Walaupun perkahwinan Encik Adam Mohomed Jiffry berakhir setelah dua tahun pada Februari 2019, beliau dibelenggu kegawatan emosi dan cabaran dalam mengemudi sistem perundangan – sivil dan Syariah – semasa melalui proses perceraian.
Menyifatkan pengalaman itu sebagai pahit, beliau menghadapi kesukaran dengan sistem perundangan ketika itu.
Ini termasuk dirumitkan peluang beliau melawat anak perempuannya dan menimbulkan rasa kecewa dalam diri.
Bertekad supaya keluarga lain tidak mengalami nasib serupa, Encik Adam melanjutkan pengajian possiswazah undang-undang (Juris Doctor) secara sambilan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pada 2020 untuk mengamalkan undang-undang keluarga.
Beliau, yang memegang ijazah Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dari Universiti Cardiff, bertugas sebagai seorang eksekutif undang-undang ketika itu.
Ternyata, kerja keras membolehkan siswazah berusia 37 tahun itu menggenggam ijazah Juris Doctor di majlis konvokesyen SUSS di Pusat Konvensyen Suntec City pada 9 Oktober 2024.
Encik Adam juga adalah penerima Anugerah Daya Sekolah Undang-Undang SUSS, yang ditubuhkan Pesuruhjaya Kehakiman, Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir, bagi menyokong dan mengiktiraf mahasiswa Sekolah Undang-Undang SUSS yang berdaya tahan.
Beliau adalah antara 29 lulusan yang dianugerahkan ijazah tersebut di majlis itu.
Secara keseluruhan, 3,266 siswazah menerima ijazah mereka di majlis konvokesyen itu – yang terbesar bagi SUSS sejauh ini – berbanding 2,989 lulusan pada 2023.
Mengimbas kembali pendekatan peguam untuk kes perceraian beliau kepada Berita Harian (BH), bapa dua anak kecil berusia enam tahun dan lima bulan itu berkata bahawa undang-undang keluarga seharusnya tidak dipandang sebagai permainan yang melibatkan kemenangan atau kekalahan.
“Sebagai seorang peguam, anda seharusnya membantu pihak lain sambil mewakili anak guam anda sebaik mungkin dan bukannya berusaha untuk mengalahkan pihak lain.”
“Seorang peguam tidak boleh mendekati kes keluarga tanpa sikap sensitif terhadap nukleus keluarga dan bertindak tanpa memikirkan kepentingan terbaik seorang kanak-kanak,” ujarnya.
Justeru, beliau turut mendalami ilmu keagamaan di Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).
Menurut Encik Adam, beliau memperuntukkan masa untuk mengikuti kelas pengajian Islam pada setiap hujung minggu di samping pengajiannya di SUSS demi menyokong klien dengan lebih baik dari segi isu undang-undang dan rohani.
Menurutnya, pendekatan menyeluruh itu membolehkannya memperjuangkan keluarga dengan pemahaman yang lebih mendalam menerusi konteks budaya dan agama.
Ini sambil menekankan kepentingan belas kasihan dan persefahaman dalam mengemudi undang-undang keluarga.
Di luar akademik pula, beliau melibatkan diri dalam Persatuan Undang-Undang Singapura bagi perkhidmatan guaman percuma, atau pro bono, untuk memberi bimbingan undang-undang kepada golongan memerlukan.
Selain itu, beliau juga telah mewakili Sekolah Undang-Undang SUSS selaku kapten dalam pertandingan futsal tahunan Piala Ketua Hakim Negara pada 2023 dan 2024.
Sambil mengimbangi waktu kerja, sekolah dan keluarga, tidak dinafikan bahawa ada kalanya Encik Adam berasa lelah, atau ‘burnout’.
Namun, beliau rasa beruntung kerana mempunyai rakan-rakan seperjuangan serta pensyarah di universiti yang banyak membantunya.
Tidak lupa juga dukungan ibunya, Cik Mardiana Ratna Kusaseh Mohd Anis Tairan, 67 tahun, seorang suri rumah.
“Sepanjang proses perceraian, ibu saya adalah tonggak sokongan utama saya.
“Meskipun tidak tahu-menahu tentang (pengajian) undang-undang, beliau akan membancuh kopi untuk saya pada lewat malam dan memberikan kata-kata semangat sambil saya menghabiskan tugasan sekolah,” kongsi beliau.
Beliau juga telah bernikah buat kali kedua dengan, Cik Nurliah Mohamed Noor, 34 tahun, seorang jururawat, yang dikenalinya sewaktu menjalani kelas di Pergas.
Kini, hubungan beliau dan bekas isterinya juga lebih mesra dan dapat meluangkan masa bersama anak perempuan mereka.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg