Perdana Menteri baru Singapura, Encik Lawrence Wong, menerima sambutan yang meriah apabila beliau hadir di kawasan lapangan bersebelahan stesen MRT Yew Tee pada 15 Mei.
Dianggarkan lebih 1,000 penduduk GRC Marsiling-Yew Tee, di mana Encik Wong berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) sejak 2015, berkumpul untuk menonton upacara angkat sumpah beliau di Istana.
Setibanya Encik Wong di lokasi sekitar 10.30 malam, orang ramai berpusu-pusu dan mengerumuni beliau untuk berjabat tangan, sekali gus menyukarkan laluan untuk ke atas pentas.
“Saya bergegas dari Istana pada malam ini kerana saya mahukan acara pertama saya sebagai Perdana Menteri Singapura bersama semua anda, penduduk GRC Marsiling-Yew Tee,” kata Encik Wong.
Semasa berucap kepada penduduk dalam acara itu, Encik Wong menekankan kepentingan meneruskan kejayaan yang dicapai oleh generasi Singapura sebelumnya dan usaha kolektif yang diperlukan untuk memajukan negara.
Beliau akan tetap berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) kepada kawasan undinya, tetapi berharap mereka memahami tanggungjawab beliau yang baru, tambahnya.
“Saya memberi jaminan bahawa kami mempunyai pasukan yang kuat. Para Anggota Parlimen saya yang lain, dan pemimpin akar umbi, akan terus berusaha menyediakan kediaman yang lebih baik, persekitaran hidup yang lebih baik dan memenuhi segala keperluan anda di Marsiling-Yew Tee,” ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg