Dakwaan Encik Lee Hsien Yang bahawa rumah 38 Oxley Road harus segera dirobohkan mengikut wasiat ayahnya tidak tepat, kata jurucakap pemerintah pada 25 Oktober.
Walaupun Perdana Menteri Pengasas, mendiang Encik Lee Kuan Yew, menyatakan dalam wasiatnya bahawa keutamaannya adalah untuk merobohkan rumah itu, beliau juga mengakui bahawa rumah tersebut boleh dipulihara, tambah jurucakap Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).
Mendiang Encik Lee telah sebelum ini beberapa kali secara terbuka menyatakan hasratnya agar rumah itu dirobohkan selepas kematiannya.
Dalam suratnya kepada Kabinet pada Oktober 2010, mendiang Encik Lee menyatakan bahawa rumah itu “tidak seharusnya dijadikan sebagai sejenis tempat pusaka untuk orang ramai mengunjunginya” dan bahawa ia “tiada nilai dari segi seni bina”.
Dalam bukunya berjudul ‘Hard Truths to Keep Singapore Going’, yang diterbitkan pada Januari 2011, terdapat satu petikan di mana beliau mengatakan: “Disebabkan rumah saya, rumah kejiranan lain tidak boleh meninggikan bangunan. Sekarang robohkan rumah saya dan tukar peraturan perancangan, tinggikan ia, nilai tanah akan naik.”
Beliau mengulangi pendiriannya pada Julai 2011 dalam surat lain kepada Kabinet, tetapi menghadapi tentangan daripada para menteri ketika beliau bertanya tentang perkara itu.
Seterusnya, dalam surat lain yang ditujukan kepada Kabinet pada Disember 2011, Encik Lee berkata beliau telah mempertimbangkan perkara itu selepas Kabinet sebulat suara berkata hartanah itu tidak patut dirobohkan. Justeru, beliau telah memutuskan bahawa jika rumah itu mahu dipelihara, kerja-kerja pemuliharaan perlu dijalankan.
“Anggota kabinet sebulat suara (bersetuju) bahawa 38 Oxley Road tidak patut dirobohkan. Saya telah mempertimbangkan perkara ini dan memutuskan bahawa jika 38 Oxley Road ingin dipelihara, asasnya perlu diperkukuh dan keseluruhan bangunan itu perlu diperbaharui. Ia kemudiannya mesti disewa untuk didiami orang ramai. Sebuah bangunan kosong tidak lama lagi akan runtuh dan reput,” kata Encik Lee.
Jurucakap pemerintah berkata pada 25 Oktober: “Walaupun dalam wasiat Encik Lee Kuan Yew beliau menyatakan keutamaannya untuk merobohkan hartanah itu, ia juga mengakui bahawa hartanah tersebut boleh dipelihara.
“Pendirian Encik Lee Kuan Yew cukup jelas. Keutamaannya adalah untuk merobohkan hartanah itu. Namun, beliau mengakui bahawa hartanah tersebut tidak wajib dirobohkan, dan memberikan pandangannya tentang cara hartanah itu boleh dipulihara. Semua ini dinyatakan dalam laporan jawatankuasa menteri mengenai 38 Oxley Road, yang diterbitkan pada April 2018.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg