Pelajar yang bakal melanjutkan pengajian di Politeknik Nanyang (NYP) dan masih belum membuat keputusan mengenai diploma yang ingin diambil akan berpeluang ‘mencuba’ tiga bidang berbeza – kejuruteraan, perniagaan dan teknologi, melalui Program Kemasukan Bersama (CEP) terbaru politeknik.
NYP telah melancarkan program baru – Program Perniagaan dan Teknologi Bersama – yang memberi pelajar fleksibiliti untuk meneroka pelbagai kursus sebelum membuat keputusan mengenai bidang pengajian mereka.
Program tersebut merupakan penambahan terkini dalam senarai program kemasukan bersama, yang direka untuk membolehkan pelajar meneroka pelbagai kursus diploma dalam satu kelompok disiplin tertentu sebelum memilih pengkhususan mereka.
Sebagai contoh, melalui Program Kejuruteraan Bersama di Politeknik Singapura (SP), pelajar berpeluang meneroka tujuh diploma dalam Sekolah Kejuruteraan Mekanikal dan Aeroangkasa serta Sekolah Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik sebelum memilih diploma masing-masing pada akhir tahun pertama.
Program baru NYP pula merangkumi tiga sekolah – perniagaan, teknologi maklumat (IT) dan kejuruteraan – akan dibuka untuk permohonan semasa Pendaftaran Kemasukan Awal (EAE) pada Jun 2025, bagi kemasukan pelajar pada 2026.
Tiada maklumat diberikan mengenai jumlah pelajar bagi pengambilan kohort pertama program tersebut, lapor The Straits Times (ST).
Pelajar yang menyertai program ini akan mengikuti gabungan modul daripada ketiga-tiga bidang tersebut pada semester pertama, seperti komunikasi perniagaan, pemprograman dan reka bentuk pengalaman pengguna.
Selepas didedahkan kepada setiap bidang pengajian, pelajar boleh memilih salah satu daripada tiga bidang tersebut untuk pengkhususan mulai semester kedua.
Pengetua merangkap Ketua Eksekutif NYP, Encik Russell Chan, berkata program baru itu akan membantu pelajar membuat keputusan lebih tepat apabila memilih diploma.
Ini terutama dalam keadaan mereka berdepan pelbagai pilihan selepas menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah atau Institut Pendidikan Teknikal (ITE).
“Meskipun CEP sedia ada membolehkan pelajar mengembangkan kemahiran asas dalam tempoh enam bulan hingga setahun sebelum memilih diploma pilihan mereka, program-program ini masih terhad kepada satu bidang khusus,” kata Encik Chan.
CEP mula diperkenalkan pada 2017 dan kini menjadi pilihan popular di kalangan pelajar, dengan sekitar 30 peratus pelajar politeknik memulakan pengajian mereka menerusi program itu.
Dengan pelancaran program baru itu, kini terdapat keseluruhan 26 CEP yang ditawarkan di lima politeknik tempatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg