

“Ada hari saya tamat sekolah pada 4 petang dan sambung latihan hingga 10 malam.

“Pada masa sama, saya juga perlu bahagikan masa untuk tugasan akademik dan kerja sambilan,” ujar beliau, yang kini bekerja sebagai pegawai perkhidmatan tetamu di sebuah hotel di kawasan timur Singapura.

Namun, Cik Wan Julita akur semua kepayahan yang diharungi tidak sia-sia.

Beliau mengakui perjalanan ini telah membentuk ketahanan diri dan keyakinan yang lebih mendalam.

“Dulu kalau saya tak yakin, saya mudah mengalah. Tapi sekarang, walau masih ada keraguan, saya tetap cuba.

“Saya lebih tabah dan berusaha bersungguh-sungguh,” ujar beliau.

Merakam penghargaannya kepada keluarga, Cik Wan Julita menyatakan sokongan mereka amat berharga dan meniup semangat baru dalam dirinya.

“Mereka mungkin tidak begitu memahami tuntutan peraduan WorldSkills ini tetapi selalu mengingatkan saya agar tidak terlalu tertekan dengan keputusan yang diraih nanti kerana saya tetap anak mereka. Itu sudah cukup untuk saya teruskan perjuangan ini,” katanya.

Dengan semangat yang terus menyala, Cik Wan Julita kini menyimpan hasrat untuk menjejak langkah bapa saudaranya dan suatu hari nanti bergelar pengurus hotel.

“Industri layanan tamu ini memang mencabar, tetapi juga sangat memuaskan.

“Apabila tetamu menghargai usaha kita, segala kepenatan seolah-olah hilang begitu sahaja. Itu yang menjadi pembakar semangat saya dalam pertandingan ini dan dalam membangun kerjaya pada masa depan,” tambah beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg