Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pendirian berprinsip S’pura perboleh bantuan dihulur segera di Gaza: Edwin Tong

Oct 26, 2024 | 8:06 PM
(Dari kiri) Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Persekutuan Buddha Singapura, Venerable Dr Shi Chuan Sheng; Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong; Pengerusi Lembaga Penasihat Sikh dan Pengerusi Kumpulan Keharmonian Antara Kaum dan Agama Kampong Chai Chee, Encik Malminderjit Singh; dan Profesor Doktrin Kristian Chew Hock Hin, , Kolej Teologi Trinity, Dr Roland Chia, di Dialog Keamanan & Keharmonian pada 26 Oktober.
(Dari kiri) Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Persekutuan Buddha Singapura, Venerable Dr Shi Chuan Sheng; Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong; Pengerusi Lembaga Penasihat Sikh dan Pengerusi Kumpulan Keharmonian Antara Kaum dan Agama Kampong Chai Chee, Encik Malminderjit Singh; dan Profesor Doktrin Kristian Chew Hock Hin, , Kolej Teologi Trinity, Dr Roland Chia, di Dialog Keamanan & Keharmonian pada 26 Oktober. - Foto BM oleh SHAFIQ APANDI

Pendirian berprinsip Singapura mengenai apa yang berlaku di Gaza serta komitmen terhadap tindakan membina membolehkan negara ini menyampaikan bantuan kemanusiaan dengan segera.

Menyatakan demikian dalam satu dialog antara agama, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berkata pendirian Singapura sentiasa berdasarkan kepentingan negara.

“Sebab itu kami juga dilihat sebagai rakan berwibawa dan dipercayai kerana kami tidak berdiri dengan mana-mana pihak, tetapi di atas prinsip. Kami komited terhadap tindakan konsisten dan membina untuk membantu golongan memerlukan.

“Disebabkan pendirian ini, kami boleh segera menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada masyarakat terjejas menerusi rakan seperti Mesir, Jordan, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Cyprus,” kata Encik Tong.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada ‘Dialog Keamanan & Keharmonian’ di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pada 26 Oktober.

Dialog itu dianjurkan oleh Kumpulan Keharmonian Antara Kaum dan Agama dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY).

Dalam ucapannya, Encik Tong berkata walaupun Singapura negara kecil, rakyatnya berjiwa besar, merujuk kepada kesediaan orang ramai, tidak kira agama, tampil membantu mangsa konflik.

Pada awal Oktober, pelbagai pertubuhan keagamaan dan masyarakat di bawah Kumpulan Keharmonian Antara Kaum dan Agama memulakan satu lagi usaha mengumpul dana bagi kanak-kanak dan keluarga terjejas di Gaza.

Dialog itu pula mengumpulkan pemimpin agama dan masyarakat dan bertujuan mewujudkan ruang untuk perbualan terbuka mengenai pengukuhan perpaduan antara kepercayaan dan latar belakang.

Ia turut dihadiri pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Persekutuan Buddha Singapura, Venerable Dr Shi Chuan Sheng; Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir; pengerusi Lembaga Penasihat Sikh dan Pengerusi Kumpulan Keharmonian Antara Kaum dan Agama Kampong Chai Chee, Encik Malminderjit Singh; dan Profesor Doktrin Kristian Chew Hock Hin , Kolej Teologi Trinity, Dr Roland Chia, 

Ditemui Berita Minggu moderator dialog itu, Ketua Pusat Harmony, Ustazah Liyana Rosli Asmara, berkata: “(Dialog) ini sangat penting untuk membantu mengeratkan hubungan antara masyarakat yang berbeza… untuk memupuk perpaduan. Ia memberi kita platform untuk melihat semula matlamat bersama kita dan mengukuhkan persefahaman bersama.”

Ustazah Liyana menambah bahawa dialog sedemikian menyediakan ruang selamat untuk menggalak empati, terutamanya dalam masa mencabar.

Encik Tong pula berkata orang ramai mungkin mempunyai pandangan berbeza mengenai apa yang berlaku di Gaza, tetapi Singapura tidak harus membiarkan kejadian di luar negara melemahkan perpaduan dan kepercayaan di sini.

“Jika kita membiarkan perbezaan memecahbelahkan kita, dan jika kita berhenti berkawan dengan satu sama lain, berhenti mendengar satu sama lain, berhenti membuka minda dan hati kita kepada satu sama lain, itu hari yang sedih bagi Singapura.

“Jika kita secara individu kekal dalam kepompong kepercayaan dan budaya kita sendiri, ini akan merugikan kita sebagai satu negara,” kata Encik Tong.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg