Pendidikan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pernah tangguh pengajian demi sara keluarga, kini ketua jurutera

Bekas lulusan ITE kongsi kegigihan pertingkat diri hingga raih ijazah pada 2019 ketika berusia 46 tahun
May 29, 2025 | 9:54 PM
 Suhardi Hashim, Politeknik Singapura, Ijazah
Encik Suhardi Hashim ditawarkan peluang meneruskan pengajian diploma di Politeknik Singapura (SP) pada 1995, namun terpaksa menangguh pelajarannya demi menyara keluarga selepas bapanya diberhentikan kerja sebagai pemandu lori. Beliau yang telah meraih ijazah kejuruteraan pada 2019 ketika berusia 46 tahun, kini bertugas sebagai Ketua Jurutera di SP Services. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Ketika Encik Suhardi Hashim, 52 tahun, ditawarkan peluang untuk meneruskan pengajian di Politeknik Singapura (SP) pada 1995, beliau menyangka inilah masa tepat baginya merealisasikan impian yang sekian lama dipendam untuk bergelar seorang jurutera.

Namun, hanya beberapa hari sebelum pengajian bermula, beliau yang kini merupakan Ketua Jurutera di SP Services, membuat keputusan berat menolak tawaran tersebut demi menyara keluarganya.

Ketika itu, Encik Suhardi baru berusia 22 tahun dan merupakan anak sulung dalam keluarga empat beradik.

Ayahnya, satu-satunya pencari nafkah keluarga, pula telah diberhentikan kerja sebagai pemandu lori.

Disebabkan itu, Encik Suhardi memilih untuk bekerja sebagai juruteknik di agensi air negara, PUB, sambil menangguh hasratnya untuk menyambung pengajian demi memastikan keluarganya tidak terputus sumber pendapatan bagi meniti hari penuh kecekalan.

“Keputusan itu tidak mudah, tetapi saya tahu saya perlu mengutamakan keperluan keluarga terlebih dahulu.

“Bagi saya, saya tidak berhenti belajar walau memilih untuk bekerja.

“Bagi saya, pelajaran pula hanya ditangguh seketika,” singkap Encik Suhardi semasa berkongsi perjalanan hidupnya dalam satu sesi anjuran SP Group di ibu pejabat syarikat tersebut di Kallang Sector pada 27 Mei.

Sesi itu diadakan sempena pengumuman pembaharuan komitmen SP Group yang menyumbang sebanyak $1.35 juta kepada Anugerah Pembelajaran Kejuruteraan yang bakal memberi manfaat kepada 450 pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) daripada keluarga berpendapatan rendah.

Inisiatif tersebut telah menyokong 900 pelajar ITE di tiga kampusnya dalam pengajian mereka sejak dilancarkan pada 2022, menurut satu kenyataan bersama SP Group dan ITE.

Sumbangan pemberian SP Group diagihkan kepada pelajar tahun kedua di ITE bagi setiap kohort dalam tempoh tiga tahun mendatang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SP Group, Encik Stanley Huang, berkata:

“SP Group komited dalam membangun generasi kejuruteraan profesional yang seterusnya.

“Ramai daripada mereka akan memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan tenaga yang mampan dan berdaya tahan bagi negara kita.

“Menerusi Anugerah Pengajian Kejuruteraan SP Group, kami berhasrat untuk menyemai semangat, cita-cita dan ketabahan bakat masa depan sambil mereka meneroka minat kejuruan dan membina laluan pendidikan serta kerjaya yang bermakna.”

Semasa ditemui Berita Harian (BH), Encik Suhardi berkata pengajian beliau di ITE menjadi titik tolak dalam mengenal pasti kekuatannya dalam bidang kejuruteraan.

Beliau, yang memulakan pengajian di ITE pada 1993, berkata pengalaman di sana telah membuka mata dan membentuk keyakinan dirinya dalam kemahiran teknikal.

“ITE memberi saya peluang untuk menyedari minat dan kemahiran saya dalam pengetahuan teknikal, khususnya dalam bidang kejuruteraan,” katanya.

Beliau menambah walaupun pencapaian akademiknya semasa di sekolah menengah tidak begitu menggalakkan, beliau menemui laluan alternatif melalui latihan amali yang ditawarkan di ITE.

“Saya mungkin tidak begitu baik dalam bidang akademik, tetapi saya cemerlang dalam aspek teknikal di ITE.

“Itulah yang memberikan saya keyakinan untuk teruskan (perjalanan) dalam bidang ini,” ujar Encik Suhardi, yang kemudian menyambung pengajian sambilan di SP pada 1996.

Ketabahannya menelaah pelajaran membawa hasil, dengan ibunya kemudian mendorongnya menyambung pengajian di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pada 2012.

Encik Suhardi akhirnya memperolehi ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan pada 2019 ketika berusia 46 tahun.

“Kegagalan bukan penamat. Apa yang penting ialah kesabaran dan keazaman. Kita mungkin perlu ambil laluan berbeza, tetapi selagi kita tidak putus asa, impian itu tetap boleh dicapai,” ujarnya lagi.

“... Bagi saya, saya tidak berhenti belajar walau memilih untuk bekerja... Kegagalan bukan penamat. Apa yang penting ialah kesabaran dan keazaman. Kita mungkin perlu ambil laluan berbeza, tetapi selagi kita tidak putus asa, impian itu tetap boleh dicapai.”
Encik Suhardi Hashim, Ketua Jurutera di SP Services.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg