Dengan makanan Melayu dan Perancis iaitu lontong dan ratatouille menjadi kegemarannya, Encik Yanis Enche’ Abdol Rahman, akur bahawa warisan campurannya membantu beliau semasa Perkhidmatan Negara (NS) untuk berinteraksi dengan orang daripada pelbagai latar belakang dengan mudah.
Mentelah lagi dalam peranan beliau sebagai komander platun (PC) di Akademi Pertahanan Awam (CDA), di mana beliau terlibat dalam pelaksanaan program latihan mingguan dan semakan sukatan pelajaran latihan rekrut dari Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
“Ia membuat saya berfikiran terbuka, dan saya dapat berinteraksi dengan lebih mudah bersama orang ramai meskipun daripada latar belakang, sosio-ekonomi dan budaya berbeza.
“Sebagai seorang pemimpin, ia banyak membantu membina kepercayaan dan justeru pastikan adanya sinergi di seluruh platun,” kongsi Encik Yanis, kacukan Melayu-Perancis.
Pemuda berusia 22 tahun itu adalah antara 21 pelajar di sini yang menerima biasiswa Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam satu majlis penyampaian biasiswa di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands pada 16 Ogos.
Beliau juga penerima Melayu tunggal.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-undang, Encik K. Shanmugam, hadir dalam upacara itu selaku tetamu terhormat.
Beliau menerima Biasiswa Pemerintah Singapura (SGS), di bawah kategori Biasiswa Beruniform MHA dan akan terima pembiayaan yuran pengajian penuh, elaun dan terikat dengan bon selama empat tahun bersama SCDF sesudah tamat pembelajarannya.
Tedapat lima penerima Biasiswa SPF, 11 penerima Biasiswa Beruniform MHA, 10 penerima Biasiswa Bukan Beruniform (Civilian) MHA dan enam penerima Biasiswa Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) tahun ini, kata MHA.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Yanis berkongsi komitmen terhadap perkhidmatan awam tercetus semasa pengalamannya menjalani NS, di mana beliau bertemu dengan organisasi yang sangat komited terhadap pertumbuhan dan pembangunan pegawainya.
“Bagi saya, misi SCDF untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda serta misi MHA untuk pastikan keselamatan dan keamanan Singapura sangat selaras dengan diri saya,” ujar beliau.
Komitmen Encik Yanis dicerminkan dalam pencapaiannya semasa menjalani Perkhidmatan Negara dari Januari 2022 hingga November 2023.
Beliau muncul cemerlang sebagai salah seorang pegawai yang berprestasi tinggi semasa Kursus Komander Seksyen (SCC) dan justeru membawa kepada pemilihan beliau untuk Kursus Komander Rota (RCC).
Beliau juga dinobatkan di dinding ‘Wall of Fame’ CDA pada 2023.
Encik Yanis, yang baru sahaja memulakan pengajian dalam jurusan Sains Data dan Ekonomi di Universiti Nasional Singapura (NUS), berharap dapat memanfaatkan biasiswa yang dianugerahkan untuk mempersiapkan diri dalam kerjaya dalam perkhidmatan awam.
“Saya benar-benar hargai penerimaan Biasiswa Beruniform MHA. Walau bagaimanapun, saya sedar bahawa ini masih merupakan permulaan perjalanan saya. Saya mesti terus terapkan nilai-nilai kerja keras, dedikasi, dan komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat,” ujar beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg