Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemudahan sukan catat kepuasan kedua terendah dalam tinjauan HDB

Nov 27, 2025 | 12:35 PM
SHS, HDB, sample household survey, tinjauan, sports facilities, kemudahan
Kemudahan sukan di estet kejiranan mencatat tahap kepuasan kedua terendah, dengan 87.8 peratus penduduk berpuas hati, berbeza berbanding kemudahan lain yang mencatat tahap kepuasan melebihi 90 peratus, menurut Tinjauan Sampel Isi Rumah (SHS) 2023/24 HDB. - Foto SHIN MIN

Kemudahan sukan di estet kejiranan mencatat tahap kepuasan kedua terendah, iaitu 87.8 peratus penduduk berpuas hati.

Peratusan itu, berdasarkan Tinjauan Sampel Isi Rumah (SHS) 2023/24 oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), jelas berbeza dengan tahap kepuasan penduduk secara keseluruhan yang kekal tinggi.

Ini terbukti dengan lebih 90 peratus penduduk berpuas hati terhadap kebanyakan kemudahan sepanjang 15 tahun yang lepas.

Kemudahan sukan yang dimaksudkan merangkumi kompleks sukan, kompleks renang, kawasan bersenam, trek joging, padang bola sepak, gelanggang keras dan gelanggang pelbagai guna, kata HDB.

Tahap kepuasan yang agak rendah terhadap kemudahan sukan mungkin mencerminkan kebimbangan awam tentang penggunaannya.

Ini dibuktikan dengan kes penutupan sementara gelanggang bola sepak di Bedok North pada Disember 2023, susulan aduan mengenai kumpulan pengguna yang tidak bertimbang rasa membuat bising sehingga larut malam, lapor The Straits Times (ST).

Baru-baru ini, kegiatan seperti bola pikel di kawasan perumahan turut mendapat perhatian, sehingga mendorong majlis bandaran mengambil tindakan seperti mengeluarkan nasihat, menjalankan pengantaraan dan menetapkan had waktu penggunaan di estet HDB.

Dalam tinjauan yang dikeluarkan pada 27 November itu, kemudahan pendidikan mencatat tahap kepuasan tertinggi, dengan 96.1 peratus penduduk berpuas hati, manakala kemudahan kewangan mencatat tahap kepuasan terendah, iaitu 86.6 peratus.

Dalam kalangan isi rumah yang berpuas hati dengan kejiranan mereka, 97.9 peratus berasa terhubung kepada bandar dan estet perumahan mereka.

Dari segi kekerapan, kemudahan komersial – termasuk kedai HDB serta kedai makan dan kopi – kekal paling kerap digunakan penduduk, dengan sekurang-kurangnya 9 daripada 10 isi rumah menggunakannya.

Tinjauan itu juga mendapati 8 daripada 10, atau 79.4 peratus, isi rumah mengunjungi pasar raya sekurang-kurangnya sekali seminggu berbanding 6 daripada 10, atau 61 peratus, bagi pasar basah atau kering.

Lebih ramai isi rumah juga menggunakan taman kejiranan dan taman atas bumbung (roof/sky gardens) sekurang-kurangnya sekali seminggu berbanding 2018.

Ini mencerminkan peningkatan minat terhadap kegiatan luar dan kesedaran tentang manfaat kesihatan mental yang ditawarkan oleh ruang hijau.

Dalam petikan video yang dikongsi HDB, Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, berkata:

“Penemuan terkini menunjukkan tahap kepuasan keseluruhan terhadap estet HDB kekal tinggi, melebihi 90 peratus.

“Usaha berterusan dalam reka bentuk, penyelenggaraan dan peningkatan kemudahan telah mewujudkan estet yang meriah dan sesuai didiami bagi penduduk.”

Justeru, HDB menekankan hasil SHS mengenai kepuasan dan penggunaan kemudahan oleh penduduk akan membantu dalam merancang dan menyediakan kemudahan kawasan perumahan lebih baik, bagi memenuhi keperluan demografi dan gaya hidup yang sentiasa berubah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg