Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kegiatan seni dan budaya satukan orang pulau

Jun 29, 2025 | 5:30 AM
Singapura, orang pulau, Joget Dangkung, Hari Orang Pulau
Encik Mohd Nazir Dolah membuat persembahan bersama Orkes Melayu Mutiara – kumpulan berbilang generasi yang terdiri daripada penduduk pulau dan keturunan dari Pulau Samulun – sedang orang ramai menari Joget Dangkung sewaktu Hari Orang Pulau yang diadakan di West Coast Park pada 14 Jun.  - Foto ST

Menggerakkan jari jemarinya, Encik Mohd Nazir Dolah, 74 tahun, memainkan alat muzik akordion, bertemankan gesekan biola, gemerincing tamborin, paluan rebana dan petikan gitar anggota kumpulan lain dari Orkes Melayu Mutiara.

Namun, kumpulan yang terdiri daripada orang pulau berbilang generasi dari Pulau Samulun itu, bukan sekadar membuat persembahan biasa-biasa atau bagi tujuan mengiringi majlis perkahwinan.

Alunan muzik mereka itu bertujuan mengundang orang ramai yang hadir bagi Hari Orang Pulau pada 14 Jun untuk mula bangkit menari, mengayun tangan dan kaki bagi mengikut rentak tersebut.

Ternyata, detik itu menjadi suatu yang istimewa buat Encik Nazir yang dapat menyaksikan seni Joget Dangkung dihidupkan semula oleh puluhan pengunjung yang ikut serta, lantas mengingatkannya tentang zaman silam membesar di Pulau Samulun, kini sebahagian Jurong Island.

‘Dang’... ‘kung’. Tarian yang digelar Joget Dangkung – diilhamkan daripada bunyi paluan gendang dan gong – unsur hiburan yang dinanti-nantikan orang kampung, termasuk keluarganya.

“Dari kecil saya akan tonton Joget Dangkung. Oleh kerana suka, ibu saya beli tiket berharga 50 sen dan suruh saya joget!

“Waktu itu saya bujang dan satu lagu harganya 50 sen,” kata bapa empat anak itu.

Sewaktu zaman 1970-an itu, Encik Nazir berkata orang kampung “suka tengok” dan menanti dengan penuh rasa teruja setiap kali kumpulan Joget Dangkung tiba di kampung mereka, seminggu sekali.

Kenangan manis yang dikait dengan Joget Dangkung turut serupa buat Encik Kasmun Abdul Karim, 64 tahun, yang hingga ke hari ini masih melibatkan diri dalam tarian tersebut.

Melihat perubahan seni tersebut, Encik Kasmun berkata Joget Dangkung pada zaman moden ini sudah tidak menggunakan alat muzik sama seperti zaman kampung, bahkan sudah digantikan dengan organ yang mampu mengeluarkan bunyi ‘dang’ dan ‘kung’ yang berkongsi persamaan.

“Harapan saya agar Joget Dangkung ini tidak dihapuskan kerana ia timbulkan kegembiraan.

“Bahkan, ia juga merupakan tarikan buat bangsa asing yang turut serta apabila mereka melihat tarian itu dipersembahkan... ia satukan masyarakat,” jelasnya yang masih membujang.

Dihubungi Berita Minggu (BM), Cik Novi Asti Lalasati, yang menghasilkan filem tentang asal usul Joget Dangkung bertajuk Dara Duka, berkata tarian tersebut lahir daripada masyarakat pesisir sendiri dari Kepulauan Riau yang akan mendayung dari satu pulau ke satu pulau.

Nelayan lelaki yang bekerja pada siang hari akan secara umum menjadi pemuzik dan penyanyi rombongan Joget Dangkung sementara penarinya ialah isteri, anak saudara, atau kerabat mereka.

Namun pada 1980-an, ia semakin dipandang rendah kerana terdapat “stigma sosial”, terutama kerana ia dikatakan bertentangan dengan agama Islam.

“Joget Dangkung dipandang sebagai sesuatu yang tercela, mungkin kerana dibuat waktu malam dan sering dijadikan hiburan bersamaan dengan kegiatan perjudian,” ujarnya, yang juga pengarah Bintan Bertutour dan pensyarah di Politeknik Bintan Cakrawala.

Lagipun, katanya, joget lain seperti Joget Medan, mula diperkenalkan dan tidak memerlukan perbelanjaan besar.

Misalnya, Joget Medan hanya memerlukan satu alat muzik iaitu organ berserta satu atau dua perempuan joget, dibandingkan Joget Dangkung yang memerlukan banyak alat muzik dan kira-kira enam puteri joget.

Menyentuh bagaimana Joget Dangkung mampu disebarkan dari Kepulauan Riau, Indonesia hingga ke orang pulau Singapura, Cik Asti berkata orang pulau zaman lalu tidak dibatasi sempadan negara.

“Sebelum kami terpisah oleh sempadan negara, kita sudah pun terhubung sehingga menjadi rumpun kebudayaan,” ujarnya.

Hari ini, Joget Dangkung tidak benar-benar pupus, bahkan masih ada satu rombongan di Tanjungpinang iaitu Dara Duka atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Joget Dangkung Mak Dare’.

Cik Asti melahirkan harapan seni kebudayaan itu terus dilestarikan walau dengan sentuhan moden.

“Yang abadi dalam kebudayaan hanyalah perubahan. Apa yang kita boleh lakukan sekarang ialah merakamnya supaya ia dapat dijadikan bekal penceritaan buat generasi masa depan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg