Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penduduk Buangkok nikmati perjalanan lebih lancar, pantas

Ini setelah Pusat Pertukaran Bas Buangkok beroperasi dengan tiga perkhidmatan bas sejak 1 Disember
Jan 11, 2025 | 6:31 PM
Pusat Pertukaran Bas Buangkok dilancarkan secara rasmi pada 11 Januari. Acara diserikan kehadiran Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Murali Pillai, (tiga dari kiri), anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) Sengkang, termasuk Dr Lam Pin Min (dua dari kiri), Cik Theodora Lai (empat dari kiri) dan Dr Elmie Nekmat (terlindung).
Pusat Pertukaran Bas Buangkok dilancarkan secara rasmi pada 11 Januari. Acara diserikan kehadiran Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Murali Pillai, (tiga dari kiri), anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) Sengkang, termasuk Dr Lam Pin Min (dua dari kiri), Cik Theodora Lai (empat dari kiri) dan Dr Elmie Nekmat (terlindung). - Foto ST

Penduduk kawasan Buangkok kini menikmati perjalanan lebih lancar dan keterhubungan lebih baik dengan bandar Sengkang, dan kawasan seperti Lapangan Terbang Changi, Bishan, dan Bukit Timah menerusi pembukaan sebuah pusat pertukaran bas.

Pusat Pertukaran Bas Buangkok, yang disepadukan dengan Sengkang Grand Mall dan stesen MRT Buangkok, telah beroperasi dengan tiga perkhidmatan bas sejak 1 Disember.

Pusat pertukaran bas yang dikendalikan SBS Transit (SBST), akan dapat menampung tujuh perkhidmatan bas secara berperingkat.

Pembukaan rasmi pusat pertukaran bas itu diadakan pada 8.30 pagi, 11 Januari, dan dihadiri Menteri Negara (Pengangkutan), Encik Murali Pillai.

Pusat pertukaran itu merupakan hab pengangkutan bersepadu ke-12 yang telah dibina Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), lapor The Straits Times (ST).

Hab sebegini menghubungkan pusat pertukaran bas dengan stesen MRT serta bangunan berhampiran, seperti pusat membeli-belah untuk kemudahan para penumpang.

Dalam satu catatan di Facebook, Encik Pillai berkata beliau gembira mendengar maklum balas daripada para penduduk tentang bagaimana Pusat Pertukaran Bas Buangkok telah meningkatkan lagi ketersambungan dan kemudahan buat mereka. 

Perkhidmatan yang beroperasi dari pusat pertukaran ini adalah: 110, 114, dan 156.

Perkhidmatan bas 110, yang menuju ke Lapangan Terbang Changi, dipindahkan dari Pusat Pertukaran Bas Compassvale dan tidak lagi berhenti di dua perhentian di sepanjang Compassvale Road. 

Sejak 1 Disember, perkhidmatan bas 114, yang sebelum ini beroperasi dari stesen MRT Buangkok, kini memulakan perjalanannya dari pusat pertukaran bas Buangkok pada 5.55 pagi, dan berhenti di sepanjang Buangkok Crescent dan Sengkang Central.

Perkhidmatan bas 156, yang sebelum ini beroperasi dari Pusat Pertukaran Bas Sengkang, kini berhenti di dua perhentian bas tambahan di sepanjang Sengkang East Avenue. 

Ia tidak lagi berhenti di tujuh perhentian bas yang biasa dilaluinya di sepanjang Sengkang East Road, Sengkang East Way dan Compassvale Road.

Penduduk yang diwawancara ST paling teruja dengan perkhidmatan bas 110, yang dapat kurangkan masa perjalanan ke Lapangan Terbang Changi.

Berucap semasa majlis pelancaran rasminya, Encik Jeffrey Sim, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SBST, berkata Pusat Pertukaran Bas Buangkok memberi tumpuan menyeluruh kepada keperluan penumpang – dengan kemudahan untuk keluarga dengan anak kecil, golongan warga emas, dan mereka yang menghadapi cabaran pergerakan. 

Pusat pertukaran bas baru itu dilengkapi dengan kemudahan seperti tempat beratur khas dengan tempat duduk untuk golongan memerlukan, tandas khas untuk golongan berkerusi roda, bilik penjagaan bayi dan bilik rehat untuk penumpang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg