Pendidikan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pergerakan pesawat di udara pacu minat kejuruteraan aeroangkasa

Jul 11, 2025 | 9:28 PM
Arsa Muhammad Naufal, Biasiswa Program Kejuruteraan dan Teknologi, ETPS
Penerima Biasiswa Program Kejuruteraan dan Teknologi (ETPS), yang juga pelajar Maktab Rendah Anderson Serangoon, Arsa Muhammad Naufal, berharap dapat mempelajari secara lebih mendalam mengenai bidang kejuruteraan semasa menjalani latihan amali di syarikat komersial pada 2026. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Sejak masih di sekolah rendah, Arsa Muhammad Naufal, 16 tahun, sering terpesona apabila melihat kapal terbang di udara.

“Semasa berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta sewaktu bercuti dengan keluarga ke Jakarta, saya terpegun melihat kapal terbang di udara.

“Saya bertanya kepada bapa saya bagaimana kapal terbang itu boleh terbang dengan kelajuan pantas dengan menggunakan udara. Ketika itu saya berada dalam Darjah 2.

“Dari situ, saya sedar minat saya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi mula berkembang,” katanya kepada Berita Harian (BH) ketika ditemui di acara penyampaian biasiswa di auditorium Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) pada 11 Julai.

Arsa merupakan antara 200 pelajar daripada 19 institusi prauniversiti yang menerima Biasiswa Program Kejuruteraan dan Teknologi (ETPS) daripada Kementerian Pendidikan (MOE) pada 11 Julai. 

Biasiswa selama dua tahun itu diberikan kepada pelajar prauniversiti yang mempunyai minat dan ingin meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem).

Ia meliputi elaun tahunan $1,000 serta yuran sekolah mengikut kadar subsidi, tertakluk pada had tahunan sebanyak $2,400.

Penerima biasiswa itu pula antaranya dikehendaki menyertai bengkel Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matemati (Stem) selama seminggu, serta menjalani penempatan kerja industri selama dua minggu.

Arsa yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah North Vista sering kali menyertai pertandingan dan program Stem serta merupakan anggota Kelab Teknologi Maklumat di sekolah itu. 

Mengimbau kembali antara projek yang memberi kesan mendalam kepada dirinya, Arsa berkata pengalaman menyertai pertandingan, Singapore Science Buskers, pada 2022 memberinya peluang untuk keluar daripada zon selesanya. 

“Projek saya mengenai mengekstrak asid sitrik daripada buah lemon. Ia kali pertama saya perlu mengorbankan masa yang lama selepas waktu sekolah di makmal sains untuk melakukan projek itu. 

“Ia mengambil masa hampir setengah tahun untuk menyiapkannya.

“Namun saya dapat mempelajari kemahiran baru seperti berbual di hadapan khalayak ramai kerana terdapat reruai di Pusat Sains Singapura.

“Saya juga harus membentangkan konsep projek saya kepada pengunjung,” ujar anak bongsu dua beradik itu yang kini berada dalam tahun pertama di Maktab Rendah Anderson Serangoon. 

Beliau berkata minatnya dalam bidang Stem mekar dengan dorongan daripada anggota keluarga dan gurunya di sekolah.

Bapa Arsa, Encik Dedet Dewantoro, 55 tahun, berkelulusan ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Elektrik daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) dan bertugas sebagai pengurus kejuruteraan di sebuah syarikat swasta. 

Abangnya, Encik Dimas Rizky Kurniasalim, 23 tahun, sedang menuntut di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dalam jurusan Kejuruteraan Komputer. 

“Saya juga ingin berterima kasih kepada guru kegiatan kokurikulum (CCA) saya, Encik Tay Chee Thong. 

“Semasa berada dalam Kelab Teknologi Maklumat, Encik Tay sentiasa memberi saya sokongan, lebih-lebih lagi apabila saya menyertai pertandingan, Intel AI Global Impact Festival, dan menjalankan projek mengenai kecerdasan buatan (AI) pada 2022 dan 2023.

“Beliau sentiasa mendorong saya berfikir dan amalkan sikap ingin tahu,” kongsinya yang meraih markah L1R5 12 bagi Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’.

Selain minat dalam bidang kejuruteraan, Arsa kini mengambil subjek H2 Computing di maktab rendah dan mempelajari proses pengekodan pada waktu lapang.

Dengan biasiswa tersebut, Arsa ingin meningkatkan kemahiran dalam bidang Stem dan mempelajari daripada rakan industri semasa menjalani latihan amali di syarikat komersial atau agensi pemerintah pada 2026. 

Beliau turut berharap dapat meneruskan pengajian dalam jurusan kejuruteraan aeroangkasa di universiti. 

Bagi rancangan masa depannya, Arsa berharap dapat bekerja dengan belia lain untuk meningkatkan kesedaran mengenai bidang Stem dan menggalak belia agar terus berfikir dan mempunyai rasa ingin tahu semasa mendalami bidang tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg