Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penerima Biasiswa MHA semai aspirasi bantu CNB banteras ancaman dadah

Aug 13, 2025 | 8:48 PM
Cik Sara Renukha Rahim, 20 tahun, penerima Biasiswa Pemerintah Singapura (SGS) di bawah kategori Biasiswa Berseragam MHA (Pertengahan Penggal Pengajian), akan memulakan perkhidmatan bersama Biro Narkotik Pusat (CNB) pada 2027, selepas menamatkan pengajian di Universiti Kolej London (UCL).
Cik Sara Renukha Rahim, 20 tahun, penerima Biasiswa Pemerintah Singapura (SGS) di bawah kategori Biasiswa Berseragam MHA (Pertengahan Penggal Pengajian), akan memulakan perkhidmatan bersama Biro Narkotik Pusat (CNB) pada 2027, selepas menamatkan pengajian di Universiti Kolej London (UCL). - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Minat meninjau bagaimana dasar luar mempengaruhi undang-undang Singapura membulatkan tekad Cik Sara Renukha Rahim, 20 tahun, bagi memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Politik dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Kolej London (UCL) pada 2024.

Pada tahun pertama pengajian di UCL, siswa kacukan Melayu-Ceylon itu meraih keputusan cemerlang yang disifatkan sebagai kelas pertama, di mana beliau lulus dalam semua modul yang diambil dengan peratusan purata 70 peratus ke atas.

Anak bongsu dalam empat beradik itu yang kini di tahun kedua pengajian, berkata minatnya itu berkembang hasil asuhan sejak kecil, di mana pendedahan kepada pelbagai budaya dan sudut pandangan berbeza telah meluaskan takrifannya tentang dunia di luar sempadan Singapura.

“Dibesarkan oleh ibu berketurunan Ceylon (Sri Lanka) dan bapa Melayu, saya membesar dalam suasana berbilang budaya yang bukan sahaja memperkenalkan saya kepada pelbagai tradisi, malah mengajar saya melihat sesuatu isu daripada sudut pandang berbeza.

“Pengalaman ini membentuk minat mendalam terhadap hubungan antarabangsa, lantas mendorong saya cemerlang dalam pengajian di UCL,” katanya.

Berkat kegigihan dan kelakonan cemerlangnya, Cik Sara telah menerima Biasiswa Pemerintah Singapura (SGS), di bawah kategori Biasiswa Berseragam Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) (Pertengahan Penggal Pengajian) pada majlis Biasiswa MHA, di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands, pada 13 Ogos.

Dengan biasiswa itu, yuran pengajian dan elaun sara hidupnya dibiaya penuh dan beliau terikat dengan perkhidmatan selama enam tahun bersama Biro Narkotik Pusat (CNB) sesudah tamat pengajian pada 2027.

Dalam kalangan 42 penerima biasiswa tahun ini (2025), terdapat seorang penerima di bawah Anugerah Pasukan Polis Singapura (SPF), 25 penerima Biasiswa Berseragam MHA, sembilan penerima Biasiswa Orang Awam (Civilian) MHA dan tujuh penerima Biasiswa Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX).

Biasiswa disampaikan Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong.

Dalam ucapannya, Encik Tong berkata Singapura memerlukan pemimpin Home Team yang berwibawa untuk menangani isu-isu sukar yang memerlukan keputusan yang rumit serta pengorbanan yang besar.

Mengulas mengenai landskap dadah di peringkat antarabangsa, Encik Tong menukil Laporan Dadah Sedunia 2025, yang mencatatkan situasi dadah sejagat yang “semakin meruncing”, dengan 316 juta individu, berusia antara 15 dengan 64 tahun, dilaporkan menggunakan dadah pada 2023.

Lantas, negara ini memerlukan keberanian daripada mereka yang bukan sahaja memiliki pemikiran yang tajam, tetapi juga keteguhan untuk membuat keputusan yang tegas, tambah beliau.

Cik Sara pula berkata biasiswa ini bukan sekadar bantuan kewangan, malah membuka peluang baginya mengasah kemahiran kepimpinan, menyesuaikan diri dengan cabaran kerja yang dinamik, serta menerapkan perspektif sejagat dalam konteks tempatan.

“Saya yakin pengalaman ini akan mempersiapkan saya untuk berkhidmat dengan lebih berkesan dan menyumbang secara langsung kepada usaha CNB membanteras ancaman dadah di Singapura,” katanya.

“Dibesarkan oleh ibu berketurunan Ceylon (Sri Lanka) dan bapa Melayu, saya membesar dalam suasana berbilang budaya yang bukan sahaja memperkenalkan saya kepada pelbagai tradisi, malah mengajar saya melihat sesuatu isu daripada sudut pandang berbeza. Pengalaman ini membentuk minat mendalam terhadap hubungan antarabangsa, lantas mendorong saya cemerlang dalam pengajian di Universiti Kolej London.”
Cik Sara Renukha Rahim.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg