Berjam-jam masa seorang guru boleh dihabiskan untuk menyemak tugasan, menyediakan lembaran kerja dan merancang pelajaran, sering kali pada waktu peribadi mereka.

Mengalami sendiri beban itu ketika dirinya bergelar guru Bahasa Inggeris dan Pengajian Sosial bersama Kementerian Pendidikan (MOE), Encik Rudy Hakeem, 40 tahun, membangunkan Akademi Interactive, sebuah platform kecerdasan buatan (AI) yang bertujuan mengembalikan masa guru kepada perkara paling penting: mengajar dan membimbing pelajar.

Ketika itu, beliau mendapati kebanyakan platform pembelajaran digital masih bergantung pada sistem jawapan yang terlalu tegar.

Sesuatu jawapan hanya dianggap betul jika sepadan dengan skema yang telah ditetapkan, sekali gus menyukarkan guru menilai kreativiti dan cara pemikiran berbeza setiap pelajar.

“Empat pelajar boleh memberikan empat jawapan yang berbeza, tetapi semuanya masih betul mengikut konteks.

“AI membolehkan guru menilai jawapan pelajar dengan lebih menyeluruh berdasarkan konteks, bukan sekadar sama ada ia sepadan dengan satu jawapan contoh. Ini memberi ruang kepada pelajar berfikir secara kreatif dan menghasilkan idea mengikut gaya penulisan mereka sendiri.

“Platform pembelajaran digital sebelum ini lazimnya tidak mampu memahami nuansa seperti itu,” katanya sambil menyentuh mengenai proses menilai karangan pelajar.

Encik Rudy menambah: “Sebagai guru, agak mustahil untuk saya menghasilkan maklum balas yang diperibadikan bagi ratusan karangan setiap minggu. AI membantu melengkapkan jurang itu supaya setiap pelajar dapat belajar mengikut kekuatan dan keupayaan masing-masing tanpa mengekang kreativiti mereka.”

Bermula sebagai projek sampingan yang digunakan di bilik darjahnya sendiri, Akademi Interactive kemudian diuji di sekolah dan institusi pendidikan di Singapura, Malaysia serta Indonesia selama sekitar setahun sebelum dilancarkan secara rasmi pada 2023.

Beliau meletakkan jawatan pada tahun yang sama bagi memberi tumpuan sepenuh masa kepada platform AI tersebut.

Platform itu mampu mengurangkan sekitar 44 peratus masa yang lazimnya dihabiskan guru bagi tugas pentadbiran dan penyediaan bahan pengajaran, sekali gus diharap membolehkan mereka memberi lebih tumpuan kepada interaksi bersama pelajar.

“Tujuan AI bukan untuk menggantikan guru. Ia sepatutnya menjadi pembantu yang mengambil alih kerja-kerja pentadbiran supaya guru boleh kembali melakukan perkara yang paling penting, iaitu mengajar dan membimbing pelajar,” katanya.

Namun, penggunaan AI dalam pendidikan tidak boleh dipisahkan daripada aspek keselamatan dan etika, kata beliau.

Sebagai perunding, mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Mendaki dan mantan pengetua sekolah, Cik Moliah Hashim, 68 tahun, bertanggungjawab menasihati pasukan itu mengenai pematuhan terhadap garis panduan MOE serta dasar negara yang mengawal penggunaan AI.

“Sebagai contoh, saya berkongsi dengan pasukan mengenai kebimbangan guru, pemimpin sekolah dan ibu bapa terhadap kesan AI terhadap keupayaan pelajar untuk belajar secara berdikari. Kami perlu memastikan proses pembelajaran dan penggunaan data sentiasa berada di bawah kawalan yang sewajarnya.

“Pada masa yang sama, saya turut membantu menangani kebimbangan pelanggan mengenai proses pelaksanaan sistem ini supaya ia dapat dilaksanakan secara berperingkat dan benar-benar memperkasa guru, di samping memastikan platform ini dibangunkan dengan garis panduan etika dan keselamatan yang kukuh,” katanya.

Malah, beliau berharap teknologi seperti Akademi Interactive mampu menjadikan pendidikan lebih mudah diakses oleh semua tanpa mengira latar belakang, sambil membolehkan guru memberi lebih perhatian kepada pembangunan sosial dan emosi pelajar.

Buat masa ini, sistem tersebut mampu menilai subjek Bahasa Inggeris, manakala subjek Bahasa Melayu serta Sejarah akan ditawarkan pada masa akan datang.

Lebih 4,000 pelajar daripada tiga negara telah mencuba platform tersebut.

Menurut laman akademi.sg, antaranya terdiri daripada Sekolah Menengah Tanjong Katong, Madrasah Al- Arabiah dan universiti awam Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Pengurus Operasi platform itu, Encik Nabil Kamsir, 39 tahun, sanggup meninggalkan kerjaya sebagai pengurus kontrak sebelum ini demi menyertai syarikat itu sepenuh masa sejak awal 2026.

Katanya, keputusan itu bukan dibuat kerana jaminan keuntungan, tetapi kerana beliau percaya AI mampu membawa perubahan kepada dunia pendidikan.

Dengan rancangannya untuk terus berkembang, Encik Rudy berkata matlamat asalnya tidak pernah berubah.

“Saya tidak membina platform ini untuk menggantikan guru. Saya membinanya kerana saya sendiri pernah menjadi seorang guru yang tahu bagaimana rasanya apabila terlalu banyak masa dihabiskan di belakang meja berbanding bersama pelajar,” kata beliau.