Penduduk di kebanyakan negara Asia Tenggara kini berkahwin pada usia lebih lewat dan mempunyai isi rumah yang semakin kecil, namun hubungan kekeluargaan kekal erat dalam menghadapi pelbagai cabaran.

Dapatan tersebut dapat membantu negara di rantau ini memahami perubahan keperluan keluarga, sokongan serta merangka dasar lebih sesuai dengan keadaan keluarga yang berbeza.

Demikian menurut Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, ketika melancarkan Laporan Keadaan Keluarga Asean 2026 buat julung kalinya sempena Persidangan Keluarga Asia 2026 pada 17 November di Hotel Shangri-La.

Laporan itu merangkumi dapatan tinjauan terhadap 12,942 isi rumah dari 10 negara Asean, termasuk Singapura.

Kajian selama dua tahun itu melibatkan penyelidik dan penggubal dasar dari negara-negara yang mengambil bahagian selain Timor-Leste, yang hanya menjadi anggota Asean ke-11 pada Oktober 2025.

Menurut Encik Masagos, banyak penyelidikan mengenai keluarga selama ini berpandukan pengalaman masyarakat Barat, sedangkan realiti kehidupan dan cabaran yang dihadapi keluarga di Asia mungkin berbeza.

“Tanpa data dan petunjuk bersama, penyelidikan kita berisiko menjadi terpisah-pisah,” katanya.

Antara dapatan utama laporan itu ialah usia median dalam perkahwinan pertama semakin meningkat bagi kedua-dua lelaki dan wanita di kebanyakan negara ASEAN.

Di Singapura, usia median wanita dalam perkahwinan pertama meningkat daripada 28.2 tahun pada 2015 kepada 29.6 tahun pada 2025, manakala bagi lelaki, daripada 30.3 tahun kepada 31.1 tahun.

Kadar kesuburan di kebanyakan negara juga telah merosot ke bawah paras penggantian penduduk (kadar yang diperlukan untuk mengekalkan jumlah penduduk daripada satu generasi ke generasi seterusnya tanpa mengambil kira penghijrahan), iaitu 2.1 kelahiran bagi setiap wanita.

Hanya Kemboja, Indonesia dan Laos mencatat kadar kesuburan pada atau melebihi paras tersebut, walaupun ketiga-tiga negara turut mengalami penurunan kadar itu.

Saiz purata isi rumah juga semakin mengecil.

Di Singapura, misalnya, jumlah purata anggota bagi setiap isi rumah berkurangan daripada 3.4 orang pada 2015 kepada 3.1 orang sedekad kemudian, iaitu pada 2025.

Namun, di sebalik perubahan tersebut, laporan itu mendapati bahawa hubungan kekeluargaan masih kukuh.

Sebanyak 92.7 peratus responden mencatat tahap daya tahan keluarga yang sederhana hingga tinggi, manakala 79.6 peratus melaporkan hubungan kekeluargaan yang erat.

Sebanyak 89.1 peratus responden yang sudah berkahwin pula menyatakan bahawa mereka bahagia dalam perkahwinan.

Laporan itu turut mendapati bahawa daya tahan keluarga yang lebih tinggi mempunyai kaitan dengan hubungan kekeluargaan lebih kukuh, kesejahteraan lebih baik, mutu kehidupan lebih tinggi dan mutu perkahwinan lebih baik.

Keluarga nuklear, iaitu isi rumah yang terdiri daripada dua generasi, serta keluarga tiga generasi atau lebih, secara umumnya mencatat tahap daya tahan dan kesejahteraan yang lebih tinggi berbanding jenis isi rumah lain.

Mengulas dapatan tersebut, ahli akademik Malaysia yang terlibat dalam kerjasama penyelidikan laporan itu, Profesor Mohamad Fazli Sabri, berkata beliau tertarik dengan kekuatan hubungan kekeluargaan meskipun rantau ini mengalami perubahan demografi.

“Walaupun kita melihat perubahan dari segi kadar kesuburan dan saiz isi rumah, perkara yang paling menarik ialah hubungan kekeluargaan masih kukuh.

“Hampir 80 peratus responden menyatakan bahawa mereka mempunyai hubungan kekeluargaan yang rapat,” katanya ketika ditemui Berita Harian (BH).

Beliau berpendapat bahawa nilai kekeluargaan masih memainkan peranan penting dalam masyarakat Asia Tenggara, dengan anggota keluarga terus bergantung antara satu sama lain ketika menghadapi kesukaran.

“Dalam konteks negara Timur, kita masih mementingkan nilai kekeluargaan. Walau apa pun yang berlaku, kita tetap kembali kepada keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menekankan peranan pertubuhan masyarakat setempat serta institusi agama sebagai penghubung antara keluarga dengan pemerintah.

“Kadangkala pemerintah menyediakan dasar dan bantuan yang baik, tetapi maklumat itu tidak sampai kepada masyarakat.

“Dengan bekerjasama bersama pertubuhan masyarakat dan institusi agama, bantuan dapat disampaikan dengan lebih berkesan kerana mereka lebih dekat dengan masyarakat,” katanya.

Persidangan dwitahunan edisi kelima itu dianjurkan bersama Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dari 17 hingga 18 November.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti